Selain ruang televisyen dan bilik tidur, dapur adalah salah satu ruang di dalam rumah yang penting untuk anda hiaskan. Dengan adanya hiasan dapur, ia akan membantu menjadikannya lebih meriah dan memudahkan aktiviti memasak dan menyediakan makanan ketika berada di rumah.

Untuk pengetahuan anda, sesetengah hiasan dapur boleh membantu dalam menyampaikan mesej kepada individu yang anda sayangi dengan makanan yang lazat sekaligus dapat menceriakan suasana hari mereka. Oleh itu, sebelum anda mula menghias dapur anda, amatlah penting untuk anda mengetahui peraturan segi tiga dapur (Kitchen Triangle Rules).


Apa itu Peraturan Segi Tiga Dapur?

Menurut The Myers Touch, terdapat tiga kawasan kerja utama di dapur iaitu singki, peti sejuk dan dapur serta ketuhar yang mana ketiga-tiga kawasan ini akan membentuk titik segi tiga.

Menerusi peraturan segi tiga, ia akan membantu anda memaksimakan penggunaan kemudahan di dapur selain dpaat mengurangkan risiko kecederaan dan implikasi lain.

Bagaimana Hendak Menentukan Dan Membentuk Segi Tiga Di Dapur?

Setiap sisi segi tiga hendaklah diukur pada jarak tidak kurang daripada empat kaki dan tidak lebih daripada sembilan kaki dan. Untuk lebih ideal, saiz perimeter segi tiga hendaklah tidak kurang daripada tiga belas kaki dan tidak lebih daripada dua puluh enam kaki.


Benar. Saiz tersebut haruslah tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar. Ini akan memastikan bahawa kawasan kerja anda praktikal, selesa dan cukup besar untuk mengendalikan aktiviti memasak. Jika terlalu besar, ia akan menyebabkan sebahagian besar masa dihabiskan untuk berjalan antara satu titik dengan yang lain.

Sebagai contoh, jarak antara ruang membasuh pinggan atau sinki haruslah sekurang-kurangnya dua hingga tiga langkah yang mana memudahkan anda meletakkan periuk yang sudah digunakan ketika masak ke dalam tempat cucian.

Ataupun ruang memotong dan menyediakan bahan juga haruslah berdekatan dengan sinki dan dalam masa yang sama jarak antara dapur gas juga tidak terlalu jauh.


Kelebihan Peraturan Segi Tiga Untuk Pemilik Rumah

Tidak dinafikan, dengan adanya peratutan segi tiga, ia akan meminimumkan pergerakan di laluan yang paling banyak dilalui dalam dapur. Malah, melaluinya, anda akan berasa selesa dan tidak kekok sewaktu memasak kerana susun atur tiga kawasan ini berada tidak terlalu jauh antara satu sama lain.

Apabila anda mempertimbangkan kedua-dua estetika dan kefungsian kawasan dapur, jumlah masa di dapur juga akan lebih pendek. Bukan itu sahaja, jika saiz ruang dapur anda kecil, penggunaan peraturan segi tiga membolehkan anda bergerak tanpa halangan antara tiga kawasan utama selain turut memberi anda ruang yang cukup untuk mengelakkan siku berlanggar dengan pasangan memasak anda.