Sebelum ini, Tajria pernah berkongsi pengalaman pertama menggunakan Samsung Galaxy Z Flip3 dari sudut pandangan seorang penulis.
Jadi, untuk kali ini pula Tajria berminat untuk menceritakan secara menyeluruh tentang apakah perasaan sepanjang tempoh penggunaan peranti Samsung Galaxy Z Flip3 sepanjang beberapa minggu ini.
Tidak dinafikan setelah hampir 3 minggu penggunaan Samsung Galaxy Z Flip3 ini, penulis boleh katakan yang mana peranti ini sememangnya memberikan satu pengalaman yang baharu sepanjang memakai telefon pintar.
Lebih-lebih lagi dengan penampilkan boleh-lipat yang kelihatan cukup menarik apabila diletak dan dipegang di tangan, penulis pasti ramai yang telahpun tertarik dengan model Samsung Galaxy Z Flip3 ini.

Permukaan Luar Peranti Yang Lebih Menawan
Bercerita dari sudut rekaan dan juga warna, jika dibandingkan dengan model Samsung Galaxy Z Flip yang sebelum ini, rekaan yang paling baharu ini dilihat lebih elegan dan moden.

Hal ini kerana, penulis lebih meminati gabungan warna pastel dan skrin hitam pada panel luar selain permukaan kacanya juga tidak meninggalkan kesan cap jari diatasnya.
Sementara jika model yang lama, panel belakang peranti hadir dengan binaan yang diperbuat daripada kaca Gorilla Glass 6 dengan kemasan yang mudah menangkap kesan kotoran cap jari.

Skrin 22:9 Yang Besar Dan Selesa
Secara umumnya, pada awal penggunaan Samsung Galaxy Z Flip3, ia boleh dikatakan agak janggal kerana saiznya yang sedikit panjang berbanding peranti yang lain.
Jika saya gunakan peranti pada sebelah tangan, pengalaman menatal dan menaip pada peranti agak kurang lancar disebabkan jari yang agak pendek untuk mencapai butang atau tab yang berada pada bahagian atas skrin lebih-lebih lagi sewaktu menggunakan platform media sosial seperti Instagram.

Namun, kelebihan saiz skrin 22:9 yang digunakan Samsung Galaxy Z Flip3 ini, pengalaman bermain permainan mudah-alih boleh dikatakan agak memuaskan.
Skrin pada bahagian tengah dapat dilihat dengan jelas selain tidak menyebakan rasa tidak selesa pada jari jika memegang peranti untuk tempoh yang lama. Dilengkapkan juga dengan penawaran kadar segar semula 120Hz, penampilan grafik pada skrin juga adalah sangat baik dan lancar.

Cuma, apa yang tidak menarik pada skrin Samsung Galaxy Z Flip3 adalah bahagian lekuk di tengah yang dilihat lebih dalam dan sedikit mengganggu jika dibanding dengan model sebelum ini.
Hasilnya, ia membuatkan penulis lebih gemar memegang peranti pada bahagian bawah bagi elak jari dari terkena bahagian lekuk tersebut.

Namun, anda tidak perlu risau kerana walaupun pada tangan lekukan skrin ini boleh dirasa dengan jelas, tetapi sewaktu menonton video atau membaca artikel pada skrin, lekuk tersebut hampir tidak kelihatan kerana ia menggunakan lapisan Ultra Thin Glass.
Malah, rekaan yang Samsung Galaxy Z Flip3 juga dilihat tidak memerangkap habuk pada bahagian tepi kerana apabila dilipat, Samsung memperkenalkan versi engsel yang dapat melipat lebih kecil bagi membolehkan peranti menjadi lebih nipis dalam posisi tertutup

Rakaman Gambar Makanan Di Dalam Rumah
Menyentuh mengenai kamera, Samsung Galaxy Z Flip3 ini membawakan sensor 12MP f/1.8 lensa sudut lebar yang dipadankan bersama sensor 12MP f/2.2 lensa ultra sudut lebar. Manakala, pada bahagian hadapan pula sensor 10MP f/2.4.
Secara jujur, untuk rakaman gambar di dalam rumah boleh dikatakan tidak ada sebarang masalah yang berlaku. Setiap hasil gambar yang dirakam boleh dikatakan hampir sempurna.

Bukan itu sahaja, sepanjang menggunakan kamera dari Samsung Galaxy Z Flip3 ini juga, penulis tidak perlu risau untuk membawa monopod apabila berada di luar. Hal ini kerana, penulis hanya perlu melipat peranti pada sudut 90 darjah untuk menstabilkan kedudukan kamera dan seterusnya anda boleh teruskan sesi mengambil gambar.

Seperti yang anda lihat pada sampel gambar di bawah, ia menampilkan hasil gambar yang sangat menyerlah untuk setiap warna dan ciri yang dipaparkan. Perincian pada objek juga dipamerkan dengan jelas selain menghasilkan gambar pada kontras yang tinggi.


Untuk penggunaan mod food pada tetapan kamera pula, ia sedikit menghampakan. Seperti yang anda lihat, butiran gambar tidak dapat dilihat dengan begitu baik. Ia kelihatan kabur pada bahagian tepi dan hanya memfokuskan pada bahagian tengah objek sahaja.

Namun, untuk pengambilan gambar potret menggunakan lensa utama, kualiti gambar yang dipamerkan kelihatan begitu kemas. Jadinya, ia sangat sesuai untuk anda yang mungkin menggemari rakaman OOTD atau rakaman di dalam kedai.

