Sebilangan besar individu tidak menyedari kuantiti makanan yang mereka buang setiap hari. Di Malaysia, purata janaan sisa pepejal adalah sekitar 2,173 tan sehari dicatatkan pada awal bulan Mac 2020 lalu.
Namun jika dibandingkan pada tahun yang sebelum, jumlah purata yang dilaporkan adalah lebih tinggi iaitu kira-kira 16,000 tan sisa makanan dibuang setiap hari pada tahun 2019.
Pengurusan sisa pepejal atau sisa makanan ini adalah amat penting dan patut diambil peduli oleh setiap individu. Dengan mengurus makanan secara berkesinambungan, kita dapat membantu memulihara sumber untuk generasi akan datang.
Punca Pembaziran Makanan
Terdapat banyak cara makanan dibazirkan. Sebagai contoh, jika di ladang, tanaman yang rosak dan tidak dituai dengan sempurna akan menyebabkan pembaziran hasil tanaman pada kuantiti yang besar.
Makanan juga terbuang dalam rantaian bekalan pemprosesan, pembuatan dan pengedaran, seperti kerosakan dari masa penyimpanan dan pengangkutan yang salah.
Jika di peringkat runcit pula, banyak makanan yang dibazirkan kerana sudah mencapai tarikh luput, makanan rosak dan juga pengendalian yang tidak efektif disebabkan oleh lambakan kuantiti produk yang dikeluarkan.
Malah, masalah pembaziran makanan juga berlaku di peringkat restoran dan kedai makan, kafeteria di sekolah, universiti, hospital dan institusi lain. Jadinya, ia tidak hanya berlaku pada peringkat rumah dan individu, tetapi masalah pengurusan sisa makanan turut berlaku dalam kalangan syarikat awam dan swasta yang besar.
Kesan Pembaziran Sisa Makanan Kepada Semua
Perkara penting yang harus diingat dari segi kesannya ialah apabila makanan dibuang, ia bukan hanya makanan. Semua sumber yang dihasilkan untuk menghasilkan dan mengangkut makanan itu, tanah, air, tenaga dan sebagainya juga dibuang.
Sebagai contoh, jumlah air yang diperlukan untuk menghasilkan 500g epal adalah sama kuantiti air mandi selama 43 minit. Sementara 500g keju adalah bersamaan dengan waktu mandi 2 jam. Manakala yang paling mengejutkan, air yang diperlukan untuk menghasilkan 500g daging lembu adalah sama dengan jumlah air mandi 6 jam.
Bukan itu sahaja, dengan lambakan sisa makanan ini juga, ia memerlukan pihak berkuasa untuk terus mencari tempat untuk mengumpul dan menghimpun sisa makanan yang dibuang. Akibatnya, ia menjurus kepada peningkatan gas rumah hijau, penebangan hutan, pencemaran, kehilangan kawasan hijau dan semakin banyak lokasi hutan sampah di seluruh dunia.
Sudahkah anda nampak gambaran besar untuk pembuangan sisa sampah yang tinggi di Malaysia dan juga beberapa negara lain?
Jika tabiat ini tidak dipandang serius, ia selepas ini akan mencetuskan impak yang besar kepada alam sekitar dan mengajar generasi akan datang untuk terus menghiraukan kepentingan penjagaan sumber.
Inisiatif Rangkaian Restoran Dalam Menangani Isu Sisa Makanan
Terdapat pelbagai badan dan restoran yang mula hadir dengan inisiatif dan langkah yang baik dalam menangani masalah pembaziran makanan. Antaranya adalah restoran steamboat Jepun yang popular di Malaysia yang mana mereka akan mengenakan tindakan ke atas individu yang melakukan pembaziran makanan.
Untuk setiap makanan yang dibiarkan tidak di makan di atas meja, pihak pengurusan Sukiya akan meminta pelanggan membayar caj tambahan mengikut bilangan berat yang terbazir.
Sementara, di Aeon, Tesco dan juga Village Grocer pula hadir dengan langkah menawarkan makanan dan bahan-bahan dapur yang sudah menghampiri tarikh luput pada harga yang lebih murah dan berpatutan untuk dimiliki. Dengan ini, ia menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama mengurangkan pembuangan sisa makanan dengan lebih baik.