Sepanjang tempoh pandemik ini, banyak dalam kalangan kita yang kini berada dan duduk di dalam rumah rumah lebih kerap. Hal ini bagi membantu memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 di kawasan setempat.
Tahukah anda, pandemik ini bukan sahaja memerlukan anda untuk duduk di rumah, tetapi sebenarnya ia turut mengurung dan mengehadkan pergerakan haiwan peliharaan anda, lebih-lebih lagi kucing.
Untuk pengetahuan anda, kucing adalah makhluk yang sensitif, bukan sahaja melibatkan tempat tidur dan kotak pasir, tetapi juga melibatkan kebebasannya untuk bergerak dan berada di luar.
Disebabkan itu juga, pastinya mengurung kucing di dalam rumah sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka sekaligus menyebabkan kegelisahan dan tekanan buat mereka. Pengaruh ini boleh bergantung pada keperibadian mereka, jika mereka sudah terbiasa bermain di luar rumah, mereka mungkin memerlukan waktu untuk bersendirian dengan cara bergerak bebas tanpa halangan oleh pemilik kucing.
Dalam kajian yang dilakukan di James Cook University di Australia ke atas 400 haiwan peliharaan. Kajian tersebut bertujuan untuk mengenalpasti pengaruh perkongsian ruang sepanjang pandemik ke atas pemilik dan juga haiwan mereka.
Berdasarkan laporan, emosi bagi kebanyakan anjing dan pemiliknya bertambah baik dengan menghabiskan lebih banyak masa bersama. Namun kira-kira 50% pemilik kucing melaporkan bahawa kucing mereka berkelakuan tidak gembira akan situasi berkenaan.
Tekanan Emosi Yang Disebabkan Oleh Perubahan Rutin Normal Kucing
Terdapat beberapa kesan pandemik kepada emosi dan paras tekanan kucing. Salah satunya adalah melibatkan sistem pencernaan kucing.
Menurut laporan di Royal Canin, doktor haiwan mendapati berlakunya peningkatan masalah berkaitan saluran kencing kucing sebanyak 39% pada tahun 2020 berbanding 2019.
Jika anda mendapati kucing anda mengalami masalah kencing, anda boleh lakukan pemeriksaan kekerapan waktu kencing mereka. Namun, sesetengah kucing muka hanya kencing sedikit atau hampir langsung tidak melakukannya kerana saluran kencing mereka kelihatan tegang atau menunjukkan tanda-tanda kesakitan.
Sekiranya berlaku sedemikian, anda boleh hubungi doktor haiwan anda untuk mendapatkan nasihat sekiranya anda mengetahui ada perubahan dalam tingkah laku kucing anda.
Peningkatan jumlah kucing dengan masalah kencing telah dikaitkan dengan peningkatan tahap tekanan yang disebabkan oleh perubahan rutin kita. Apabila terdapat perubahan pada rutin kita, ia sebenarnya turut mempengaruhi dan menganggu rutin kucing juga.
Sebagai contoh, apabila anda duduk lebih masa di rumah, terdapat lebih banyak bunyi dan kurangnya tempat untuk kucing beristirehat. Ruang yang terhad dan ditambah dengan penghuni rumah yang lebih ramai pada sesetengah waktu menjadi punca tekanan dalam kalangan kucing.
Tanda-Tanda Kucing Anda Mengalami Tekanan Emosi
Berikut adalah beberapa tanda-tanda tekanan emosi yang dialami oleh kucing anda ketika pandemik. Dengan perubahan tingkah laku yang tidak biasa, adalah penting untuk memeriksakan kucing anda oleh doktor haiwan.
- lebih gemar bersembunyi berbanding biasa
- tidak ingin bermain dengan orang
- tidak mempunyai selera makan dan minum. Namun ada juga yang mungkin mengalami peningkatan selera makan
- mudah gelisah atau cepat takut
- gangguan tidur
- bulu kucing gugur teruk bukan disebabkan alergi
- gangguan sistem pencernaan
- kerap yang melampau ketika menjilat dan membersihkan bulu di badan
Kucing Memerlukan ‘Me Time’
Cuba hadkan interaksi untuk mengekalkan dan menjaga rutin normal kucing anda sebanyak mungkin.
Anda boleh mencegahnya dengan cara, cuba had dan elak terlalu banyak bersosial dengan kucing anda selama berjam-jam. Jika anda sedang melakukan kerja, anda mungkin tidak perlu memaksa kucing anda untuk berada di sisi anda setiap masa.
Dengan terus mengikuti rutin waktu bermain dengan kucing anda, ia memberi peluang untuk kucing anda berehat dan melakukan apa yang diperlukan secara sendirian. Malah, apabila kucing anda bebas, mereka tidak terlalu tertumpu pada kehadiran anda di rumah.
Selain itu, anda boleh mencegah kebosanan kucing di rumah terutamanya dengan menyediakan mainan dan meletakkan kelengkapan yang sama seakan mereka berada di luar rumah. Sebilangan besar kucing cenderung menghabiskan waktunya dengan tidur, tetapi jika mereka tidak dapat keluar, mereka mungkin menjadi bosan dan cemas.
Sumber: Royal Canin Bustle Nutravet