Apabila mengunjungi pasaraya atau kedai runcit untuk mendapatkan barangan keperluan rumah, pastinya akan berlaku insiden seperti ramai orang beratur di kaunter, barang-barang dapur sudah tidak segar, stok makanan mentah tidak banyak dan bermacam-macam lagi.

Jadinya, untuk mengelakkan semua insiden ini berlaku, Tajria ingin berkongsi kepada anda beberapa cadangan waktu yang membantu anda menikmati pengalaman membeli belah yang lebih lancar selain mengurangkan risiko anda berdepan dengan tsunami manusia di dalam pasaraya.


Waktu Yang Sesuai Untuk Berbelanja Tanpa Berhadapan Dengan Orang Ramai

Kebanyakan individu biasanya akan keluar rumah dan pergi berbelanja di pasaraya setelah mereka habis dan baru pulang dari kerja iaitu, sekitar jam 4 petang hingga 7 malam.

Jadi, sebaiknya anda mengelakkan waktu tersebut untuk mendapatkan barang keperluan anda. Anda disarankan untuk kunjungi ke pasaraya antara jam sekitar 10 pagi hingga 12 tengahari.


Pilih waktu sama ada pasaraya tersebut baru sahaja dibuka atau jika tidak sempat, pilih waktu yang lebih lambat dan sekitar waktu sebelum ditutup. Melaluinya, anda tidak akan beratur panjang untuk bayar selain lebih mudah untuk mendapatkan tempat meletakkan kenderaan.

Selain itu, sekiranya anda ingin mengelakkan kerumunan orang, elakkan juga dari mengunjungi pasaraya pada hujung minggu.

Waktu Yang Sesuai Untuk Mendapatkan Makanan Mentah Pada Kualiti Yang Baik

Apa yang penting adalah, anda perlu mengunjungi pasar atau pasaraya pada awal waktu.

Dengan ini, anda akan mendapat bahagian tenusu, daging dan makanan laut yang segar dan masih berkualiti. Hal ini kerana, ia bukan sahaja makanan tersebut baru sahaja dikeluarkan dari peti simpanan, malah anda juga dapat memilih dahulu sebelum orang lain tiba.

Sekiranya lewat, makanan mentah yang tinggal biasanya adalah pilihan yang kurang diingini.

Waktu Yang Sesuai Untuk Mendapatkan Tawaran Yang Berbaloi

Waktu ini sebenarnya bergantung pada pasaraya dan kedai runcit di kawasan anda.

Sebagai contoh, untuk AEON Big, mereka biasanya melakukan promosi yang berbaloi pada hari ke-8 dan ke-28 setiap bulan. Sementara Giant pula akan melakukan promosi pada hari ke-26 hingga ke-29 setiap bulan. Melaluinya, pelbagai diskaun dan harga berbaloi ditawarkan kepada anda.


Jadi, untuk mengetahui promosi yang dilakukan setiap pasaraya, lakukan sedikit kajian dan pergi ke kedai pada hari yang sama. Kebanyakan pasar juga akan banyak menyediakan tawaran pada hari Rabu sekaligus menjadikan pagi Rabu biasanya waktu yang tepat untuk mendapatkan tawaran.

Ini adalah beberapa tips yang boleh anda praktikkan sewaktu anda ingin membeli barang keperluan rumah dan dapur di pasar, pasaraya atau kedai runcit berdekatan.