Selari dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum di Malaysia, negeri Selangor hadir dengan pelbagai lokasi dan kawasan yang diminati oleh kebanyakan individu.

Dengan kehadiran lokasi ini, ia bukan sahaja menjadikan negeri Selangor antara negeri yang menjadi pilihan orang ramai, malah ia juga memberi peluang untuk anda mencipta memori yang lebih indah setiap kali tiba di Selangor.

Untuk mengetahui lokasi yang menarik di Selangor, pihak Tourism Selangor kali ini hadir dengan senarai tempat yang menjadi faktor tarikan orang ramai ke negeri ini.

Lokasi Dengan Pemandangan Cantik

Siapa sahaja yang tidak suka akan pemandangan yang indah dan cantik, bukan?

Negeri Selangor juga mempunyai banyak tempat yang menawarkan pemandangan indah untuk anda nikmati. Pemandangan indah ini sangat sesuai untuk dijadikan tempat penggambaran atau tempat untuk beristirahat bersama keluarga dan kenalan.

Tempat yang mempunyai pemandangan indah di sekitar Negeri Selangor adalah berkonsepkan semula jadi, mahupun buatan manusia. Tempat-tempat yang anda boleh lawati adalah seperti Sky Mirror Kuala Selangor, i-City Shah Alam, Pekan Sekinchan, Sabak Bernam dan juga Ardence Lab Eco Ardence, Setia Alam.


Variasi Kedai Makan Dan Restoran Menarik

Selain pusat membeli-belah, pastinya kedai makan dan restoran adalah lokasi kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia. Jika di Selangor, anda boleh menyaksikan kemakmuran masyarakat menerusi hidangan makanan di kebanyakan kedai.

Antara tempat makan yang terkenal dalam kalangan semua bangsa adalah  Kopitiam seperti Chong Kok Kopitiam dan Ali Ah Hock dan Muthu Kopitiam, serta tempat makan durian seperti Durian SS2 dan Durianity.

Anda juga boleh singgah ke SS15, Subang Jaya yang merupakan salah satu syurga makanan di Negeri Selangor yang mempunyai pelbagai pilihan tempat makan seperti Nomms, Jibril dan Gold Chili.


Pantai dan Taman

Taman riadah di Negeri Selangor kebanyakannya dilengkapi dengan pemandangan indah dan kemudahan yang mencukupi bagi anda yang ingin membawa ahli keluarga untuk bersantai.

Pantai dan taman yang boleh dilawati di Negeri Selangor termasuk Pantai Remis, Pantai Morib, Taman Botani Negara Shah Alam dan Taman Tasik Cyberjaya.


Lokasi Mendaki Yang Memikat Hati

Aktiviti mendaki juga merupakan aktiviti kegemaran rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa dan kaum. Mendaki merupakan salah satu aktiviti yang mampu membantu anda mendapatkan fizikal dan mental yang sihat kerana aktiviti ini memerlukan kecekalan minda dan badan.

Antara bukit yang anda boleh daki termasuk Bukit Broga dan Bukit Kutu. Namun, harus diingatkan, terdapat beberapa lokasi pendakian di Negeri Selangor yang memerlukan anda memohon permit sebelum memulakan aktiviti pendakian.


Tempat  Bersukan

Melalui aktiviti sukan, ia membantu anda meningkatkan stamina dan dalam pada masa yang sama mampu meningkatkan semangat toleransi dan kerjasama bersama peserta-peserta lain yang datang dari berbilang kaum dan bangsa.

Antara tempat-tempat yang menawarkan aktiviti sukan yang luar biasa adalah penyedia perkhidmatan White Water Rafting di Sungai Selangor, Skytrex Adventure Sg Congkak, dan District21.


Menarik bukan? Terdapat pelbagai lokasi menarik yang boleh anda terokai di Selangor. Tidak dinafikan, Selangor adalah antara negeri yang mempunyai pelbagai tempat-tempat menarik yang kaya dengan nilai sejarah, mahupun yang digemari pelbagai bangsa.

Jika anda berkesempatan untuk mengunjungi kesemua lokasi menarik ini, pastikan anda mendaftar masuk dengan aplikasi mudah alih SElangkah ataupun MySejahtera. Selain itu juga, anda harus menjaga penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman secara berkala dan memakai pelitup muka pada setiap masa demi memastikan kesejahteraan umum.

Untuk terus mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, sila ikuti segala kemaskini dari akaun rasmi media sosial Tourism Selangor termasuk di Instagram Twitter, Facebook, TikTok dan juga Saluran YouTube, atau layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.