Kebanyakan bandar-bandar yang membangun di Malaysia kini hadir dengan pelan perumahan yang memfokuskan kepada hartanah jenis strata. Ia berikutan hartanah strata mempunyai kos bagi seunit yang lebih murah, terutamanya untuk pembangunan di pusat bandar.

Malah, ia juga mempunyai permintaan yang lebih tinggi dari pembeli dan penyewa sekaligus mendorong pertumbuhan modal yang lebih besar. Bukan itu sahaja, ia turut memberi akses kepada kemudahan komunal selain dilengkapi agihan kos penyelenggaraan hartanah yang dibahagikan antara semua pemilik.

Antara contoh hartanah strata termasuklah rumah kondominium, pangsapuri atau flat ataupun townhouse, SoHo, SoVo dan beberapa jenis bangunan tinggi bertingkat yang lain.


Oleh sebab pemilik hartanah tinggal di bangunan yang dibina atas sebidang tanah yang sama dan berkongsi akses kemudahan bersama, maka terdapat akta yang digubal bagi menjaga hak anda iaitu Akta Hakmilik Strata (AHS) 2013.

Apa Itu Akta Hakmilik Strata (AHS) 2013?

Akta Hakmilik Strata (AHS) 2013 merupakan regulasi yang menyediakan penyelenggaraan dan pengurusan yang betul untuk bangunan dan harta bersama dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

Di bawah Akta Hakmilik Strata (AHS) 2013, terdapat tiga jenis badan pengurusan yang bertanggungjawab menjaga hartanah milik anda, iaitu:

  • Badan Pengurusan Bersama (JMB)
  • Korporasi Pengurusan (MC)
  • Sub-Korporasi Pengurusan

Untuk pengetahuan anda, Badan Pengurusan Bersama (JMB) merupakan kerjasama yang ditubuhkan antara pemaju dan pemilik harta strata. JMB harus memastikan bahawa pangsapuri dan hartanah strata diuruskan dengan baik serta menentukan caj penyelenggaraan dan dana simpanan bagi setiap pemilik.

Management Corporation (MC) atau Korporasi Pengurusan pula mempunyai tugas dan kuasa yang serupa tetapi hanya dibentuk setelah anda mendapat hak milik anda.

Antara bidang tugasnya termasuk mengurus dan mengekalkan harta bersama untuk faedah kepada semua pemilik dan juga memastikan bangunan terhindar daripada kebakaran dan risiko lain.

Manakala Sub-Korporasi Pengurusan pula dimainkan apabila ada keperluan untuk pengurusan yang berasingan. Contoh ketika terdapat hartanah komersial dan kediaman yang terhad. 

Tahukah Anda Boleh Disaman Jika Mengubahsuai Rumah Tanpa Permit?

Oleh sebab hartanah strata mempunyai badan pengurusan yang mengurus dan mengurus harta tersebut, maka pemilik unit strata perlu mendapat kelulusan ataupun surat kebenaran untuk melakukan kerja-kerja ubah suai unit.

Walau bagaimanapun, pihak pengurusan berhak menolak permohonan anda jika tidak memenuhi garis panduan yang ditetapkan. Kebiasaannya, permohonan yang ditolak merangkumi jenis pengubahsuaian secara besar-besaran.

Sebagai contoh, anda ingin menukar saluran paip air sehingga boleh menimbulkan isu kepada pemilik lain, penambahan ruang dalam rumah yang memerlukan dinding dipecahkan dan sebagainya.


Jadinya, jika anda mula mengubahsuai unit hartanah anda sebelum mendapat kebenaran pihak pengurusan, anda mungkin diminta untuk membayar denda akibat daripada pelanggaran Akta Hakmilik Strata 2015.

Ketahui Jenis Ubahsuai Rumah Yang Memerlukan Permit Atau Tidak Memerlukan Permit

Berikut adalah jenis pengubahsuaian unit strata yang memerlukan permit sebelum mula melaksanakannya:

  • Pengubahsuaian pintu pagar atau dinding sedia ada
  • Pembinaan pagoda atau pergola
  • Penambahan tiang dan kabel
  • Pemasangan atau penggantian kelengkapan dinding atau lantai yang melebihi 6.5m persegi
  • Pemasangan atau penggantian siling plaster

Berikut adalah jenis pengubahsuaian unit strata yang tidak memerlukan permit untuk menambah atau mengubahnya:

  • Pemasangan atau penggantian unit penyaman udara
  • Pemasangan awning
  • Pemasangan atau pembaikan saluran air hujan
  • Pemasangan kaunter atau kabinet
  • Kerja-kerja mengecat di dalam rumah

Bukan itu sahaja, di bawah Akta Hakmilik Strata 2013, badan pengurusan diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang kecil yang melarang tindakan mengganggu ke atas semua pemilik unit mengikut kesesuaian setempat. Apabila dilanggar, mereka boleh menjatuhkan hukuman yang dipersetujui bersama kepada pesalah.

Sumber: JKPTG Property Guru AskLegal