Pemberian makanan secara berlebihan pada ikan di dalam akuarium boleh mendatangkan banyak masalah yang serius kepada ikan. Ia bukan sahaja boleh menyebabkan toksin kepada ikan, malah ia juga akan menyumbat dan merosakkan penapis akuarium.
Secara semula jadi, ikan mencari makanan ketika lapar, tetapi juga akan makan bila terdapatnya makanan. Sekiranya sumber makanan banyak, mereka akan makan lebih dari keperluan sehari.
Sebaliknya, jika sumber makanan tidak banyak, ikan akan lebih kurang makan tanpa berlaku sebarang kesan buruk pada tubuh mereka. Hal ini kerana, ikan merupakan antara makhluk yang sangat oportunis dan hanya akan makan sekiranya berpeluang.
Setiap kali anda menawarkan makanan, ikan akuarium biasanya akan menelannya walaupun mereka tidak memerlukan khasiat. Ingatlah bahawa apabila anda melatih ikan memakan pada kuantiti yang banyak, ia kelak akan meminta lebih banyak makanan walaupun mereka tidak memerlukannya langsung.
Kesan Memberi Makanan Pada Ikan Terlalu Kerap Sehingga Berlebihan
Memberi makan ikan anda terlalu kerap atau memberi mereka makanan terlalu banyak boleh menyebabkan beberapa masalah.
Antaranya, ia akan mengakibatkan pengeluaran hasil pencernaan yang berlebihan dan makanan yang tidak dimakan dapat mencemarkan air dan menghasilkan kadar amonia, nitrit dan nitrat yang tinggi.
Bahkan ia juga boleh menurunkan kadar oksigen serta menurunkan kadar pH air dalam akuarium. Anda boleh mengukur kadar nitrat menerusi perlaksanaan ujian air. Jika ia menunjukkan bacaan yang tinggi, berkemungkinan besar anda telah memberikan makan kepada ikan anda secara berlebihan.
Jadinya, Berapa Kerap Perlu Anda Memberikan Makanan Kepada Ikan?
Kekerapan pemberian makan akan berbeza-beza berdasarkan spesies ikan.
Secara amnya, kebanyakan ikan memerlukan sekitar satu atau dua kali makan setiap hari. Sebilangan besar ikan memerlukan 16 hingga 24 jam untuk mencerna makanan yang mereka makan, jadi pemberian makanan sehari sekali cukup.
Walau bagaimanapun, sebilangan pemilik lebih suka memberi makan ikan pada kuantiti yang sedikit. Jika sedemikian, anda boleh memberi makan pada kadar kekerapan dua kali sehari.
Tidak seperti haiwan peliharaan yang lain seperti kucing dan hamster, waktu makan mereka adalah kritikal. Namun untuk ikan, ia boleh diberikan pada waktu-waktu yang bersesuaian tanpa memerlukan waktu yang tertentu.
Sekiranya anda mempunyai ikan nokturnal di akuarium anda, pastikan memberi makan sebelum menghidupkan lampu pada waktu malam.
Tips Penjagaan Pemakanan Ikan
Untuk ikan jenis herbivor atau vegetarian, mereka perlu makan dengan lebih kerap kerana tidak mempunyai perut yang besar untuk menahan banyak makanan. Oleh itu, tambah tanaman laut bagi memudahkan ikan herbivor mendapat sumber makanan tambahan untuk keperluan mereka.
Mengenai berapa banyak makanan yang harus diberi makan, praktikal yang paling baik dilakukan adalah anda menyediakan makanan pada kuantiti yang membolehkan ikan makan keseluruhan makanan tidak lebih daripada lima hingga sepuluh minit.
Sekiranya anda mendapati terdapat lebih makanan pada permukaan air akuarium, pastikan anda segera keluarkan makanan yang tidak dimakan supaya ia dapat mengelakkan peningkatan kadar ammonia di dalam air kerana kesannya, ia boleh membuatkan ikan menjadi kembung dan gemuk.
Anda juga perlu menyimpan makanan ikan di tempat yang sejuk untuk menjaga nilai vitamin dan memastikan ikan anda mendapat nilai pemakanan maksimum dari makanan. Sebaiknya, beli makanan dalam jumlah kecil untuk mengelakkan makanan kehilangan nilai pemakanannya sebelum habis dimakan.
Akhir sekali, teliti spesies ikan untuk menentukan jenis makanan yang sesuai dan seimbang untuk menawarkan vitamin, protein dan mineral yang diperlukan oleh ikan anda.