Carian
Tutorial Menggunakan Kit Ujian Salixium Di Rumah – Bagi Tujuan Pengesanan Covid-19 Sebelum Rentas Negeri
October 11, 2021 Lina Rosli

Sekiranya anda membeli kit ujian kendiri secara atas-talian ataupun di farmasi yang menjualnya, pastikan anda peka akan segala maklumat yang ditampilkan pada kotak bungkusan bagi memastikan kit yang dibeli dapat berfungsi dengan baik dan selamat.

Apa Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Melakukan Ujian Pengesanan Covid-19 Di Rumah?

  1. Sebelum menggunakannya, pastikan alat ini dilekatkan tanpa kerosakan pada bungkusan dan periksa tarikh luputnya.
  2. Baca dan fahami arahan penggunaannya supaya lebih mudah diikuti.
  3. Sebelum melakukan ujian, pastikan anda tidak makan, minum ataupun merokok sekurang-kurangnya 30 minit sebelum mulakan ujian. Jika dahaga, anda hanya boleh minum air mineral sahaja.
  4. Bersihkan kawasan untuk perlaksanaan ujian dengan pembersih dan pencuci disinfektan.
  5. Pastikan anda telah mencuci tangan dengan bersih sebelum memegang alat ujian yang disediakan di dalam kotak.

Kandungan Alat Di Dalam Kotak Kit Ujian

Berikut adalah beberapa alat yang akan disediakan di dalam kotak:

  • Panduan pengguna
  • Ekstrak Buffer
  • Tiub ekstrak
  • Rak
  • Swab pakai buang (2 batang)
  • Kaset ujian

Langkah Mendaftar Sebelum Melakukan Ujian Pengesanan

  1. Muat-turun aplikasi mySalixium di App Store dan juga Play Store.
  2. Imbas kod QR yang dicetak pada kotak bungkusan kit ujian
  3. Sekiranya anda pengguna baru, pastikan anda mengisi maklumat seperti nama, emel, nombor telefon dan kata laluan dan pengesahan kata laluan.
  4. Klik butang daftar dan tunggu notifikasi pengesahan (OTP) untuk mula mendaftar dan masukkan kod nombor yang diberikan.
  5. Bagi pengguna sedia ada, anda boleh daftar masuk dengan memasukkan emel atau nombor telefon dan kata laluan apabila selesai mendaftar masuk.
  6. Paparan skrin akan menunjukkan dua pilihan sama ada, ‘Start Your Test Now‘ untuk memulakan ujian ataupun ‘Genuine Check‘ untuk memeriksa keaslian kit ujian.
  7. Selepas memilih untuk memulakan ujian, ia akan menawarkan pilihan sama ada membuat ujian untuk diri sendiri ataupun membuat ujian untuk pihak lain.
  8. Aplikasi ini akan memerlukan anda untuk memasukkan nombor kad pengenalan untuk pengesahan.
  9. Setelah itu, ia akan memberikan anda arahan langkah demi langkah sehingga selesai. Tempoh keputusan yang diambil bagi ujian ini adalah 15 minit.

Cara Dan Panduan Melakukan Ujian Kendiri – Salixium

  1. Lipatkan rak kertas yang disediakan bagi memudahkan anda untuk meletakkan tiub.
  2. Setelah meletakkan tiub di dalam rak, titiskan 6 ekstrak buffer ke dalam tiub. Pastikan anda menitiskan cecair tanpa menumpahkannya ke kawasa sekitar.
  3. Kemudian, keluarkan satu swab dari bungkusan. Pertama, lakukan swab atau gosok pada bahagian dalam pipi kiri dan kanan sebanyak 5 kali. 
  4. Selepas itu, lakukan swab pada lelangit sebanyak 5 kali tanpa menyentuh lidah , gigi atau gusi.
  5. Setelah selesai swab bahagian mulut, rendamkan batang swab ke dalam ekstrak buffer yang telah diletakkan pada rak.
  6. Keluarkan satu lagi swab dalam bungkusan, dan masukkannya pada rongga hidung kanan. Kedalaman swab haruslah kira-kira 2cm dan gosok sebanyak 5 putaran pada rongga hidung. Ulangi langkah sama ke atas hidung sebelah kiri.
  7. Setelah selesai swab bahagian hidung, rendamkannya bersama-sama batang swab untuk mulut. Pastikan kesemua kawasan fabrik pada bahagian batang direndam sepenuh ke dalam ekstrak buffer.
  8. Kacau atau gaulkan sekurang-kurangnya 10 kali bagi mengumpulkan sebanyak mungkin spesimen dalam larutan cecair.
  9. Setelah itu, buang kedua-dua batang terpakai ke dalam beg sampah yang dibekalkan dan tutup zip dengan kemas.
  10. Tutup tiub ekstrak dan goncang campuran tanpa menumpahkannya. Ujian harus dilakukan dengan segera sebaik sahaja spesimen dikumpulkan.
  11. Ambil kaset ujian dan letakkannya di atas permukaan yang bersih dan rata. 
  12. Titiskan dua titik larutan pada bahagian yang berlabel ‘S’. Pastikan tiada gelembung udara sewaktu menitiskan cecair.
  13. Akhir sekali, baca keputusan ujian selepas 10 hingga 15 minit selepas menitiskan cecair di atas kaset.

Jika keputusan negatif, hanya satu garis berwarna di garisan kawalan muncul pada label ‘C’. Namun, jika tidak sah, anda akan melihat garisan muncul pada label ‘T’ ataupun tiada garis muncul pada kedua-dua label.

Jika anda positif, kaset ujian akan memaparkan dua garisan merah pada kedua-dua label ‘C’ dan ‘T’. Pastikan anda memeriksa dengan teliti garis yang muncul. 

Komen