Dengan kehadiran rekaan mudah-alih tanpa memerlukan sambungan kabel untuk menggunakannya, fon telinga nirwayar sememangnya telah menjadi kegemaran umum. Bukan sekadar fungsinya yang mudah, malah ia turut menawarkan keselesaan yang tinggi kepada si pemakai.

Untuk tidak ketinggalan dengan permintaan individu masa kini, Samsung dilihat telahpun hadir dengan pelbagai jenis dan saiz buds yang menarik hari termasuk, Samsung Galaxy Buds Live, Samsung Galaxy Buds Pro dan yang terbaru adalah Samsung Galaxy Buds2.


Secara peribadi, penggunaan dan pemilihan fon telinga nirwayar yang menepati keperluan diri adalah sangat sukar. Hal ini kerana, bukan sekadar ia perlu hadir dengan rekaan yang cantik, bahkan ia juga perlu menawarkan beberapa keperluan lain seperti ketahanan bateri, hasil audio yang berkualiti serta dilengkapi dengan pelbagai fungsi unik yang lain.

Oleh itu, Samsung kini dilihat bergerak aktif dalam menampilkan peranti yang terbaik dan relevan kepada peminatnya. Untuk pengetahui apa perubahan yang dilakukan Samsung untuk Galaxy Buds2 yang terkini, Tajria hari ini ingin berkongsi pengalaman menarik sepanjang penggunaan.

Kelainan Yang Ditampilkan Samsung Galaxy Buds2

Pada awal sesi nyahkotak Samsung Galaxy Buds2, penampilan bahagian dalam kotak adalah sangat minimal yang mana ia menyertakan pod pengecas yang kelihatan sama seperti siri Buds yang sebelum ini, namun ia menawarkan kemasan berwarna putih.

Antara yang menari perhatian penulis adalah, untuk Galaxy Buds2, Samsung menawarkan kusyen atau putik silikon bersama-sama dengan fon telinganya. Jika dibandingkan dengan Buds Live, ia tidak menyertakan putik silikon yang menjadikan pemakaiannya pada jangka masa yang panjang adalah sangat tidak selesa.


Malah untuk saiz dan kemasan pula, Galaxy Buds2 menawarkan perbezaan yang begitu ketara dari segi saiznya yang ia dilihat sedikit lebih kecil berbandung Buds Live. Manakala dari segi rupa permukaan luar pula, Buds Live menampilkan kemasan warna yang berlainan yang mana kelihatan seperti cermin jika dipakai pada telinga.


Sebaliknya untuk Galaxy Buds2, ia hanya menggunakan satu warna yang menyeluruh iaitu warna ungu yang sama dengan warna bahagian dalam pod pengecas.

Bukan itu sahaja, di dalam kotak Samsung Galaxy Buds2 juga menampilkan kabel pengecas bersama-sama dengan putik silikon tambahan yang boleh diganti jika memerlukannya.

Adakah Samsung Galaxy Buds2 Sesuai Dijadikan Sebagai Peneman Harian Anda?

Bagi seseorang yang gemar mendengar muzik dan menonton kandungan video melalui peranti pintar dengan menggunakan pembesar audio terbina, penggunaan fon telinga nirwayar Samsung Galaxy Buds2 ini adalah sebuah pengalaman yang baharu.


Saiz Yang Kompak Dan Ringan

Sebelum ini, penulis hanya menggunakan fon telinga berwayar biasa yang mana adalah sangat tidak selesa jika dipakai di dalam tudung. Kadangkala, apabila memakainya terlalu lama, kedua-dua telinga juga akan menjadi sakit dan merah akibat terdapatnya wayar dan batang fon telinga yang juga panjang.

Jadi, dengan penggunaan Samsung Galaxy Buds2, secara keseluruhannya ia sangat selesa selain hampir tidak terasa seperti dipakai di telinga walaupun untuk tempoh yang lama. Ditambah lagi ia dilengkapi dengan binaan yang ringan, jadinya ia sangat mudah untuk diuruskan dan digunakan sepanjang hari.


