Tahukah anda, Happy Meal pertama dijual pada tahun 1979 yang mana penawarannya disediakan di dalam kotak bertema sarkas?
Happy Meal merupakan set yang dikhususkan untuk kanak-kanak yang menampilkan hidangan kentang goreng, biskut, minuman ringan dan mainan yang menarik di dalam satu kotak.
Mainan yang disertakan mempunyai logo McDonald’s dan diletakkan jenama ‘Mc’ bagi setiap mainan seperti McDoodler, McWrist dan banyak lagi. Sehingga ke hari ini, Happy Meal mendapat perhatian yang cukup meriah tidak kira untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Mengapa Set Happy Meal McDonald’s Popular?
Antara faktor yang mendorong populariti set Happy Meal ini adalah penawarannya yang lengkap di samping tarikan mainan yang ditawarkan pada setiap musim.
Bukan itu sahaja, kolaborasi bersama beberapa jenama terkenal turut menjadi faktor kepada peningkatan populariti set ini dalam kalangan pelanggan. Antara jenama yang pernah hadir di dalam kotak Happy Meal termasuklah Pokémon 25th Anniversary Packs (2021), Hot Wheels (1983), Power Rangers (1995), Underwater Monsters By Diener Keshi (1979) dan banyak lagi.

Menurut Bernstein iaitu pemilik restoran makanan segera ini, dengan kehadiran set Happy Meal, ia dapat mewujudkan pengalaman makan yang lebih baik untuk keluarga dengan anak-anak. Hal ini kerana, anak-anak dapat set makanan bungkus mereka yang tersendiri yang menjadikan ianya sesuatu yang lebih bermakna untuk mereka.
McDonald’s Merancang Untuk Menampilkan Mainan Happy Meals Yang Lestari
Seperti ramai sedia maklum, peralihan ke arah kelestarian sudah menjadi suatu keperluan bagi kebanyakan jenama. Ia melibatkan pelbagai industri yang pesat membangun seperti fesyen, pemakanan, teknologi dan sebagainya.
Nampaknya untuk menjayakan idea lestari ini di samping turut ingin mengurangkan penggunaan plastik berasaskan bahan bakar fosil, McDonald’s dilihat dalam perancangan untuk menawarkan mainan lestari bagi set Happy Meal.
McDonald’s menyasarkan peralihan ke arah lestari sepenuhnya menjelang tahun 2025 yang kesemua mainan Happy Meals yang dijual di seluruh dunia akan ditawarkan menggunakan bahan-bahan yang lebih mesra alam seperti plastik kitar semula atau bahan yang berasal dari tumbuhan.

Syarikat itu turut menyatakan bahawa menerusi peralihan, ia menjadi titik utama dalam membantu jenama McDonald’s memperkenalkan reka bentuk mainan yang lebih inovatif selain akan hadir dengan inisiatif baru dalam memelihara alam serta memulihara hutan dan ekosistem secara global.
Sebagai permulaan, McDonald’s kini menawarkan mainan tanpa menggunakan plastik yang tidak boleh diperbaharui bagi negara UK dan Ireland. Sementara di Perancis, set Happy Meal kini tidak lagi disertakan dengan mainan plastik. Manakala untuk pelanggan di Amerika Syarikat, McDonald’s telah melancarkan beberapa pilihan mainan berasaskan kertas, seperti buku dan kad Pokemon.