Carian
Tahukah Anda Rekaan Penutup Tupperware Mengambil Inspirasi Dari Tin Cat?
October 27, 2021 Lina Rosli

Sebut sahaja ‘Tupperware’ pastinya semua individu mengetahui akan kepentingan dan juga nilai yang dibawa oleh produk ini dalam kalangan wanita lebih-lebih lagi golongan ibu.

Pernah penulis membaca akan satu kisah mengenai Tupperware yang melibatkan pelajar tahun 1. Pada hari pertama persekolahan, ibu kepada pelajar tersebut telah menyediakan bekal makanan menggunakan bekas jenama Tupperware.

Untuk dijadikan kisah, pelajar tersebut tertinggal bekas Tupperware yang dibawanya di dalam meja. Lalu, terus bapa yang mengambilnya pulang pada waktu itu terus kembali ke sekolah untuk mendapatkan semula bekal yang tertinggal.


Penulis percaya, tidak hanya kisah ini sahaja yang menceritakan akan senario masyarakat memandang tinggi akan nilai Tupperware. Malah, situasi ini bukan sekadar berlaku di Malaysia, tetapi sebenarnya turut berlaku di seluruh dunia yang mana para ibu dikatakan amat menyayangi dan menggemari bekas makanan yang dikenali sebagai Tupperware.

Asal Usul Tupperware – Bagaimana Tercetusnya Idea Penghasilan?

Pada tahun 1942, Earl Silas Tupper iaitu individu yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan Tupperware telah mengembangkan bekas lutsinar berbentuk loceng pertamanya.

Earl Tupper pada awalnya bekerja sebagai seorang jurutera kimia di DuPont. Untuk pengetahuan anda, DuPont adalah syarikat yang menawarkan barisan produk inovatif dan antara pemegang terbanyak untuk paten yang melibatkan bekas penyimpanan di rumah.

Jadi, semasa bekerja untuk DuPont, Earl Tuppert melakukan pelbagai eksperimennya menggunakan hasil sampingan petroleum. Sehingga suatu hari, Earl Tupper terjumpa formula untuk membuat produk plastik yang boleh dibentuk dan selamat untuk digunakan sebagai bekas makanan.


Earl Tupper mula menghasilkan pelbagai bentuk bekas penyimpanan makanan dan juga untuk set teh seperti jag dan cawan. Malah, beliau juga menggunakan pengetahuannya tentang reka bentuk untuk menghasilkan pengedap klasik bulat yang kedap udara dan kedap cecair.

Dikenali sebagai Poly-T, Earl Tupper mula memahami apa itu bekas makanan dan cara masyarakat menggunakannya. Oleh itu, beliau bersama-sama dengan Brownie Wise iaitu seorang wanita yang bercita-cita mula bekerjasama dalam merancang penjualan bekas inovatif itu ke Amerika Syarikat.

Penggunaan Nama Tupperware Secara Meluas

Nama Tupperware mula digunakan pada tahun 1946 yang mana istilah “Tupperware” sering digunakan secara umum untuk merujuk kepada bekas penyimpanan makanan plastik atau kaca (tub) dengan penutup rapat.

Tupper memperkenalkan Tupperware selepas Perang Dunia Kedua. Tetapi pada mulanya, tiada siapa yang berminat untuk mendapatkannya. Namun, dengan kepakaran Brownie Wise mengenai selok belok pemasaran, ia berjaya memasuki pasaran Amerika dengan cara jual beli dari pintu ke pintu.


Brownie Wise berpendapat bahawa apabila memperkenalkan sesuatu inovasi baru kepada pelanggan, ia memerlukan penerangan yang lengkap mengenai fungsi produk tersebut. Oleh itu, Tupperware mendapat jualan yang tinggi selepas berjaya diperkenalkan melalui pesta di rumah.

Sewaktu pesta tersebut, Brownie Wise tampil dengan demonstrasi tentang cara menggunakan produk dengan betul. Serta cara inovatif untuk menggunakan Tupperware sama untuk meletakkan pil, barang kemas atau kerongsang anda. Atau, Tupperware juga boleh digunakan untuk menyimpan filem kamera kerana ia tidak mudah berkulat.


Tahukah Anda Rekaan Penutup Tupperware Mengambil Inspirasi Dari Tin Cat?

Menjelang tahun 1947, Earl Tupper mula mempatenkan penutup kedap udara dan air dari Tupperware.

Mengambil inspirasi daripada penutup tin cat, Earl Tupper menguji dan menggunakan sisa bahan plastik bagi menghasilkan bekas isi makanan yang baharu yang dinamakan Wonderbowl. Ia merupakan bekas plastik fleksibel yang ditutup dengan cara penutup bekas menekan ke dalam supaya ia rapat dan kedap udara.


Teori ini sama seperti tin cat yang mana, rekaannya menjadikan isi cecair di dalam tin tidak terkeluar di samping memastikan kualiti cat di dalamnya terjamin walaupun disimpan untuk tempoh yang lama.


Walau bagaimanapun, pada akhir tahun 1950-an, Earl Tupper mula merancang untuk menjual syarikat tersebut. Beliau mengatakan nasibnya akan menjadi kurang menarik jika ia terus menjual produknya bersama seorang wanita yang lantang mengetuai bahagian jualan.

Pada Januari 1958, beliau dan lembaga pengarah memecat Wise yang tidak mempunyai kontrak rasmi. Selepas membawa mereka ke mahkamah, Wise menerima bayaran satu kali gaji setahun, iaitu sekitar $30,000. Dia terus mencari dan bekerja di syarikat kosmetik yang menggunakan teknik pesta rumah yang sama, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, Earl Tupper menjual syarikat itu pada awal tahun 1958.

Sumber: Smithsonian Magazine  Tupperware Brands History

Komen