Lina Rosli Diterbitkan 23 September 2021

Kenalpasti Bahaya Yang Boleh Menyebabkan Kemalangan Di Rumah

Bahaya di rumah adalah sebab atau keadaan yang berpotensi menyebabkan kemalangan dalam bentuk kecederaan atau kesihatan pada manusia, kerosakan harta benda, kerosakan pada persekitaran semula jadi ataupun gabungan salah satu daripada kemalangan tersebut.


5 Kategori Bahaya di Rumah

Bahaya di rumah terbahagi kepada 5 kategori utama yang merangkumi keadaan melibatkan:

  • fizikal
  • biologi
  • kimia
  • ergonomik
  • psikososial.
Apa Yang Dimaksudkan Dengan Bahaya Fizikal?

Bahaya fizikal merupakan keadaan yang boleh menyebabkan bahaya apabila bersentuhan atau berinteraksi dengan tubuh.

Ia sering diklasifikasikan sebagai jenis bahaya pekerjaan atau bahaya persekitaran. Sesetengah bahaya fizikal turut merangkumi bahaya ergonomik, radiasi, tekanan panas dan sejuk, kebisingan dan banyak lagi.

Jika di rumah, contoh yang paling dekat adalah di kawasan dapur yang mempunyai bahaya seperti pisau tajam yang tidak disimpan dengan selamat, wayar elektrik yang terdedah, lantai basah dan bahagian tangga yang tidak selamat.


Apa Yang Dimaksudkan Dengan Bahaya Biologi?

Bahaya biologi biasanya hadir daripada makanan ataupun produk yang dipakai kepada tubuh. Ia merangkumi mikroorganisma seperti bakteria, virus, ragi dan parasit.

Apabila tidak ditangani, kesihatan kita akan dipengaruhi oleh organisma ini. Melalui penggunaannya, ia boleh mengakibatkan jangkitan, mabuk atau bahkan kematian.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Bahaya Kimia?

Bahaya kimia adalah keadaan dengan kehadiran bahan yang berpotensi menyebabkan bahaya kepada nyawa atau kesihatan. Bahan kimia banyak digunakan di rumah yang mana jika tidak dikendalikan dengan baik, ia boleh menyebabkan kesan kesihatan yang teruk dan jangka panjang.

Antara contoh bahaya kimia termasuklah gas memasak (LPG) yang bocor, petrol, minyak tanah atau diesel disimpan dalam bekas yang tidak ditutup dan berlabel serta ubat-ubatan yang berbahaya.


Apa Yang Dimaksudkan Dengan Bahaya Ergonomik?

Bahaya ergonomik adalah keadaan fizikal yang boleh menimbulkan risiko kecederaan pada sistem muskuloskeletal seperti otot atau ligamen, tendon atau saraf tangan serta tulang di sekitar lutut yang mengakibatkan gangguan muskuloskeletal (MSD) .

Untuk mengenalpasti jenis bahaya ergonomik biasanya berlaku melibatkan situasi seperti penggunaan perabiot yang menyebabkan postur yang canggung, kerusi yang boleh menghasilkan tekanan pada otot, kawasan bilik yang terdedah pada suhu ekstrem.

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Bahaya Psikososial?

Bahaya psikososial melibatkan faktor-faktor seperti tekanan perasaan, ketakutan, buli, keletihan, keganasan atau kegagalan kawalan emosi.

Sebagai contoh, sikap penghuni rumah yang panas baran boleh menyebabkan berlakunya keganasan dalam rumah yang boleh melibatkan kecederaan mental dan fizikal. 


Langkah Persediaan Mengelakkan Bahaya Di Rumah

Bahaya sebenarnya dapat dielakkan. Terdapat pelbagai kaedah untuk mengelakkan bahaya ini, iaitu pengenalpastian bahaya dan kawalan bahaya.

Oleh itu, adalah wajar bagi ibu bapa untuk mengenalpasti semua bahaya yang ada di dalam atau di sekitar rumah setiap hari. Pengenalpastian bahaya boleh dilakukan setiap hari dan dikawal agar tindakan selanjutnya dapat dilakukan.

Contohnya, jika di halaman rumah anda terdapat paku berduri, maka di bersihkannya dengan kerap dan bungkuskan dengan baik sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah.