Carian
Benarkah PKP Beri Kesan Ketara Terhadap Kesihatan Mental? Gardenia KL Laksana Kempen Kesedaran Dalam Kalangan Ahli Keluarga
October 12, 2021 Lina Rosli

Sebagai sebuah jenama yang memfokuskan kepada kekeluargaan, Gardenia KL bersama-sama dengan Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) memulakan usaha dalam mengenal pasti tanda amaran kesihatan  yang sering diabaikan dalam kalangan individu di Malaysia.

Menurut MIASA, isu berkenaan kesihatan mental sudah lama diabaikan. Di tambah lagi dengan wabak yang melanda, masalah ini telahpun memberikan kesan yang besar dari segi psikologi dan emosi.


Tinjauan di beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah dijalankan menerusi kempen ‘Wellness Begins At Home’ (Kesejahteraan Bermula di Rumah).

Ia menampilkan penyertaan sejumlah 1029 responden yang berusia dari 17 hingga 60 tahun dan lebih.  Kesemua responden hadir dalam pelbagai lapisan masyarakat termasuk individu bujang, ibu bapa tunggal dan pasangan berkahwin yang mempunyai atau tiada anak. 

Benarkah PKP Telah Memberikan Kesan Ketara Terhadap Kesihatan Mental?

Menurut respon dan maklum balas yang diterima daripada para responden, ia menyaksikan seramai 67.1% daripada responden mengakui bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan kesan ketara terhadap kesihatan mental mereka.

Faktor yang menyebabkan isu ini didorong oleh perubahan gaya hidup yang dihadapi. Ini termasuk waktu makan, pengurusan tekanan, gaya asuhan, corak tidur, senaman dan juga pengurusan masa dan ruang.  

Malah, mereka turut menyatakan bahawa duduk di rumah untuk tempoh yang lama turut mendatangkan kesukaran dari segi produktiviti yang melibatkan kerja. Antara cabaran yang dinyatakan termasuk kelesuan mental, keresahan atau kemurungan, dan sering terasa tak senang duduk.

Malah, 5% daripada responden mengakui pernah terlintas di hati mereka untuk membunuh diri dan 2.4% juga mendedahkan pernah bertindak mencederakan diri sendiri. 


Peningkatan Tahap Pengabaian Diri – Makan, Interaksi, Kebersihan Diri Dan Sekitar

Bukan itu sahaja kira-kira 63% responden tidak mempunyai had makan sewaktu berada di rumah. Manakala, 3.7% responden pula terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan. Majoriti daripada responden ini berasal dari negeri-negeri pantai timur iaitu Pahang dan Kelantan.

Manakala dari segi komunikasi pula, sekatan pergerakan telah menambah rasa sunyi dalam kalangan responden, dengan 24.8% berkata mereka tidak berinteraksi dengan sesiapa di luar isi rumah mereka selama lebih daripada tiga hari, dan 12.2% tidak berinteraksi dengan sesiapa pun selama lebih daripada tiga hari.  

Dari segi kebersihan diri dan sekitar pula, 16.6% daripada responden mengakui memakai pakaian sama selama tiga hari atau lebih. Sebanyak 4.43% responden menyatakan mereka membiarkan pinggan tidak dibasuh, manakala 14.5% berkata mereka tidak membersihkan bilik atau rumah sehingga sudah jelas berselerak.

Menurut pakar, kesemua tabiat ini dianggap sebagai petunjuk dan isyarat bahawa individu sudah hilang minat dalam hampir semua aktiviti untuk sebahagian besar daripada hari, untuk sekurangnya-kurangnya dua minggu. Mengalami kemurungan atau gangguan untuk tempoh masa yang lama juga perubahan nyata yang boleh diperhatikan apabila menilai kesejahteraan minda. 


Keperluan Perkongsian Masalah Dalam Kalangan Ahli Keluarga

Berdasarkan trend yang diperolehi dari tinjauan yang dilaksanakan juga memperlihatkan individu yang tinggal bersama keluarga lebih besar mengalami kesan mental lebih ringan berbanding kumpulan lain.

Sebagai contoh, mereka yang tinggal bersama anak anak dan suami atau isteri adalah 23% kurang mengalami tekanan emosi atau rasa resah atau murung. Mereka juga berkemungkinan 40% lebih rendah terfikir untuk membunuh diri dan juga mempunyai kebarangkalian 62% lebih rendah untuk melakukan sesuatu yang memudaratkan diri.

Sementara, sesponden yang hidup bersendirian didapati mempunyai 25% kemungkinan mengalami keresahan dan kemurungan serta 69% lebih tinggi yang turut akan mempertimbangkan bunuh diri. 

Dengan ini, dapat dilihat akan kepentingan peranan ahli keluarga dalam memupuk kesejahteraan di rumah bersama-sama. Bagi menyokongnya, Gardenia KL memperuntukkan RM1 juta kepada Program Bantuan Covid-19 Gardenia untuk meringankan beban akibat kesan Perintah Kawalan Pergerakan  ke atas isi rumah B40.


Setakat ini, Program Bantuan Covid-19 Gardenia telah menyempurnakan  pengagihan bantuan di bawah peruntukan RM1 juta. Inisiatif ini telah membawa manfaat kepada isi rumah B40 dan pekerja barisan hadapan termasuk penghantar barangan dan pemandu teksi yang menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat sejak  Mac 2020. 

Sekiranya anda atau seseorang yang anda kenal mengalami krisis kesihatan mental, sila hubungi MIASA melalui www.miasa.org.my yang menawarkan penilaian dan konsultasi kesihatan mental, khidmat kaunseling, terapi kerohanian, penilaian terapi, perkhidmatan psikologi, serta sokongan rakan sebaya. Sebagai alternatif, hubungi talian bantuan MIASA 24-jam di 1-800-820-066. 

Komen