Barang kemas dan aksesori seperti cincin, gelang dan rantai adalah sangat sinonim dengan kebanyakan wanita tidak kira di Malaysia mahupun di luar negar.
Kebiasaannya, barang kemas ini adalah barang pusaka keluarga ataupun hadiah pemberian daripada orang tersayang. Namun ada juga yang membeli aksesori dan barang kemas sendiri dengan tujuan pelaburan jangka panjang.
Di Malaysia, antara jenama barang kemas yang terkemuka selain turut menjadi pilihan para individu adalah HABIB Jewels. Ia bukan sahaja digunakan oleh para selebriti, malah ia turut menjadi pilihan oleh semua lapisan individu disebabkan oleh variasi rekaan dan juga ciri reka bentuk ukiran yang cukup menarik.

Di sebalik kejayaan yang terlakar hari ini, terdapat pelbagai kisah suka-duka dan jatuh bangun yang kini sememangnya menjadi inspirasi kepada semua. Oleh itu, Tajria hari ini ingin berkongsi serba sedikit sejarah bermulanya HABIB dan bagaimana ia menjadi antara jenama yang digemari ramai.
Bermulanya Empayar HABIB
Sejarah jenama HABIB bermula pada tahun 1958 apabila pengasasnya iaitu Datuk Haji Habib Mohamed Abdul Latif mula membuka sebuah kedai peruncitan di Jalan Masjid Kapitan Keling. Kawasan itu sememangnya terkenal dengan deretan kedai barangan kemas yang menjadi tumpuan orang ramai sehingga digelar ‘Jewellers’ Corner’.
Asal usul nama HABIB ini diambil daripada nama pengasanyanya itu Datuk Haji Habib. Beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan berani untuk tampil berbeza.
Lebih-lebih lagi sewaktu selepas perang dunia kedua, keadaan pada ketika itu adalah begitu mencabar dan beliau memulakan kerjayanya dengan bekerja di kantin pejabat pos Jalan Masjid Kapitan Keling.

Melalui pemerhatiannya, kawasan ini dipenuhi dengan peniaga barangan kemas dan setiap pelanggan yang meninggalkan kedai pastinya diiringi senyuman kegembiraan. Dan di sebalik senyuman itu, beliau menyedari yang mana individu yang membeli barangan kemas bertujuan untuk meraikan sesuatu berita gembira ataupun menandakan satu detik istimewa dan sambutan hari bermakna.
Perkara Ini telah mendorong beliau untuk membuka kedai barangan kemas beliau sendiri. Menariknya, sementara peniaga barangan kemas yang lain sekadar menjual emas, namun HABIB tampil dengan kelainan apabila menjual berlian dan batu permata.
Bagaimana Jenama HABIB Mula Mendapat Perhatian Ramai?
Menurut anak lelaki pengasas HABIB iaitu Dato’ Sri Meer Habib, beliau amat teruja setiap kali melihat bapanya membuka peti besi dan sentiasa kagum dengan kilauan pelbagai warna berlian dan batu permata.
Perkara ini mempengaruhi beliau untuk belajar dan berazam untuk membantu menguruskan perniagaan bapanya. Selepas tamat belajar, beliau mendapat ilham untuk membawa konsep peruncitan barangan kemas berikutan jurang permintaan yang tinggi dalam pasaran.

Pada ketika itu, rekaan untuk barangan kemas berlian untuk masyarakat melayu adalah terhad dan permintaan begitu tinggi. Pelanggan inginkan pilihan untuk rantai labuh, kerongsang, butang baju melayu yang tiada di pasaran pada masa itu.

Lanjutan kurangnya variasi produk di pasaran, HABIB mula mengeluarkan pelbagai koleksi berlian dan batu permata dan menjadikan HABIB sebagai satu-satunya peniaga barangan berlian dan batu permata sekaligus menjadikan jenama tersebut sebagai tempat tumpuan peminat barangan berlian.
Penawaran Konsep Kedai Emas Yang Lebih Mesra Pelanggan
Pada tahun 1986, HABIB mula membuka bilik pameran pertamanya di Semua House.

