Setiap budaya dan negara hadir dengan penawaran warisan seni dan kraf yang unik dan tersendiri. Oleh sebab itu, pentingnya bagi setiap individu mengambil peluang untuk memelihara warisan ini agar tidak ditelan zaman.
Ia bukan sahaja dapat mencorakkan identiti masyarakat tempatan, malah ia turut membentuk jaringan komuniti kecil yang memelihara warisan tenunan tradisional dari seluruh dunia.

Jika di Malaysia, di kampung Kampung Pulau Keladi yang tenang yang terletak di sepanjang Sungai Pahang, Hajjah Nortipah dan anak perempuannya adalah sebahagian daripada komuniti penenun kecil, yang berusaha memelihara warisan songket tenunan tangan yang diturunkan dari nenek moyang mereka.
Begitu juga, di dataran tinggi tengah Vietnam, enam kumpulan etnik minoriti membentuk jaringan untuk memelihara warisan tenunan tradisional masyarakat tempatan.

Seperti mereka, terdapat beratus-ratus komuniti tenun yang ada di seluruh Asia Tenggara. Jadinya, Yayasan Maybank, melalui program Women Eco-Weavers, telah bekerjasama dengan Persatuan Promosi dan Pembangunan Kraftangan ASEAN (AHPADA) dan Tanoti melancarkan TENUN Fashion Week atau Minggu Fesyen TENUN secara digital bermula dari 15 hingga 17 Oktober 2021.

Meraikan komuniti tenun di Asia Tenggara, TENUN akan menjadi acara fesyen pertama yang menawarkan dan membawakan pameran tradisional sepenuhnya di samping mengambarkan kembali kesesuaian penggunaan seni tenun di dalam fesyen moden.
Menurut Maybank lagi, acara TENUN Fashion Week ini dapat menyatukan fabrik yang hebat dan mengekalkan komuniti tenun di rantau ini. Ia menampilkan 45 komuniti tenun yang datang dari Malaysia, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Tidak seperti acara fesyen biasa, yang menjadikan TENUN benar-benar unik adalah tumpuan khusus pada penciptaan tekstil tenunan tangan di Asia Tenggara, sambil memberi tumpuan besar kepada komuniti peserta yang menghasilkannya dan kisah unik mereka.
Dengan menyokong komuniti ini, TENUN juga akan memperjuangkan sejumlah Matlamat Pembangunan Lestari PBB (SDG) selain turut memperkuatkan Pelan Strategik Budaya dan Kesenian ASEAN 2016-2025 dengan memfasilitasi hubungan dan kolaborasi antara budaya. Melaluinya juga, ia akan menanamkan rasa kepemilikan untuk warisan budaya ASEAN, dan memanfaatkan budaya untuk pembangunan yang inklusif dan lestari.
Untuk maklumat lebih lanjut, lawati www.tenunfashionweek.com.