Kentang lecek (mashed potato) adalah antara menu atau hidangan yang banyak disenaraikan dalam menu diet kerana ia menawarkan beberapa kelebihan pemakanan.
Namun, jika diambil terlalu kerap, pastinya rasa dan tekstur kentang lecek akan membuatkan anda rasa muak dan tidak menyelerakan.
Oleh itu, Tajria ingin berkongsi beberapa cadangan bagi menyediakan kentang lecek dengan rasa yang lebih unik dan menarik apabila disajikan sewaktu sarapan ataupun makan malam.

Tambah Bawang Putih Dan Daun Bawang
Apabila anda menambah bawang putih, ia akan menghasilkan rasa yang lebih fusion dan sedikit wangi pada kentang anda.
Caranya, tumbuk kasar bawang putih dan tumiskan bersama minyak zaitun. Kemudian, tambah bawang yang telah ditumis kedalam kentang yang telah dilecekkan.
Akhir sekali, letak sedikit daun bawang yang digunting halus dan garam sebagai penambah rasa.

Letakkan Susu, Garam Dan Lada Hitam
Bagi mendapatkan tekstur yang lebih berkrim dan lemak, anda boleh menambah susu sewaktu melecekkan kentang. Anda akan mendapati, kentang anda hadir dengan tekstur yang lebih halus berbanding biasa.
Sebagai pelengkap rasa, campurkan bersama lada hitam dan garam mengikut citarasa anda. Untuk cadangan, pastikan lada hitam anda tidak terlalu hancur bagi mendapatkan gigitan yang lebih memuaskan sewaktu makan kentang lecek.
Campurkan Bersama Keju Parut Dan Pasli
Jika anda menggemari keju, mungkin dengan menambah keju parut di dalam kentang lecek akan menghasilkan rasa yang lebih menarik yang mana rasanya akan terasa sedikit masin dan berlakunya peningkatan rasa tambahan yang unik.
Untuk menjadikannya tidak terasa sangat berlemak, tambah daun pasli supaya ia dapat seimbangkan hidangan yang berperisa sekaligus boleh membuat sesuatu terasa lebih enak.

Rosemary, Pasli dan Krim Masam
Sebagai pengganti susu, anda juga boleh menambah krim masam di dalam kentang lecek. Ia menghasilkan tekstur yang yang lebih tebal seakan yogurt. Melengkapkannya adalah aroma rosemary dan pasli yang menjadikan kentang lecek lebih wangi dan lebih menarik jika dihidangkan untuk makan pagi.

Sos Pasta Dan Daging Hancur
Untuk rasa yang lebih savoury, anda boleh menambah daging hancur yang telah dimasak bersama sos pasta, bawang merah, garam dan lada hitam. Ia memberikan rasa seperti spaghetti versi kentang lecek.
Jika anda gemarkan sedikit pedas, anda boleh menambah sedikit cili kisar sewaktu menumis sos pasta. Idea ini boleh dihidangkan sewaktu makan malam jika anda ingin hidangan yang ringan tetapi mengenyangkan.