Selepas mengeluarkan Nescafe Edisi Lokal Gula Melaka, nampaknya minuman kopi segera ini telah mendapat pilihan daripada ramai pihak. Oleh sebab itu, Nescafe telah tampil dengan variasi baru di bawah koleksi Edisi Lokal iaitu Pandan dan juga Ros Bandung.

Untuk pengetahuan anda, Nescafe telahpun mengeluarkan pelbagai jenis perisa kopi segera yang berasaskan citarasa tempatan seperti Nescafe Kopitiam yang menampilkan perasa Kopi Tarik, Kopi-C, Kopi Cham, Teh Tarik dan pelbagai lagi.

Bukan itu sahaja, Nescafe turut menampilkan variasi pilihan perisa yang dipadankan dengan pelbagai rasa baru yang unik bagi memenuhi keperluan harian penggemar mereka seperti koleksi Nescafe Edisi Negeri dan banyak lagi.


Apa yang menarik mengenai ketiga-tiga menu minuman terbaru daripada Nescafe adalah ia hanya ditawarkan khas untuk tiga rangkaian kedai serbaneka berbeza.

Bagi anda yang menggemari Nescafe Gula Melaka, ia hanya boleh didapati khusus di semua rangkaian 7-Eleven di seluruh Malaysia.

Serba sedikit mengenai minuman ini adalah ia menggabungkan rasa kopi klasik bersama-sama dengan gula melaka. Dengan penawaran ini, anda mungkin boleh menikmati rasa yang lebih unik iaitu manis yang tidak keterlaluan, sedikit berkrim dan mempunyai aroma seperti dipanggang.

Sementara Nescafe Pandan pula hanya ditawarkan khusus di rangkaian kedai Shell Select berdekatan anda. Bagi yang menggemari aroma wangi daripada daun pandan, pastinya anda tidak ingin ketinggalan dalam merasa minuman unik terbaru daripada Nescafe.

Akhir sekali, Nescafe Ros Bandung pula ditawarkan terhad di kedai serbaneka Mesra oleh Petronas. Minuman ini membawakan pelengkap minuman yang menarik yang menggabungkan rasa ros bersusu bersama-sama dengan kopi yang pahit.

Untuk mencuba ketiga-tiga Nescafe ini, anda boleh mula mendapatkannya hari ini di rangkaian terpilih pada harga RM2.80 satu tin.