Selain minyak, sebenarnya kopi adalah komoditi yang paling berharga yang diperdagangkan secara sah di dunia. Menurut British Coffee Association, permintaan untuk kopi dianggarkan sebanyak 2 bilion cawan kopi dipesan dan dihidangkan setiap hari di seluruh dunia.
Antara faktor yang menyebabkan peningkatan permintaan kopi ini adalah disebabkan oleh budaya kafe juga terus meningkat. Kira-kira 80% orang yang mengunjungi kedai kopi melakukannya sekurang-kurangnya sekali seminggu, sementara 16% daripada penggemar kopi akan berkunjung ke kafe setiap hari.
Bukan itu sahaja, penyediaan kopi di rumah juga menjadi semakin popular terutama dari kalangan milennials yang berumur 16 hingga 34 tahun. Rentetan dari itu, ia sedikit sebanyak telah mengubah lanskap pasaran jualan mesin kopi di seluruh dunia.
Dari Mana Asalnya Perkataan Kopi?
Kopi telah ditanam di seluruh dunia sejak berabad-abad lamanya. Ada laporan yang menyatakan bahawa kopi pertama kali ditemui di hutan kopi purba di dataran tinggi Ethiopia. Seorang penggembala kambing Kaldi menemui buah beri dari sebatang pokok dan diberikan kepada kambingnya.
Kemudian, beliau mendapati kambingnya menjadi sangat bertenaga sehingga mereka tidak ingin tidur pada waktu malam.
Namun, ada juga kisah yang menyatakan kopi diperkenalkan di dalam hidangan masyarakat Arab pada abad ke-15. Pokok kopi telah ditanam di daerah Yemen di Arab. Menjelang abad ke-16, kopi mula popular di Parsi, Mesir, Syria dan Turki.
Pada ketika itu, kopi dilihat hadir dengan pelbagai nama yang berbeza mengikut bahasa. Menurut NCAUSA, nama kopi di Yaman dikenali sebagai Qahwah. Ia diperoleh daripada istilah romantik untuk arak iaitu “Wine of Araby”. Sementara di Turki pula, kopi disebut sebagai qahveh khaneh.
Selain itu, sewaktu perdagangan kopi daripada Afrika mula bertapak di Yaman juga, terdapatnya tempat perlabuhan yang dipanggil Mocha. Disebabkan populariti kopi yang berkembang meluas selain aktiviti penghantaran kopi dari bandar pelabuhan meningkat, nama Mocha menjadi sinonim dengan kopi.
Perkembangan Kopi Ke Serata Dunia
Negara Arab adalah pemula trend untuk minuman kopi dan menjadikannya sebagai tempat pembelian kopi dari pelbagai negara termasuk India dan Asia Tenggara.
Perkembangan kopi ini turut didorong oleh individu yang tiba di Arab atau lebih spesifik iatu Mekah untuk menunaikan haji. Antaranya adalah Baba Budan, iaitu seorang sufi dari India yang tiba untuk menunaikan haji pada tahun 1670. Beliau menyeludup beberapa biji kopi subur kembali ke India dan memulakan penanaman kopi di negara tersebut.
Beberapa dekad sebelumnya, Belanda juga telah menyeludup tanaman kopi dari Yaman dalam usaha menanam biji di Belanda, tetapi kerana cuaca sejuk, skema penanaman mereka gagal dengan teruk.
Ketika tahun 1600-an, kedai kopi mula muncul di seluruh Eropah di England, Austria, Perancis dan Jerman.
Sama seperti kedai kopi di Arab, tempat-tempat ini menjadi pusat sosial di mana seseorang dapat terlibat dalam perbincangan dan perbahasan politik. Dengan harga secawan kopi, anda boleh mempelajari pelbagai perkara semasa perbualan awam dijalankan.
Nampaknya, seperti apa yang kita lihat di Malaysia juga, budaya kedai perbincangan di kopi ini tidak hanya terhad di Malaysia. Malah, ia turut menjadi trend di kebanyakan negara.
Menjelang akhir tahun 1800-an, kopi telah menjadi komoditi di seluruh dunia, dan pengusaha mula mencari cara baru untuk mendapatkan keuntungan dari minuman popular tersebut termasuklah pembukaan Starbucks di Seattle dan banyak lagi kafe-kafe kecil mula diperkenal yang mana ia dimiliki secara mandiri oleh penduduk tempatan.
Sehingga kini, kopi mula menjadi pilihan minuman utama ketika sarapan menggantikan pelbagai jenis minuman tenaga yang biasa.