Kopitiam atau kopi tiam adalah kedai kopi tradisional yang dahulunya merupakan tempat untuk masyarakat tempatan makan dan lepak bersama keluarga dan juga rakan-rakan.
Budaya kunjungan ke kedai ini sangan sinonim dengan beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand. Perkataan kopi adalah istilah Melayu untuk minuman daripada biji kopi dan tiam adalah istilah Hokkien atau Hakka yang bermaksud kedai.
Kopitiam yang secara amnya mula diperkenalkan di Malaysia sejak akhir 1800-an. Kopitiam berasal dari kaum Hainan migrasi di Malaysia yang kebanyakannya terlibat dalam industri hospitaliti untuk menyara hidup pada masa tersebut.
Selain mendapatkan minuman kegemaran anda, antara menu yang plaing sering disediakan adalah roti bakar dan juga kuih-muih serta nasi bungkus. Bagi anda yang ingin mengunjungi kopitiam yang popular di Selangor, ini adalah 5 senarai kopitiam di Selangor yang perlu anda kunjungi untuk menikmati rasa kopi asli dan roti bakar klasik yang lazat.
Auntie Kopitiam, Kuala Selangor
Auntie Kopitiam adalah kedai kopi terkenal yang terletak di Daerah Kuala Selangor. Auntie Kopitiam telah dibuka pada tahun 1935.
Tidak dinafikan, kopitiam ini telahpun mendapat perhatian beberapa syarikat media dan juga para selebriti selebriti Malaysia.
Selain menghirup kopi Hainan tradisional yang enak, ada juga makanan lain yang disediakan seperti Nasi Lemak, kuih-muih, roti bakar dan banyak lagi. Malah, bagi yang meminati hidangan mi, Auntie Kopitiam turut menyediakan Mi Kari Laksa, yang merupakan antara hidangan terbaik mereka.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-3289 7289
Thong Kee Cafe, Petaling
Thong Kee Kopitiam adalah salah satu kedai kopitiam yang terkenal di Daerah Petaling dengan menu kopi unik mereka.
Pemilik Kedai Kopitiam Thong Kee yang mempunyai pengalaman lebih dari 30 tahun telah mencipta menu “1+1 Cham Peng” iaitu satu minuman gabungan dari kopi Hainan dan teh. Menu istimewa ini telah mendapat sambutan yang hangat dari penduduk tempatan.
Selain menu “1+1 Cham Peng” , kedai ini juga menyajikan pelbagai pilihan menu untuk sarapan. Menu tersebut termasuk roti bakar, telur separuh masak dan juga aneka pastri seperti croissant dan donut.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh kunjungi laman rasmi mereka iaitu Thong Kee atau hubungi 03-7496 6847
Chong Kok Kopitam, Klang
Dahulunya, kopitiam ini merupakan sebuah hotel yang kini telah berubah menjadi sebuah kedai kopi klasik yang sangat diminati oleh semua bangsa dari penduduk tempatan.
Kedai Chong Kok Kopitiam telah mula beroperasi sejak tahun 1940. Di kedai ini, anda menikmati hidangan kopi dan roti bakar yang pastinya membuatkan anda mengimbau kenangan lama.
Uniknya, kedai ini menyediakan menu telur separuh masak dengan menggunakan mesin khas untuk proses penyediaan. Cara ini menjadikan telur separuh masak mereka lebih sedap dan berkrim berbanding menggunakan cara klasik sebelum ini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-3371 0996
Nam Wah Kopitiam Bt 18, Hulu Langat
Satu lagi kedai kopitiam klasik di Negeri Selangor terletak di Daerah Hulu Langat. Kedai ini adalah salah satu lokasi persinggahan yang terkenal dalam kalangan penunggang basikal.
Antara sebab mengapa kopitiam ini popular berikutan kedudukannya dan lokasinya yang terletak berdekatan dengan trek laluan basikal semula jadi yang agak mencabar. Jadi, tidak hairanlah jika anda bertemu dengan ramai penunggang basikal ketika anda menjamu selera di kedai ini.
Istimewanya kedai kopitiam ini adalah kerana ianya menyajikan menu roti bakar bersama kaya atau kuah kari ayam yang dimasak sendiri oleh pemilik kedai ini.
Kedai Makan Hailam Sun Sun Nam Cheong, Hulu Selangor
Sun Sun Nam Cheong merupakan antara salah satu kedai kopitiam yang telah lama beroperasi dengan resipi asli mereka yang berusia 100 tahun.
Selain kopi, menu yang istimewa di kedai ini adalah Chicken Chop Hailam dan juga Mi Hailam. Chicken Chop Hailam merupakan menu yang dicipta oleh kaum Hainan yang telah berhijrah ke Malaysia.
Untuk pengetahuan anda, antara orang lama yang mendirikan kedai makan ini dahulunya berkhidmat di bawah kuasa penjajah British. Justeru, menu ini dicipta dengan konsep gabungan citarasa Barat dan Cina.
Sebagai kedai yang mempunyai sijil halal, menu makanan di kedai ini disediakan dengan bahan masakan yang halal. Jadi anda boleh menjamunya tanpa ragu-ragu.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-6064 1168
Wah, menyelerakan sungguh seleksi menu kopi dan roti bakar yang disediakan oleh kedai-kedai Kopitiam yang disenaraikan di atas. Di samping ia membawakan menu dan hidangan makanan yang sangat digemari rakyat tempatan, kedai kopitiam merupakan medium keakraban antara kaum, bangsa dan agama.
Namun, ketika musim pandemik Covid-19 ini, anda perlulah sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara. Sentiasa pastikan penjarakan sosial, memakai topeng muka di tempat umum serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.
Anda juga boleh layari laman web rasmi Tourism Selangor untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor pada waktu kelak atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #ImagineNowExperienceSoon.