Setelah beberapa bulan duduk di rumah, akhirnya kerajaan Malaysia telahpun mengumumkan kebenaran negeri dan negara bermula hari ini iaitu 11 Oktober 2021.

Berikutan itu, pastinya ramai dalam kalangan individu sudah mula melakukan perancangan percutian bersama keluarga di beberapa kawasan menarik. Bagi anda yang sedang mencari lokasi percutian yang berdekatan, Tajria hari ini ingin berkongsi beberapa lokasi ‘staycation‘ yang boleh dikunjungi menjelang cuti hujung minggu ini.

Di samping bersantai bersama orang tersayang harus diingatkan kepada semua, langkah penjagaan kendiri masih lagi perlu dititikberatkan dan perlu mengikuti SOP yang telah ditetapkan di semua tempat bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Carpe Diem, Serendah

Carpe Diem adalah perkataan Latin yang membawa maksud “merebut hari”. Tempat penginapan ini terletak di Pekan Serendah dan menawarkan konsep gaya hidup kampung khusus untuk anda yang ingin merasai pengalaman berada di desa.


Terdapat pelbagai pilihan kebun dan kemudahan yang boleh dinikmati sepanjang penginapan. Bukan itu sahaja, di Carpe Diem anda boleh merancang aktiviti yang melibatkan sesi latihan berpasukan kerana ia menawarkan fasiliti yang bersesuaian untuknya.



Disebabkan Carpe Diem dikelilingi oleh tanaman menghijau yang subur, maka jangan lepaskan peluang anda untuk tinggalkan hutan bandar seketika dan nikmati ketenangan dan pengalaman bersantai bagi merehatkan minda anda.

Layari: https://carpediem.my/facilities/

Sri Damai Resort, Kalumpang

Sri Damai Resort menawarkan penginapan berkonsepkan alam sekitar, dilengkapi dengan kolam renang dari air sungai untuk kanak-kanak, serta kolam memancing bagi mereka yang suka menangkap spesies langka seperti ikan kelah dan baung.


Bukan itu sahaja, pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan ada ditawarkan di sini seperti aktiviti berbasikal air dan memandu kenderaan ATV. Selain itu, terdapat ladang rusa, kambing, serta buah-buahan tempatan yang boleh dikunjungi semasa anda menginap di sini.

Dari segi harga penginapan yang ditawarkan, ia boleh dikatakan sangat berbaloi yang mana, ia menawarkan 3 buah bilik yang dilengkapi penyaman udara, 2 bilik mandi, ruang tamu dan dapur pada harga RM990 satu malam.

Layari: https://sridamairesort.blogspot.com/

Resort Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang

Resort Taman Eko Rimba Komanwel ini terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong di jalan menuju ke Pekan Rawang.

Bersesuaian dengan namanya iaitu taman rimba, lokasi ini merupakan pilihan yang tepat untuk anda menikmati keindahan alam semula jadi dan menghirup udara segar.


Apa yang lebih menarik di sini, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti menyihatkan seperti berkayak, jungle trekking, mountain bike trails dan banyak lagi sambil merakam detik-detik kegembiraan bersama orang bersayang. Ini adalah tempat yang tepat untuk menghabiskan masa hujung minggu anda dalam keindahan alam yang menghijau.

Layari: Facebook

Rumah Hutan Bonda, Batang Kali

Bagi anda yang telah lengkap menerima dua dos vaksin, anda boleh mengunjungi Rumah Hutan Bonda yang terletak lebih kurang satu jam perjalanan dari Bandar Petaling Jaya.

Populariti tempat penginapan ini sememangnya tidak disangkal lagi kerana ia merupakan salah satu tarikan pelancongan di Daerah Hulu Selangor. Rumah Hutan Bonda menampilkan konsep rumah Melayu asli yang pasti akan membuat anda terpegun melihatnya.



Tempat penginapan ini turut dikelilingi keindahan hutan dan alam semula jadi selain mempunyai kawasan yang luas dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.


Selain rumah hutan, anda juga boleh mengunjungi Rimba Park yang ditawarkan pada harga RM70 jika anda menempah pakej menginap dan berurut.

Layari: https://www.bondavalley.com/

PulaiThree, Kuala Kubu Bharu

PulaiThree merupakan lokasi percutian yang terletak di Pekan Kuala Kubu Bharu, di tengah kawasan hutan hujan dan kawasan bukit milik peribadi. Konsepnya direka dengan ruang terbuka menghadap alam sekitar namun masih menerapkan unsur kelestarian.


Vila yang dikelilingi keindahan alam dan suasana yang amat menenangkan ini menawarkan dua bilik tidur dengan pemandangan indah seperti gunung hijau zamrud di luar bandar.

Selain itu, tempat penginapan ini yang dilengkapi dengan kolam renang dan dapur lengkap dengan set barbeku sememangnya akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan.

Layari: https://3nitydesign.com/pulaithree/


Berikut adalah beberapa cadangan tempat penginapan yang bakal mengubati kerinduan anda kepada keindahan alam semulajadi. Tidak dapat dinafikan lagi, Selangor sememangnya mempunyai banyak tempat penginapan yang menarik.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menempah masuk ke tempat-tempat yang telah disenaraikan sambil mengikuti SOP yang ditetapkan.

Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor pada waktu kelak atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #ImagineNowExperienceSoon.