Di Malaysia, sekitar 10 jenis kanser tertinggi telah dikesan mengikut keutamaan iaitu payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim dan ovari. Sekitar 115,238 kes telah berlaku dalam kalangan rakyat bagi tempoh 2012 hingga 2016.

Oleh itu, bagi meningkatkan kesedaran mengenai kompleksiti penyakit ini dan cara untuk merawatnya, terdapat pelbagai kempen telah dirancang dan diketengahkan bertujuan memberi pencerahan kepada orang ramai.


Sebagai contoh, pada setiap bulan Oktober, kempen kesedaran mengenai kanser payudara dilaksanakan di seluruh dunia. Acara tahunan ini lebih dari sekadar cara mengumpulkan dana untuk penyelidikan kanser payudara, namun turut membantu dalam meningkatkan kesedaran mengenai cara bagaimana untuk mengesan serta mencari jenis rawatan yang tepat baginya.

4 Kanser Utama Yang Sering Dihadapi Wanita

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser-kanser yang sering dihadapi wanita selain kanser payudara termasuklah kanser kolorektal iaitu kanser yang melibatkan usus, kanser ovari dan juga kanser serviks. Kesemua kanser ini dilihat menunjukkan kadar kes yang semakin meningkat setiap tahun.

Selari dengan misi WHO, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) turut memberi tumpuan kepada kesihatan wanita dan bagaimana mereka dapat tampil lebih berani dalam menjaga kesejahteraan diri melalui kempen #GIRLPOWER yang akan berlangsung sepanjang bulan Oktober ini. 


Pakar Konsultan Onkologi daripada SMCV, Dr Hafizah Zaharah, berkongsi bahawa wanita dari semua peringkat umur perlu menjaga kesihatan supaya mereka dapat melakukan apa yang terbaik untuk diri mereka. Malah, wanita perlu mengetahui setiap perubahan yang dialami oleh tubuh badan mereka pada setiap masa. 

Oleh itu, pengesanan awal untuk kanser adalah sangat penting serta tanda-tanda gejala dan simptom haruslah diberi perhatian.

Ketahui Gejala Awal Bagi 4 Kanser Popular – Payudara, Kolorektal, Ovari, Serviks

Bagi setiap jenis kanser, ia akan menunjukkan gejala yang berbeza bagi setiap pesakit. Ada pesakit yang mengalami beberapa gejala, namun ada juga yang hanya mengalami satu gejala sahaja.

Berikut adalah beberapa gejala yang penting dan perlu diawasi berkaitan keempat-empat kanser.

Gejala Bagi Kanser Payudara
  • Ketulan di payudara atau ketiak
  • Perubahan saiz payudara, kulit dan bentuk yang mana mungkin berlakunya bengkak, melekuk, kerengsaan, penebalan atau kemerahan pada kulit
  • Perubahan puting sama ada berdarah, bersisik atau berlaku penguncupan
Gejala Bagi Kanser Kolorektal
  • Perubahan tabiat membuang air besar yang melibatkan cirit-birit, sembelit, najis menjadi lebih halus dan berlarutan selama beberapa hari
  • Pendarahan rektum dengan darah berwarna merah terang atau gelap
  • Darah dalam najis yang menukarkan warnanya menjadi coklat gelap atau hitam
  • Kekejangan atau sakit perut yang berterusan
  • Anemia disebabkan oleh kekurangan zat besi
Gejala Bagi Kanser Ovari
  • Perut kembung atau bengkak
  • Tiada selera makan dan cepat rasa kenyang
  • Sakit pelvis atau pada bahagian sekitar perut
Gejala Bagi Kanser Serviks
  • Pendarahan vagina yang tidak normal terutamanya selepas persetubuhan, pendarahan dan pendarahan bertompok di antara haid
  • Discas vagina yang tidak normal
  • Kesakitan semasa persetubuhan
  • Pendarahan vagina selepas putus haid
  • Kesakitan di bahagian pelvis

Bagaimana Pengesanan Awal Dapat Menyelamatkan Nyawa?

Bagi wanita yang tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan, Dr Hafizah menyarankan mereka untuk menjalani pemeriksaan atau ujian saringan yang spesifik mengikut gejala yang dialami mereka.

Antara pemeriksaan yang bakal dilakukan termasuk:

  • Ujian mamogram dan ultrasound payudara untuk kanser payudara
  • Kolonoskopi untuk kanser kolorektal
  • Ujian darah dan penanda tumor untuk kanser ovari
  • Ujian lumuran pap (pap smear test) untuk kanser serviks.

Mereka juga boleh mengambil ujian darah dan penanda tumor sebagai ujian tambahan semasa pemeriksaan untuk kanser payudara dan kanser kolorektal bagi mendapatkan diagnosis yang lebih tepat.

Untuk wanita yang telah mengenalpasti gejala dan pernah menjalani ujian sarigan, mereka perlu menjalani pemeriksaan dan ujian saringan sekali lagi dan mungkin memerlukan pemeriksaan yang lebih terperinci jika mereka mengalami gejala semula selepas pemeriksaan yang pertama.

Wanita berusia lebih 40 tahun disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali, dan dua tahun sekali bagi wanita yang berusia lebih muda. 

Untuk menggalakkan lebih ramai wanita untuk tampil kehadapan dan menjaga kesihatan mereka, SMCV menyediakan pelbagai pakej pemeriksaan kesihatan sebagai sebahagian daripada kempen #GIRLPOWER mereka. Pihak hospital berharap kempen ini dapat menimbulkan kesedaran dan dijadikan topik perbualan di antara para wanita di samping dapat menyediakan peluang untuk wanita hidup dengan lebih sihat.