Lina Rosli Diterbitkan 22 October 2021

Adakah Anak Anda Enggan Makan?

Kebiasaannya anak-anak sering mempunyai pilihan makanan yabg tersendiri. Mereka tidak gemar mendapatkan makanan sama seperti ibu bapa. Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan mereka akan kurang makan serta tidak menunjukkan minat ketika makan.

Jadinya, ibubapa memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan anak-anak mereka mendapat nutrisi yang mencukupi selain dapat membesar dengan lebih baik pada masa kelak.

Walau bagaimanapun, tabiat ini adalah sebahagian daripada perkembangan normal psikologikal kanak-kanak dan ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Masalah ini jarang disebabkan oleh penyakit yang serius.


Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Enggan Makan?

Keengganan untuk makan berlaku apabila kanak-kanak menolak makanan baru yang diperkenalkan kepadanya atau apa jua makanan ditawarkan kepada mereka.

Contoh Makanan Yang Biasanya Ditolak Oleh Kanak-Kanak?
  1. Kanak – kanak yang berumur antara 1 tahun hingga 5 tahun biasanya takut untuk mencuba makanan baru yang diperkenalkan kepada mereka. Kanak-kanak memilih makanan dan akan makan makanan tertentu sahaja. Masalah yang paling utama adalah kanak-kanak yang enggan makan sayur.
  2. Masalah utama dalam kalangan bayi adalah keengganan makan makanan pejal.

Apakah Penyebab Masalah Ini Berlaku?

Keengganan untuk makan merupakan sebahagian daripada perkembangan normal psikologikal kanak-kanak. Pada amnya, kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit.

Walau bagaimanapun, jika kanak-kanak mengalami gejala seperti penurunan berat badan, muntah dan tercekik, anak anda perlukan penilaian yang lebih terperinci oleh doktor anda. Kemungkinan anak anda mengalami penyakit lain (selain daripada keengganan untuk mengambil makanan) seperti:

  1. Mempunyai perasaan benci terhadap makanan
  2. Kegagalan otot-otot pengunyahan ( mulut)
  3. Penyakit “gastro oesphageal reflux”
  4. Kegagalan Neuro (otak saraf)-contoh:cerebral palsy (keabnormalan perkembangan otak yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan koordinasi pada anggota-anggota tubuh).
  5. Usus kecil tersumbat “Intestinal obstruction”
  6. Achalasia – keadaan yang mengganggu aktiviti normal otot esofagus “gulet” dan ini melibatkan perjalanan bahan-bahan yang ditelan.

Jika anda mendapati anak-anak anda melakukan perkara seperti berikut:

  1. Lebih suka memilih makanan – hanya mengambil beberapa jenis makanan sahaja.
  2. Enggan memakan makanan baru yang diperkenalkan.
  3. Enggan makan apa jua jenis sayur.
  4. Hanya makan sejenis makanan sahaja sepanjang masa.

Anda mungkin boleh mempraktikkan beberapa cara seperti mengubahsuai makanan atau menyediakan pinggan makanan yang lebih menarik. Selain itu, anda juga boleh mencuba jenis makanan yang menepati kriteria anak -anak anda seperti nugget sayur-sayuran, bubur yang dikisar dengan sayuran dan bermacam lagi.


Jika pertumbuhan dan perkembangan anak anda berlaku secara normal, kemungkinan masalah ini adalah masalah biasa.

Tanda-tanda bahaya:

Jika anak anda mengalami tanda atau gejala seperti berikut: – sila berjumpa doktor dengan “SEGERA”

  1. Peningkatan berat badan yang perlahan.
  2. Perkembangan yang perlahan.
  3. Batuk atau tercekik semasa makan.
  4. Muntah yang berulang.