ATLAS Vending merupakan pembekal mesin layan diri terbesar di Malaysia dan bersempena sambutan Hari Malaysia yang bakal tiba kelak, syarikat ini telah hadir dengan sebuah kempen yang dinamakan Sapot SME.
Menarik mengenai kempen ini, ia dilihat hadir dengan kolaborasi bersama 13 PKS dari setiap negeri di Malaysia bagi menampilkan produk mereka di setiap satu mesin layan diri yang dinamakan ATLAS Mini Mart

Setiap PKS akan meletakkan produk kegemaran tempatan yang disahkan Halal di dalam mesin ATLAS Mini Mart. Bukan itu sahaja, PKS berkenaan boleh menggunakan mesin layan diri tersebut tanpa perlu membayar sewa dengan perkhidmatan isian semula percuma selama tiga bulan mulai pertengahan bulan September.
Inisiatif ini selaras dengan usaha ATLAS Vending bagi membantu PKS tempatan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Dalam kerjasama ini, 13 PKS terpilih boleh menggunakan mesin layan diri ATLAS Vending untuk mengembangkan lagi akses pasaran mereka, menjangkau kumpulan pengguna yang lebih luas dengan menawarkan kemudahan untuk membeli produk mereka pada bila-bila masa melalui mesin layan diri tersebut.

Antara jenama yang menyertai kempen ini termasuk:
- Madina Food (Perlis)
- Nature’s Fresh (Kedah)
- Yee Hup Hiong Piah (Perak)
- TalentCook (Pulau Pinang)
- TFN (Selangor)
- myEureka (Melaka)
- Rehan (Negeri Sembilan)
- Azhar Food (Johor)
- Tokey Sambal Hitam (Pahang)
- Anopokku (Terengganu)
- Akifcafe (Kelantan)
- Heera Enterprise (Sabah)
- Lee Fah Mee (Sarawak)
Setakat ini, penawaran mesin ini masih lagi terhad dan mesin layan diri konsep ini hanya ditawarkan di Balai Perlepasan KLIA Ekspres di Terminal Udara Kuala Lumpur. Ia dijangka akan menawarkan rangkaian produk yang lebih meluas melalui mesin layan diri di pelbagai lokasi kelak.

Selain membantu para PKS meluaskan penawaran mereka kepada pasaran yang lebih luas, ATLAS Mini Mart ini juga dilihat hadir bagi memperkenalkan makanan etnik kepada para pengguna global dan membolehkan rakyat Malaysia menikmati makanan daripada pelbagai negeri dengan lebih mudah.

Malah, para pengguna di Malaysia turut boleh mendapatkan produk yang biasa mereka beli di kedai serbaneka dan pasar mini menerusi mesin layan diri automasi yang beroperasi 24 jam setiap hari. Ia merangkumi sama ada mi segera, brownies, milkshake sehinggalah kepada sambal, perencah dan rempah ratus yang diperlukan untuk memasak.
Bagi PKS lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam kempen Sapot SME Atlas Vending, anda boleh menghubungi ATLAS Vending melalui talian perkhidmatan pelanggan mereka di 1300-1300-61 atau kunjungi laman rasmi mereka bagi mendapatkan lebih banyak lagi pilihan untuk berhubung.