Pastinya ramai dalam kalangan anda yang merindui aktiviti lasak dan bersukan bersama keluarga semenjak berlangsungnya PPN pada tahun 2021. Justeru, sudah tiba masa untuk anda kembali melakukan aktiviti diluar sekiranya anda telah mendapatkan vaksinasi lengkap.

Di Selangor, terdapat pelbagai tempat menarik dan lokasi sukan dalam premis yang boleh anda kunjungi. Tambahan pula, tarikan ini turut mudah untuk diakses yang mana kebanyakan daripadanya terletak dalam premis atau pusat membeli-belah terkemuka.

Jadi, berita baik buat semua, anda mungkin boleh lengkapi hari anda dengan sesi membeli-belah selepas bersukan bak kata pepatah “sambil menyelam minum air”. Senarai di bawah menampilkan 10 tarikan sukan dalam premis di Selangor yang bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak malah juga untuk orang dewasa.

Camp5, 1Utama

Camp5 telahpun beroperasi sejak tahun 2005. Ia merupakan lokasi atau tempat mendaki dinding atau lebih dikenali sebagai wall-climbing yang paling tinggi di Malaysia.

Fasiliti ini juga sepenuhnya dilengkapi dengan penyaman udara dan terletak dalam menara berasaskan besi dan kaca di tingkat 5, 1Utama Shopping Centre (New Wing).


  • Spesifikasi dinding adalah seperti berikut:
  • Keluasan dinding: 2300m2
  • Keluasan kawasan “boulder”: 450m2
  • Keluasan dinding bertali: 1850m2
  • Ketinggian maksimum: 20.3m

Jika anda seorang yang baharu berjinak dengan aktiviti sukan mendaki dinding, usah gusar kerana Camp5 mempunyai dinding dengan pelbagai saiz dan tahap kesukaran dari sangat mudah hingga terlalu mencabar.

Bagi harga untuk pas harian adalah RM36 untuk dewasa, RM26 untuk junior dan RM16 untuk kanak-kanak.

Untuk maklumat lanjut, layari:  https://selangor.travel/listing/camp5-1utama/

District21, IOI City Mall, Putrajaya

District21 adalah sebuah lokasi dengan keluasan sebanyak 70,000 kaki persegi yang terletak di IOI City Mall, Putrajaya.

Ia merupakan taman tema dengan 10 tempat tarikan, 8 bilik riadah dan terletak dalam atrium yang dilengkapi dengan pendingin hawa. Antara aktiviti yang ditawarkan temasuk Go-Pedal, Pump Track, Power Station, Low Ropes, Launch Pad, The Maze, Free Fall, Sky Trail, Tubby Ride, dan Roller Glider. 


Bagi setiap tarikan, ia tertakhluk kepada berat dan ketinggian maksimum yang dibenarkan.

Untuk maklumat lanjut, layari: https://selangor.travel/listing/district21/

AirRider, 1Utama

AirRider, 1 Utama adalah sukan skydiving yang ditawarkan di dalam premis, namun pengalaman stimulasi aktiviti skydiving ini seakan sebenar seperti pada ketinggian 14,000 kaki.

AirRider adalah tarikan stimulasi penerbangan yang terhangat di benua Asia. Sesiapa sahaja yang pernah menginginkan untuk terbang di udara boleh singgah ke 1 Utama Shopping Centre.


Jika anda mencubanya, anda akan melihat terowong angin berbentuk bulat dengan keseluruhannya dilitupi dengan panel kaca menghasilkan kusyen udara seluas 12-kaki diameter dan ketinggian 21 kaki.

Setiap pelanggan yang memasuki ruang kusyen udara ini akan ditemani oleh seorang jurutugas bertauliah atas faktor keselamatan. Pada bahagian dasar ruangan bertutup ini juga, ia menempatkan sebuah lantai trampolin yang diperbuat daripada besi tahan karat dengan kualiti seperti kapal terbang sebenar.

Untuk maklumat lanjut, layari: https://selangor.travel/listing/airrider-1-utama/

FlowRider, 1Utama

Selain bermain di aktiviti yang melibatkan ketinggian, anda juga boleh merancang untuk mencuba melakukan aktiviti sukan luncur air.

Caranya, kunjungi ke FlowRider yang mana ia menawarkan aktiviti sukan flow-riding dan stimulasi luncur air yang dibuka di dalam pusat membeli-belah 1 Utama Shopping Centre.

FlowRider menggabungkan teknik dari beberapa jenis sukan seperti luncur air, luncur salji, sukan papan selaju, wakeboarding dan skimboarding.


Sama ada anda merupakan seorang amatur atau professional, anda mampu menangani arus air dengan bimbingan dari petugas yang bertauliah dan berpengalaman.

Kesan ombak juga dapat dihasilkan dengan kelajuan sehingga 32 km/sejam di permukaan vinil komposit. FlowRider juga menawarkan program latihan dan kursus dari tahap amatur hingga berpengalaman dengan para jurulatih yang berdedikasi untuk memperkasa teknik flowriding anda dengan menitik-beratkan aspek keselamatan.

Untuk maklumat lanjut, layari:  https://flowrider1utama.com.my/

JumpStreet Trampoline Park

Jump Street Trampoline Park adalah sebuah taman tema urban yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia dan memfokuskan kepada aktiviti lompatan, lantunan dan segala aktiviti melawan unsur graviti.

