Lina Rosli Diterbitkan 28 September 2021

Mengapa Pentingnya Pemeriksaan Kesihatan?

“Adakah saya benar-benar memerlukan pemeriksaan kesihatan? Saya kelihatan kuat dan sihat. Jadi, mengapa saya perlu pergi?”.

Ini adalah soalan yang sering timbul oleh kebanyakn individu tidak kira muda ataupun tua. Kita sering beranggapan yang mana selagi tubuh tidak mengeluarkan tanda-tanda penyakit secara fizikal, maka ia boleh dikatakan agak sukar untuk mana-mana individu pergi ke klinik dan melakukan pemeriksaan kesihatan.

Kepentingan Pemeriksaan Kesihatan

Pemeriksaan kesihatan membolehkan anda mengesan keadaan tertentu pada peringkat awal. Ini sangat penting untuk jenis keadaan yang tidak menimbulkan gejala atau tanda yang jelas seperti Anemia, kanser payudara, Chlamydia, Hepatitis B, HIV dan HPV.

Selain itu, penyakit kardiovaskular (CVD) juga ditakrifkan sebagai penyakit atau keadaan yang mempengaruhi jantung dan saluran darah secara senyap dan tidak menunjukkan apa-apa simptom. Ini menjadikannya sangat sukar untuk mengenal pasti dan mencegah kejadian kardiovaskular.


Oleh itu, dengan perlaksanaan pemeriksaan dan ujian kesihatan berkala banyak membantu menentukan keadaan kesihatan anda dan bahkan mengetahui masalah yang sudah ada atau akan muncul dalam waktu terdekat. 

Malah, menerusi pemeriksaan kesihatan secara berkala juga, ia pada dasarnya meningkatkan peluang anda menjalani kehidupan yang lebih sihat dan panjang. Kebiasaannya, pemeriksaan kesihatan terdiri daripada ujian yang membantu dalam menilai fungsi jantung, paru-paru, sistem pencernaan, ginjal, hati, tulang, sistem imun dan ujian pencitraan seperti sinar-X dada dan ultrasound.

Bergantung pada sejarah perubatan anda, pemeriksaan pilihan juga tersedia. Ia merangkumi ujian khusus kanser seperti penanda profil kanser serta ujian mamografi dan ginekologi. Setiap ujian ini dilakukan dalam persekitaran yang dikendalikan dengan teliti untuk memastikan sampel yang diperoleh hanya menghasilkan hasil yang paling tepat.


Harus diingatkan juga, pemeriksaan kesihatan secara berkala tidak hanya memberitahu anda tentang pendedahan kepada penyakit berisiko tetapi juga membantu anda untuk bertukar kepada gaya hidup yang lebih sihat,

Sebagai contoh, jika anda seseorang yang memiliki tabiat buruk dalam pemakanan, dengan melakukan pemeriksaan kesihatan, ia dapat membantu mengawasi pengambilan gula, karbohidrat dan sebagainya. Jika sebalik, anda merupakan seorang pengamal diet kesihatan yang baik, maka kesihatan anda menunjukkan hasil yang positif.

Berapa kerap pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan?

Walaupun terdapat banyak pendapat yang berbeza, kekerapan pemeriksaan kesihatan biasanya disarankan setahun sekali jika anda berusia lebih dari 50 tahun, dan 3 tahun sekali jika anda berusia lebih muda dari 50 tahun dan mempunyai keadaan sihat.

Sekiranya anda mempunyai penyakit kronik atau masalah kesihatan yang berterusan, anda harus berjumpa doktor lebih kerap, tidak kira berapa umur anda.

Kekerapan pemeriksaan kesihatan sebenarnya adalah sebagai salah satu alternatif yang mana sebagai cara untuk mengurangkan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan atau pembedahan perubatan di kebanyakan hospital dan klinik.


Kesihatan adalah aset paling berharga yang dapat dimiliki oleh semua orang. Jangan biarkan rutin dan tabiat buruk anda merosakkan keadaan dan mendedahkan anda kepada risiko menderita penyakit kronik dan tidak dapat disembuhkan.

Pastikan anda mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala, makan secara sihat dan menjauhkan diri dari tabiat yang boleh mendatangkan keburukan pada tubuh anda

Sumber: mypvhc islandhospital