Sementara untuk gambar swafoto menggunakan lensa potrait, ia dilihat agak memuaskan kerana, anda boleh memilih kesan penuras yang digemari sama ada hitam putih, bokeh di belakang dan banyak lagi.

Cuma kalau dilihat secara kasar, warna kulit mungkin akan kelihatan sedikit kemerahan jika ia tidak terdedah pada pengcahayaan yang cukup.
Malah, apa yang menarik pada peranti Samsung Galaxy Z Flip3 juga, jika anda tidak menggemari hasil gambar menerusi kamera pada bahagian dalam, anda juga boleh menggunakan kamera luar untuk mengambil gambar swafoto anda.
Menerusinya, sudah tentu gambar swafoto anda adalah lebih jelas sama seperti gambar OOTD di samping mendapatkan gambar yang lebih HDR berbanding sebelumnya.

Akhir sekali untuk penampilan kemampuan zum, secara jujurnya hasil rakaman yang diterima tidaklah begitu baik. Untuk pengetahuan anda, Samsung Galaxy Z Flip3 menawarkan sistem zum digital 10x. Namun, berdasarkan pengalaman penggunaan Tajria, rakaman zum yang paling maksima yang sesuai untuk anda gunakan hanyalah sehingga 2 kali sahaja.
Hal ini kerana untuk hasil rakaman 4x dan 10x adalah tidak begitu jelas selain mempunyai noise yang banyak sehingga menjadikan hasil gambar yang diambil seakan kartun.

Pengalaman Mengurus Dan Memasang Muzik Pada Peranti
Samsung Galaxy Z Flip3 hadir dengan sistem audio stereo dan Dolby Atmos, kelantangan audio yang dihasilkan adalah cukup baik untuk penggunaan di dalam rumah. Namun, disebabkan pembesar suara diletakkan pada sisi peranti, audio kedengaran lebih jelas pada bahagian mempunyai lubang audio.

Selain itu, dengan adanya kemudahan skrin luar yang lebih besar, adalah lebih mudah untuk penulis klik dan pilih lagu yang seterusnya di dalam senarai lagi. Walau bagaimanapun, sedikit mengecewakan untuk pengalaman penulis yang masih lagi menggunakan fon telinga berwayar, Samsung Galaxy Z Flip3 tidak menampilkan bicu audio 3.5mm.
Oleh itu, anda perlu mencari aksesori audio yang menggunakan tambatan bluetooth ataupun anda perlu mencari dongle yang menyokong sambungan USB-C jika anda masih ingin menggunakan fon telinga berwayar.

Penggunaan Peranti Untuk Tempoh Yang Lama
Kapasiti bateri yang ditawarkan secara amnya tidaklah begitu besar iaitu 3300mAh. Namun, pada pendapat saya ia sudah memadai untuk penggunaan seharian sewaktu berada di luar.
Untuk penggunaan biasa saya yang mana sekadar membuka aplikasi media sosial, merakam dan menyunting gambar, menatal produk menarik di Shopee dan juga bermain permainan mudah-alih, ia sudah mencukupi dan tidak perlu mengecas terlalu kerap.

Tetapi, apabila menggunakan peranti terlalu lama lebih-lebih lagi sewaktu bermain permainan yang lebih berat seperti Asphalt 9, Samsung Galaxy Z Flip3 dilihat cepat berasa panas. Lebih-lebih lagi pada bahagian atas skrin yang berdekatan dengan kamera.
Bercerita mengenai sistem pengecasan pula, Samsung Galaxy Z Flip3 hanya menyokong pengecasan 15W yang memerlukan 90 minit untuk mengecas bateri sepenuhnya. Jadinya, jika anda ingin mengecas peranti pada waktu malam, anda perlu melakukannya awal dua jam sebelum tidur.

Dengan ini dapat disimpulkan yang mana penggunaan Samsung Galaxy Z Flip3 ini sememangnya menawarkan pengalaman yang cukup baik yang setanding dengan penawaran harganya iaitu RM3999 sebuah.
Tidak dinafikan salah satu faktor yang menjadikan ramai yang berminat untuk mendapatkan peranti ini adalah sebabkan penawaran rekaan dan juga warnanya yang menarik dan menawan. Namun, jika dilihat dari sudut spesifikasi dan juga kelebihan peranti, pada pandangan penulis ia cukup berbaloi bagi anda yang ingin mencuba sesuatu yang baharu.

Jadi, adakah Samsung Galaxy Z Flip3 benar-benar bergaya atau sekadar untuk flex?
Jawapannya adalah ya, ia adalah sebuah peranti yang bergaya dari sudut spesifikasi dan rekaan.
Secara amnya juga, setiap ciri dan fungsi yang ditampilkan Samsung Galaxy Z Flip3 juga adalah memuaskan. Tidak kira melibatkan rakaman gambar, pengalaman menatal skrin sewaktu menggunakan media sosial mahupun fleksibiliti yang ditampilkan pada reka bentuk peranti.
Tambahan, pembaharuan yang dilakukan pada panel luar peranti adalah cukup memuaskan menerusi skrin yang kini 4 kali ganda lebih besar. Melaluinya, anda boleh terus mengakses terus mesej pada notifikasi, pameran animasi dan gambar skrin yang lebih menarik selain menawarkan rakaman video dan gambar yang lebih berkualiti menggunakan kamera utama.