Bagi anda yang menggemari hidangan sambal tumis, hari ini Tajria ingin berkongsi resipi untuk lima jenis sambal yang berbeza yang boleh anda hidangkan kepada keluarga sama ada untuk menu minum petang ataupun makan malam.

Untuk penyediaan sambal tumis ini, saya lebih gemar untuk menyediakannya sedikit kering. Manakala untuk rasa pula, sambal kerang lebih enak apabila berasa pedas dan sedikit manis. Berikut adalah beberapa bahan yang diperlukan serta cara penyediaan mudah yang boleh anda cuba.


Sambal Tumis Kerang

Bahan A

Kisar semua bahan ini sehingga halus:

  • 4 sudu cili kisar
  • 4 biji bawang merah
  • 3 biji bawang putih
  • Belacan atau udang kering
Bahan B
  • Kerang (dikukus dan ditanggalkan kulitnya)
  • Air asam jawa 
  • 2 sudu gula
  • garam secukup rasa
Cara Penyediaan:
  1. Kisar kesemua bahan-bahan A, iaitu lada kering, bawang merah, bawang putih dan juga belacan sehingga halus.
  2. Panaskan minyak dan tumis kesemua bahan yang telah dikisar. Pastikan anda tumis sehingga sambal tersebut naik minyak.
  3. Apabila sudah naik minyak, masukkan air asam jawa ke dalam sambal.
  4. Kemudian, masukkan gula dan garam. Gaul dan tumiskannya sehingga warnanya menjadi sedikit gelap.
  5. Masukkan kerang yang telah masak dan ditanggalkan kulit. Kacaukan bersama sambal dan biarkan ia sekitar 1 hingga 2 minit.
  6. Anda juga boleh masukkan hirisan bawang sebagai penambah rasa.

Sambal Udang Dengan Daun Limau Purut

Bahan A

Kisar semua bahan ini sehingga halus:

  • 4-5 cili kisar
  • 4 biji bawang merah
  • 3 biji bawang putih
  • belacan
Bahan B
  • 300g udang
  • air asam jawa
  • 2 sudu gula
  • garam secukup rasa
  • 2 keping daun limau purut
Cara Penyediaan:
  1. Kisar kesemua bahan-bahan A, iaitu lada kering, bawang merah, bawang putih dan juga belacan sehingga halus.
  2. Panaskan minyak pada api yang sederhana dan mula menumis bahan-bahan A. Pastikan anda tumis sehingga sambal tersebut naik minyak.
  3. Masukkan daun limau purut dan biarkan ia naik bau. Setelah cili kisar sudah garing, masukkan air asam jawa ke dalam sambal.
  4. Kemudian, masukkan gula dan garam. Gaul dan tumiskannya sekitar 3 minit. Apabila warna sudah menjadi lebih gelap, masukkan udang yang telah dibersihkan.
  5. Biarkan ia masak sehingga warna udang menjadi merah dan isinya sudah tidak lembik. Anda juga boleh masukkan hirisan bawang untuk aroma yang lebih memikat hati. Selamat mencuba!

Ikan Kerisi 3 Rasa

Bahan Sos 3 Rasa
  • 2 sudu lada kisar
  • 3 biji bawang merah (dikisar)
  • 2 biji bawang putih (dikisar)
  • 1 1/2 sudu sos tomato
  • 1 sudu sos cili
  • 1 1/2 sudu sos tiram
  • Sedikit air
  • 1 biji tomato (dipotong dadu)
  • 1/4 lobak merah (dipotong dadu)
  • 1/4 nenas tin (dipotong dadu)
  • 3 biji cili api
  • gula
Bahan Ikan Goreng
  • 2 ekor ikan kerisi
  • 2 sudu tepung gandum
  • 1/2 sudu kecil serbuk kunyit
  • garam secukup rasa
Cara Penyediaan:

1. Panaskan minyak pada api sederhana. Tumiskan lada, bawang merah dan bawang putih sehingga naik minyak.

2. Masukkan sos tomato, sos cili dan sos tiram. Gaulkan sehingga kesemua bahan masak dan naik bau.

3. Kemudian, tambahkan sedikit air supaya ia tidak terlalu pekat. Masukkan tomato, lobak merah dan nanas. Kacau sehingga rata.