Kebiasaannya, kedai emas di kebanyakan bandar cenderung untuk hadir dengan susun atur kedai yang diletakkan pagar dan agak sukar untuk pelanggan berinteraksi dengan pekerja di dalam kedai.
Tidak dinafikan langkah ini bertujuan untuk mengurangkan risiko kecurian, namun jika dilihat dari sudut pandang yang lain, ia seakan tidak kondusif untuk pelanggan melihat dan mencari produk yang sesuai untuk dibeli.
Namun, bagi HABIB, mereka memilih untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih peribadi dan dekat dengan pelanggan. Oleh itu, untuk bilik pameran HABIB, mereka telah mengubah suainya menggunakan konsep kedai emasnya yang lebih mesra pelanggan dengan tidak menggunakan jeriji logam seperti kedai-kedai emas lain agar pelanggan merasakan pengalaman membeli yang lebih peribadi dan selesa.

Menurut Dato’ Sri Meer juga, pemasaran adalah satu pelaburan yang mesti dilaksanakan sesebuah syarikat untuk kekal relevan. Pada masa itu, HABIB adalah sebuah jenama barangan kemas yang pertama yang bersiaran secara langsung di platform media tradisional seperti radio and televisyen selain turut mengiklankan produk mereka di papan pengangkutan awam dan lebuhraya.
Pelbagai initiative telah diusahakan untuk meletakkan HABIB di tahap ini, sejarah baru tercipta apabila HABIB menjadi jenama barangan kemas yang pertama tersenarai dalam Bursa Malaysia sebelum kembali diswastakan pada tahun 2005.
Memperkukuhkan Kedudukan Jenama Menerusi Pengenalan Potongan Berlian Paling Sempuna
HABIB turut berjaya meraih kepercayaan daripada jenama antarabangsa untuk melebarkan sayapnya dengan menjual berlian Hearts On Fire dari Amerika Syarikat yang mempertaruhkan potongan berlian yang paling sempurna di dunia yang juga disebut sebagai ‘World’s Most Perfectly Cut Diamond’.
Bukan itu sahaja, HABIB turut menampilkan jenama barangan kemas eksklusif Stephen Webster dari London, Pandora dari Denmark, Les Georgettes by Altesse dari Perancis, TOUS dari Sepanyol serta pengedar tunggal jam tangan mewah mampu milik Ice- Watch dari Belgium.

Selain itu, HABIB turut memperluaskan perniagaan dalam industri lain seperti penjualan barangan kemas mewah antik menerusi jenama Chantique, perkhidmatan pajak gadai Islam pertama yang menerima berlian, batu permata dan emas iaitu Ar-Rahnu Express, TimeZone, dan industri pertama diceburi selain barangan kemas iaitu Hotel Jewels yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Pada tahun 2010 pula, HABIB tampil dengan koleksi emas Oro Italia 916, iaitu satu koleksi emas yang eksklusif yang hanya dijual di HABIB. Reka bentuk yang begitu unik dan baru dan berkualiti tinggi selain turut diperbuat di Itali dengan unsur warisan budaya negara yang memenuhi citarasa rakyat Malaysia.

Koleksi Oro Italia 916 ini melalui proses penyelidikan dan pembangunan yang teliti menitikberatkan kualiti, hasil kerja tangan yang halus. Sejak itu koleksi ini telah menjadikan perhiasan yang mesti ada bagi setiap peminat barangan emas.
Kini, HABIB diterajui oleh Dato’ Sri Meer Habib selaku Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB bersama isterinya, Datin Sri Zarida Noordin selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan HABIB dengan 30 bilik pameran bersama lebih 1,300 pekerja di bawah Kumpulan HABIB di seluruh negara.
Selain bergerak secara fizikal, HABIB turut meluaskan penawaran perkhidmatan ke arah platfom digital melalui pelancaran kedai digital yang yang tersendiri di www.habibjewels.com.