Jika anda meninggalkan cucian basah di mesin basuh terlalu lama, ia akan mula mengeluarkan bau disebabkan oleh pertumbuhan bakteria dan juga kulat. Untuk pengetahuan anda juga, rata-rata pakaian akan mula mengeluarkan bau hapak selepas dibiarkan selepas 8 hingga 12 jam di dalam mesin.
Apabila ini berlaku, tidak ada pengeringan yang akan menghilangkan bau busuk ini sekaligus memerlukan pakaian tersebut dicuci semula. Walau bagaimanapun, ia semuanya bergantung pada berapa lama anda membiarkan pakaian basah tersebut di dalam mesin basuh.
Kesan Membiarkan Dan Meninggalkan Pakaian Basah Di Dalam Mesin Basuh
Selain ia mengeluarkan bau yang busuk, ia turut akan merosakkan warna pakaian serta menampilkan corak kotor pada permukaan fabrik. Dalam kes yang lebih teruk lagi, ia juga boleh membahayakan kesihatan anda.
Mungkin jika pakaian tersebut ditinggalkan semalaman ia masih tidak mengeluarkan kulat. Namun, selepas tempoh 48 jam, ia berisiko berlakunya pertumbuhan kulat.
Sama seperti kulat pada dinding atau di garisan jubin terutamanya di bilik mandi atau dapur, kulat pada pakaian juga perlu diambil berat. Sekiranya pakaian tersebut digantung terus tanpa mencucinya kembali, ia berisiko akan mendatangkan kerengsaan kulit anda apabila bersentuhan. Akibatnya, ia akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk alergi yang teruk.
Apa yang membezakan kulat pada dinding dan kulat pada pakaian adalah warnanya. Kulat pakaian sering kelihatan putih, dan kadang-kadang berwarna sedikit kehitaman.
Kulat Pakaian – Kulat Hitam VS Kulat Putih
Kulat hitam, juga dikenali sebagai Stachybotrys chartarum adalah jenis kulat yang toksik dan berbahaya kerana ia menghasilkan mikrotoksin yang mampu menyebabkan bahaya kesihatan pada manusia, terutama sekali apabila spora berterbangan di udara.
Sementara kulat putih pula biasanya kelihatan seperti serbuk dan sangat mirip dengan cendawan. Sama seperti kulat hitam, jenis putih boleh membahayakan kesihatan anda namun bukan pada peringkat yang membawa maut.
Bagaimana Cara Untuk Mengurangkan Pertumbuhan Kulat Pada Pakaian?
Salah satu cara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan pertumbuhan kulat adalah menggunakan pencuci pakaian tanpa pewangi yang juga bebas daripada bahan kimia yang keras.
Manakala untuk membersihkannya pula, anda boleh menggabungan soda penaik dan cuka untuk memerangi kulat pada pakaian. Caranya, ambil satu sudu teh soda penaik dan dua cawan cuka.
Kemudian, tambahkan campuran ini ke dalam kitaran mesin basuh sewaktu melakukan cucian. Anda juga boleh merendam pakaian anda bersama campuran tersebut selama satu jam. Bukan itu sahaja, anda turut boleh menggunakan sedikit peluntur pada pakaian yang berkulat.