4. Letakkan satu sudu gula dan garam secukup rasa. Masaknya sekitar satu hingga dua minit. Apabila sos telah masak, biarkarkan ia sebentar dan teruskan dengan memasak ikan di kuali yang baru.

5. Lumur ikan dengan tepung, serbuk kunyit dan garam.

6. Panaskan minyak dang gorengkannya pada api sederhana. Jika ikan sudah masak, angkatnya dan letak di pinggan dan lumurkan dengan sos 3 rasa yang telah siap.


Kam Heong Kepah

Bahan-bahan
  • ½ kilo kepah (cuci)
  • 3 tangkai daun kari
  • 3 ulas bawang putih (kisar)
  • 5 ulas bawang merah  (kisar)
  • 5 sudu cili kering (kisar)
  • 1 inci halia
  • 2 sudu udang kering
  • 3 sudu sos tiram
  • 3 sudu kicap cair
  • 3 sudu kicap pekat
  • Garam & gula secukup rasa
  • 2 sudu serbuk kari daging
  • 1 sudu serbuk kari ikan
Cara Penyediaan:
  1. Kisarkan bawang putih, bawang merah, udang kering dan halia bersama sedikit air. 
  2. Masukkan minyak dan tumis bahan yang dikisar sehingga garing dan naik bau. Jika kering, anda boleh tambahkan sedikit air.
  3. Letakkan serbuk kari daging dan ikan. Untuk tidak berketul, anda boleh campur dengan sedikit air dan kacau rata di dalam sebuah mangkuk kecil sebelum masukkan ke dalam kuali.
  4.  Tambah daun kari untuk bau yang lebih menarik.
  5. Setelah selesai menumis, masukkan kepah yang dah dicuci bersih dan tutup kuali.
  6. Masukkan kicap cair dan kicap pekat, bahan perasa seperti garam dan gula untuk rasa yang sedap.
  7. Hiaskan dengan hirisan daun ketumbar sebagai pelengkap hidangan.

Ikan Cencaru Masak Terutup Sambal 

Bahan A

Kisar halus semua bahan untuk ditumis.

  • 1 biji bawang besar (potong kasar)
  • 3 biji bawang merah (potong kasar)
  • 5 ulas bawang putih
  • 2-3 batang serai (dititik)
  • Lengkuas
  • 250 g cili kering (direndam air panas)
Bahan B
  • Ikan cencaru 5-6
  • Garam dan gula
  • Air asam jawa
Cara Penyediaan Sambal Tumis:
  1. Panaskan minyak di dalam kuali. Apabila minyak telah panas, masukkan bahan A ke dalam kuali dan tumis sehingga garing dan kelihatan minyak pada permukaan sambal. 
  2. Seterusnya, jika sambal sudah masak, masukkan air asam jawa dan biarkan ia kering selama 2 minit.
  3. Kemudian, masukkan gula dan garam secukup rasa. Tumis dan tunggu sambal menjadi lebih gelap. Masukkan sedikit air masak jika terlalu kering.
  4. Apabila sambal sudah masak, keluarkan dan letakkan sambal tersebut di dalam mangkuk.
Cara Penyediaan Ikan Terutup:
  1. Belah isi ikan (belakang) di kedua-dua belah bahagian. Lakukan kepada semua ikan yang ingin dimasak.
  2. Kemudian, sumbatkan sambal yang telah dimasak ke bahagian belakang ikan yang telah dibelah. 
  3. Setelah selesai, panaskan kuali sambal tadi dan tambah sedikit minyak untuk kuantiti yang sesuai untuk menggoreng.
  4. Gorengkan kesemua ikan sehingga masak dan garing mengikut citarasa anda.