Tahukah Anda Mengapa Roti Di Subway Tidak Boleh Dipanggil Roti – Menurut Mahkamah Ireland?
Lina Rosli
Secara umumnya, roti Subway mungkin kelihatan seperti roti biasa, tetapi kandungan gulanya pernah menjadi isu dalam satu kes mahkamah di Ireland.
Pada September 2020, Mahkamah Agung Ireland memutuskan bahawa roti yang digunakan dalam sandwic panas Subway tidak memenuhi takrif roti untuk tujuan pengecualian cukai nilai tambah (VAT) di bawah undang-undang negara itu.
Keputusan ini dibuat susulan pertikaian cukai yang melibatkan Bookfinders Ltd., sebuah syarikat yang mengendalikan restoran Subway di Ireland. Syarikat tersebut memohon bayaran balik cukai kerana berpendapat bahawa beberapa produk yang dijual layak dikenakan VAT pada kadar sifar peratus.

Mengapa Roti Subway Tidak Diiktiraf Sebagai Roti?
Isu utama dalam kes ini ialah kandungan gula dalam roti Subway.
Di bawah Akta Cukai Nilai Tambah Ireland 1972, roti perlu memenuhi syarat tertentu untuk layak mendapat pengecualian VAT.
Antaranya, jumlah gula, lemak dan bahan penambah roti tertentu tidak boleh melebihi dua peratus daripada berat tepung dalam adunan.
Walau bagaimanapun, roti yang digunakan dalam sandwic panas Subway mempunyai kandungan gula bersamaan 10 peratus daripada berat tepung. Jumlah ini lima kali ganda daripada had yang ditetapkan.
Mahkamah Agung Ireland akhirnya menolak rayuan syarikat tersebut. Oleh itu, roti berkenaan tidak layak mendapat pengecualian VAT yang diberikan kepada kategori roti tertentu.

Jadi, Adakah Roti Subway Sebenarnya Bukan Roti?
Tidak. Keputusan mahkamah itu tidak bermaksud roti Subway bukan roti dari sudut penggunaan harian atau pemakanan.
Sebaliknya, keputusan tersebut hanya berkaitan dengan takrif roti di bawah undang-undang cukai Ireland. Oleh sebab kandungan gulanya melebihi had yang ditetapkan, roti itu tidak memenuhi syarat untuk mendapat pengecualian VAT berkenaan.
Keputusan ini juga tidak bermaksud semua roti Subway di seluruh dunia tertakluk pada peraturan yang sama. Kes tersebut melibatkan undang-undang cukai Ireland dan produk yang dipertikaikan dalam prosiding mahkamah berkenaan.

Jika anda hendak mendapatkan sandwic dari Subway, anda mungkin boleh mencuba beberapa pilihan roti Subway yang paling sihat termasuklah roti gandum 9-butir, roti rata multigrain dan artisan yang mana ia mengandungi jumlah kalori yang cukup rendah bagi anda yang mementingkan pengambilan kalori.
Sumber: The Guardian Today