Sebagai seorang penulis, antara keperluan penting yang sentiasa dibawa ke mana-mana sahaja adalah, komputer riba dan telefon pintar. Tidak kira untuk menulis artikel mahupun melakukan suntingan gambar, kedua-dua peranti ini adalah keperluan yang sentiasa perlu ada di dalam beg.
Secara jujurnya, apabila Samsung secara rasminya mengumumkan penawaran baru untuk siri boleh-lipat mereka, Tajria sangat teruja untuk mencuba Samsung Galaxy Z Flip3 sebagai peranti utama harian.

Dengan menampilkan rekaan dan kemasan yang penuh gaya, Samsung Galaxy Z Flip3 adalah antara peranti yang paling ‘trendy’ untuk tahun 2021 ini. Tambah lagi dengan penawaran beberapa fungsi menarik seperti mod Flex dan juga Quick Shot, ia telah menjadikan penggunaan peranti menjadi lebih efisien.
Bagi Tajria sendiri, apa yang penulis inginkan dan jangkakan pada Samsung Galaxy Z Flip3 penawaran saiz yang mesra poket yang mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja, prestasi kamera yang berkualiti dan juga yang paling penting adalah kesesuaian peranti untuk dijadikan sebagai peranti utama untuk menulis artikel.

Jadi, mampukah Samsung Galaxy Z Flip3 memenuhi keperluan Tajria ini?
Sebelum mula bercerita lebih lanjut mengenai Samsung Galaxy Z Flip3, di dalam kotak peranti ini, ia dilengkapi dengan sebuah telefon pintar Samsung Galaxy Z Flip3 dan hanya menawarkan satu wayar pengecas sahaja di dalam kotak.
Pengalaman Menggunakan Samsung Galaxy Z Flip3 Sebagai Peranti Utama Untuk Menulis
Pertama kali Tajria memegang Samsung Galaxy Z Flip3, ia seakan memberikan pengalaman yang baru terutamanya apabila anda melipat dan menutup peranti apabila ingin menggunakannya.
Pada awal penggunaan Samsung Galaxy Z Flip3, penulis berasa agak janggal dan kekok lebih-lebih lagi ketika pertama kali meletakkannya di tangan. Mengapa sedemikian? Ia mungkin disebabkan saiz peranti yang agak nipis selain saiz skrin yang agak panjang apabila dibuka.

Adakah Terdapat Kesukaran Untuk Melipat Dan Membuka Peranti?
Jawapannya tidak.
Sepanjang penggunaan Samsung Galaxy Z Flip3 selama dua minggu, pengalaman melipat dan membuka peranti adalah sangat lancar. Tidak ada sebarang kesukaran untuk membuka peranti sewaktu menjawab panggilan telefon mahupun ketika ingin membalas mesej.

Malah, rekaan Flip generasi ini juga adalah lebih rata, padat, nipis dan tahan lasak. Dengan sisi yang rata memegang peranti terasa lebih selesa dan selamat di dalam tangan.
Tambahan, ia hadir dengan kemasan matte pada sisi peranti membuatkan peranti terasa tidak licin apabila berada di dalam genggaman tangan. Walau terjatuh sekalipun, Samsung dilihat menggunakan teknologi Armor Aluminium yang dikatakan tahan lasak dan dapat melindungi binaan peranti.

Bagaimana Pengalaman Sewaktu Menaip Dan Menatal Artikel?
Berbanding saiz skrin Samsung Galaxy Z Fold3, sudah tentu model Z Flip3 ini mempunyai rekaan skrin yang lebih kecil iaitu hanya sebesar 6.7-inci sahaja. Namun, ia sebenarnya sudah memadai untuk menaip dan menatal artikel.
Sewaktu pertama kali menggunakan telefon boleh-lipat ini untuk menulis artikel di Tajria, ia boleh dikatakan agak menarik. Hal ini kerana, jika anda penat menaip sambil memegang peranti, anda sebenarnya boleh melipat dan menggunakan ciri Flex Mode.
Hasilnya, ia dapat menjadikan pengalaman menulis artikel di peranti mudah-alih lebih mudah seakan menggunakan komputer riba. Menarik bukan? Dengan ini, anda boleh mengubah cara menaip mengikut keselesaan.


Rakaman Gambar Untuk Artikel Yang Cukup Memuaskan
Pastinya, tidak lengkap peranti tanpa penawaran kamera. Samsung Galaxy Z Flip3 hadir dengan sistem dwi-kamera dengan lensa utama 12-megapixel OIS (Optical Image Stabilization). Ia juga turut disokong oleh lensa sudut lebar 12-megapixel pada bahagian skrin hadapan.

Berdasarkan penggunaan pertama kamera pada peranti, ia boleh dikatakan melepasi jangkaan penulis kerana hasil gambar yang dirakam adalah baik dan cukup jitu. Lebih-lebih lagi ia hadir dengan sokongan sistem HDR, maka ia memberikan imbangan warna yang memuaskan pada hasil gambar tanpa mengira situasi dan pendedahan cahaya di persekitaran.

Saiz Yang Kompak Yang Memudahkan Pergerakan Ke Mana-Mana
Antara sebab mengapa saya merasakan peranti Samsung Galaxy Z Flip3 ini sesuai untuk penulis adalah ia menawarkan saiz yang kompak dan mudah untuk disimpan di dalam beg tangan ataupun poket seluar.
Dengan ini, anda boleh bergaya dan dalam pada masa yang sama dapat melakukan tugasan dengan lebih efisien tanpa perlu membawa komputer riba jika hendak keluar makan dan beriadah di luar.
Untuk pengetahuan anda, peranti ini juga boleh dikatakan agak ringan kerana ia hadir dengan berat hanya sekitar 183g sahaja. Oleh itu, anda mungkin tidak perasan apabila menyimpannya di dalam poket ketika berada diluar. Jadi, jika anda membawa peranti ini sewaktu berjalan, pastikan anda kerap memeriksa poket anda!


Akhir sekali, untuk bateri yang ditawarkan pada Samsung Galaxy Z Flip3, ia dilengkapi bateri berkapasiti 3,300 mAh bersama sokongan pengecasan pantas 15W. Secara kasarnya, tempoh ketahanan bateri peranti ini hanya sekitar 5 jam sahaja. Jadinya, jika anda hendak menulis artikel lebih lama, anda perlu membawa sokongan pengecasan tambahan seperti powerbank.
Sewaktu Tajria membuka kotak juga, nampaknya Samsung kini tidak lagi menyertakan kepala pengecas 15W bersama wayar pengecas Type-C.

Pada pendapat Tajria sendiri, Samsung Galaxy Z Flip3 ini sememangnya hadir dengan rekaan dan barisan spesifikasi yang menarik. Ia bukan sahaja melengkapkan gaya moden yang ingin ditampilkan oleh para individu masa kini, malah ia turut menawarkan beberapa fungsi yang mampu memikat hati.
Jadi, apa pula pendapat anda tentang penawaran peranti terbaru daripada Samsung ini?
Adakah ciri yang ditawarkan menepati pilihan anda dan sesuaikah ia digunakan oleh penulis? Nantikan ulasan Samsung Galaxy Z Flip3 ini di dalam artikel seterusnya.