Kini, sudah menjadi satu keperluan untuk kebanyakan industri dalam memperkasakan proses penghasilan dan penawaran produk yang lebih mesra alam sekitar sebelum mula dijual ke pasaran.
Proses penghasilan yang lebih mesra alam sekitar merangkumi aktiviti yang melibatkan ujian klinikal ke atas haiwan mahupun penggunaan produk berasaskan organ dan juga kulit haiwan.
Hal ini kerana, ia bukan sahaja menyebabkan populasi haiwan menurun tetapi kekejaman terhadap haiwan juga boleh memberi kesan jangka panjang perubahan iklim dan seterusnya merosakkan ekosistem hutan.
Inisiatif Volvo Cars Dalam Menjamin Kesejahteraan Haiwan
Oleh yang demikian, Volvo Cars mengambil serius akan kesan negatif melibatkan kesejahteraan haiwan menerusi penghasilan produk mereka.
Bermula dengan model Volvo C40 Recharge yang baru, jenama ini menjangkakan akan menawarkan kereta yang bebas kulit haiwan sepenuhnya pada kesemua model elektrik yang dikeluarkan Volvo.
Sebelum ini, Volvo Cars telahpun hadir dengan pelan rancangan bagi melancarkan siri kereta elektrik yang serba baharu. Rentetan itu, Volvo kini turut akan menampilkan rekaan dalam kereta yang 100% tidak menggunakan kulit haiwan menjelang 2030.
Bagi memastikan pelan ini bergerak dengan lancar, Volvo mengatakan bahawa menjelang tahun 2025, syarikat ini mensasarkan 25% bahan dalam kereta Volvo baru terdiri daripada kandungan kitar semula dan berasaskan bio dan kitar semula.
Pengenalan Dan Penggunaan Bahan Dalam Kereta Serba Baharu
Menurut Volvo Cars, selepas ini mereka akan menggunakan bahan dalam dari Nordico yang akan terdiri daripada tekstil yang diperbuat dari bahan kitar semula seperti botol PET, bahan bio-atribut dari hutan dan gabus yang dikitar semula dari industri wain.
Selain itu, jenama ini turut akan mengurangkan penggunaan produk sisa dari pengeluaran ternakan untuk produk plastik, getah, pelincir dan pelekat tidak kira sama ada sebagai bahagian bahan atau sebagai bahan kimia proses dalam pengeluaran atau rawatan bahan tersebut.
Menerusi pengenalan bahan-bahan ini, ia dijangka akan menetapkan standard baru untuk reka bentuk dalaman premium di samping mengurangkan sepenuhnya kebergantungan bahan yang melibatkan haiwan dalam rantaian bekalan mereka.
Dengan penerapan yang konsisten dalam memperkasakan bahan bebas kulit haiwan pada semua model kereta elektrik tulen mereka, Volvo Cars berpendapat langkah ini dapat membantu menghentikan kekejaman terhadap haiwan, dengan menyumbang kepada permintaan yang rendah untuk bahan-bahan ini yang mengandungi produk haiwan.