Ia mempunyai beratus-ratus jumlah trampolin, dengan Main Court seluas 10,000 kaki persegi merangkumi pelbagai trampolin yang bersambung antara satu sama lain. Ianya termasuk ruangan khas yang dilengkapi dengan jaring bola keranjang, trampolin untuk aktiviti dodge-ball, satu lubang yang diperbuat dari bahan lembut untuk terjun ke dasar, dan pelbagai bag udara untuk memastikan pendaratan yang selamat.


JumpStreet menawarkan elemen keseronokan dan cabaran dengan pelbagai tahap kesukaran kepada pengunjung dari latar-belakang umur yang berbeza dengan umur minima 3 tahun untuk melompat secara kendiri.

Ruangan berprestasi tinggi di JumpStreet turut mampu menjadi medan para atlet untuk mengasah kemahiran mereka ketika melompat di udara. Di sini juga terdapat ruangan khusus untuk kanak-kanak bagi memastikan keselamatan dan keseronokan mereka

Untuk maklumat lanjut, layari:  https://selangor.travel/listing/jump-street-trampoline-park/

Malaysia National Ice Skating Stadium (MYNISS)

Terletak di kawasan pembangunan Empire City, National Ice skating Stadium (MYNISS) adalah gelanggang ais yang pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf Sukan Olimpik.

Malah, MYNISS juga membawakan kemudahan serba lengkap jikalau anda ingin melaksanakan pelbagai kejohanan sukan luncur ais dengan standard antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut, layari:  https://selangor.travel/listing/malaysia-national-ice-skating-stadium-myniss/


It’s a HIT Rooftop Baseball

It’s a HIT Rooftop Baseball adalah satu-satunya gelanggang besbol di Malaysia dan benua Asia Tenggara. Ianya tidak mengenakan caj masuk, namun untuk sesi Batting Cages dan Carnival Games, ia ditawarkan pada harga yang berpatutan.


Jika anda ingin mengunjunginya, It’s a Hit terletak di bahagian bumbung pusat membeli-belah 1 Utama Shopping Centre. Rasai pengalaman penuh keunikan dengan elemen keterujaan dan pemandangan yang mempesona!

Untuk maklumat lanjut, layari: https://selangor.travel/listing/its-a-hit-rooftop-baseball/

Sunway Pyramid Ice

Sunway Pyramid Ice adalah hiburan sukan ais bertaraf dunia yang pertama diperkenalkan di Malaysia. Ianya terletak di lokasi strategik di dalam pusat membeli-belah yang menerima pengiktirafan antarabangsa. 


Sunway Pyramid Ice adalah sebuah destinasi rekreasi yang popular di Malaysia dengan mampu menerima lebih 15,000 orang pengunjung setiap bulan. Dengan keluasan berukuran 39m x 22.5m, pemandangan menarik gelanggang yang diperkemas dengan ciri moden ini boleh disaksikan oleh para pengunjung di setiap tingkat pusat membeli-belah ini hingga ke tingkat kelima.

Untuk maklumat lanjut, layari:  https://www.sunwaypyramidice.com/

TraXion Karting at X Park Sunway Serene

TraXion Karting adalah pusat sukan kart yang beroperasi secara dalam-premis terbesar di benua Asia Tenggara yang juga terletak di tengah Bandar Kelana Jaya.

Pusat sukan Kart ini menawarkan pengalaman Kiddie Cart untuk kanak-kanak sehingga ketinggian 140cm, dan Fast Cast, untuk golongan dewasa. Setiap sesi karting akan mengambil masa selama 10 minit.


Operator ini juga menawarkan pengalaman Mini Race merangkumi 3 sesi karting temasuk pusingan akhir, namun, minimum 8 orang pemain pada satu-satu masa diperlukan untuk pakej ini.

Untuk maklumat lanjut, layari:  https://www.facebook.com/traxionkartingmy/

Galactic Laser, Sunway Pyramid

Galactic Laser adalah lapangan aktiviti laser tag yang terbesar dan terpanjang di Malaysia. Ia terletak di dalam Sunway Pyramid berdekatan dengan pusat sukan boling dan memanah.

Bagi yang tidak mengetahui, Galactic Laser dilengkapi dengan teknologi yang canggih dan terkini seakan dalam karakter video sains fiksyen. Anda akan dibekalkan dengan sebuah unit laser di tangan, dengan diiringi muzik berentak energetik dan dikelilingi kabus di udara, sambil anda meloloskan diri dalam sebuah arena yang direka khusus menyerupai kesan tinggalan makhluk asing.

Tentunya ianya menawarkan elemen keterujaan memburu dalam kegelapan sambil menghindari diri anda dari terkena tembakan laser oleh pemain yang lain.

Untuk maklumat lanjut, layari:  http://galacticlaser.com/v2/


Dengan pelbagai pilihan aktiviti yang ditawarkan sama anda untuk orang dewasa dan kanak-kanak, ia sememangnya mampu memberikan keseronokan dan keterujaan di samping dapat meluangkan masa berkualiti bersama dalam suasana yang selamat dan dikawal-selia dengan rapi.

Namun harus diingatkan, amalan berlandaskan SOP perlu diberikan penekanan pada setiap masa demi kesejahteraan bersama. Para pengunjung harus mendaftar masuk ke setiap premis lokasi pelancongan di Negeri Selangor menggunakan aplikasi MySejahtera dan memastikan penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman, serta memakai pelitup muka pada setiap masa.

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.