Walau bagaimanapun, sedikit tidak keselesaan sewaktu memakai Samsung Galaxy Buds2 ini adalah, bagi sesetengah telinga yang mempunyai ruang cuping yang kecil, ia sedikit mudah untuk terjatuh dan terkeluar dari telinga. Lebih-lebih lagi jika memakainnya di dalam tudung.

Agak risau juga jika anda tidak menyedari sama ada Samsung Galaxy Buds2 anda masih lagi terpasang di telinga atau sebaliknya. Oleh itu, anda perlu sentiasa memeriksa telinga anda sama ada ia tidak terjatuh di mana-mana.

Penawaran Audio Yang Cukup Baik

Samsung Galaxy Buds2 dilihat hadir dengan penawaran bunyi yang ditala oleh AKG. Menerusinya, ia menghasilkan audio yang baik sekaligus menawarkan kualiti yang berprestasi tinggi sewaktu memainkan muzik dan kandungan video.


Selain itu, Samsung Galaxy Buds2 mempunyai sistem pembatalan hingar aktif dengan tiga tahap tetapan berbeza iaitu Noise Cancellation bagi mengurangkan gangguan bunyi persekitaran. Seterusnya, General untuk penggunaan biasa tanpa sokongan ANC. Akhir sekali, Transparency Mode seperti yang turut boleh dijumpai pada sejumlah fon telinga lain.

Melaluinya mod ini, ia akan meningkatkan bunyi ambien untuk membenarkan audio dari luar masih didengari walaupun ketika itu anda sedang mendengar muzik pada tahap kekuatan maksimum. Anda boleh mengaktifkan setiap satu daripada mod ini menerusi dengan menetapkannya di tetapan peranti anda. 


Pada pengalaman penggunaan, ciri pembatalan hingar aktif ini dilihat juga mampu berfungsi dengan baik yang mana ia mampu menyembunyikan gangguan bunyi luaran untuk bunyi yang agak kuat disamping masih menikmati pengalaman audio tanpa gangguan. 

Selain itu, Samsung Galaxy Buds2 juga menyertakan dua mikrofon secara terbina sesuai untuk kegunaan sewaktu menyertai sesi telesidang ataupun panggilan video sama ada menerusi telefon pintar mahupun komputer riba. Ia menampilkan audio yang jelas serta lantang apabila didengari pada keadaan senyap.


Kekal Bergaya Bersama Ekosistem Samsung Galaxy

Akhir sekali, apabila dilengkapkan bersama peranti Galaxy yang lain sememangnya pengurusan teknologi adalah lebih mudah. Penulis boleh terus mengakses dan menghubungkan Samsung Galaxy Buds2 terus panda peranti Galaxy ZFlip3.

Untuk menetapkannya di dalam peranti juga adalah lebih mudah dan tidak memerlukan sambungan yang rumit yang mana anda hanya perlu aktifkan Bluetooth dan anda hanya perlu pilih nama Samsung Galaxy Buds2 milik anda untuk dirangkaikan. 


Selepas anda menghubungkan Samsung Galaxy Buds2 anda pada peranti, anda boleh melihat peratus bateri dan ketahanannya sepanjang penggunaan. Ia akan menampilkan peratus bateri untuk kedua-dua earbuds dan juga pod pengecas.

Jangan risau, untuk Samsung Galaxy Buds2 ini, ia menampilkan sambungan pengecas USB-C yang mana bertepatan dengan piawaian pada masa kini. Anda boleh juga menggunakan sambungan kabel peranti anda tanpa perlu membawa terlalu banyak kabel di dalam beg.


Pada pendapat penulis, Samsung Galaxy Buds2 ini sangat sesuai dijadikan sebagai peneman sepanjang hari anda. Tidak kira sama ada digunakan sewaktu baring di katil sambil menonton K-drama kegemaran anda. Malah anda juga boleh menggunakannya sewaktu jogging ataupun bersukan. 

Bagi anda yang gemar memakai fon telinga sepanjang hari, nampaknya anda boleh masukkan Samsung Galaxy Buds2 ke dalam senarai pembelian anda bermula hari ini!