Untuk pengetahuan anda, dari masa ke semasa corak pada telur burung akan berubah mengikut keadaan spesies dan mutasi yang berlaku.
Setakat ini, tiada bukti atau kajian mendalam berkenaan warna dan corak telur milik burung. Namun beberapa saintis berpendapat bahawa burung pada zaman dinosaur dahulu hanya menghasilkan telur putih tetapi perubahan corak tersebut adalah disebabkan pigmentasi yang terhasil bagi tujuan penyamaran.

Seperti yang anda tahu, walaupun burung bersarang di kawasan tinggi sama ada atas pokok ataupun di dalam gua, namun spesies ini sentiasa akan diancam oleh makhluk pemangsa yang lebih kuat.
Oleh sebab itu, perlunya mereka melindungi telur daripada pemangsa dengan cara menghasilkan telur bercorak yang hampir sama dengan batu atau tanah sekeliling.

Bagaimana Perubahan Pada Kulit Telur Boleh Dilakukan?
Tidak seperti telur itik dan ayam, kebiasaannya telur burung hadir dengan beberapa palet warna. Namun ia masih lagi terhad.
Bagi yang tidak mengetahui, pigmen telur adalah bahan serba boleh yang diperbuat daripada molekul kompleks yang disintesis dalam kelenjar cengkerang burung.
Hanya dua pigmen yang bekerja iaitu Protoporphyrin dan Biliverdin. Untuk Protoporphyrin, ia akan menghasilkan warna coklat kemerahan. Sementara Biliverdin pula menghasilkan warna biru dan hijau.

Jika lebih dari satu pigmen warna dihasilkan, telur akan mendapat warna latar belakang yang berbeza sekaligus menyebabkan bintik-bintik dengan warna yang berbeza mula muncul pada permukaan kulit telur.
Semua burung cenderung mempunyai mesin genetik asas untuk menghasilkan dua pigmen itu. Namun ada juga kumpulan burung yang tidak menggunakan kedua-dua pigmen dan menghasilkan warna telur putih seperti telur itik.

Selain itu, seekor burung betina perlu mengambil kalsium tambahan untuk menghasilkan kulit telur, dan pemakanannya juga boleh menjadi faktor dalam pengeluaran jenis dan kuantiti pigmen.
Jika anda mendapati warna yang lebih pucat daripada biasa, ia mungkin hasil sampingan daripada diet burung yang kurang baik atau sistem imun yang disebabkan oleh penyakit.
Bukan itu sahaja, setiap burung masing-masing mempunyai warna atau corak yang khas yang memudahkan ibu burung mengenal pasti telur mereka sendiri.