Selepas The Coffee Bean & Tea Leaf, nampaknya kini ZUS Coffee mula mengikut jejak langkah yang sama dalam menawarkan straw yang diperbuat daripada 100% bahan makanan dan mesra vegan.

Menurut ZUS Coffee, straw yang ditawarkan itu diperbuat daripada beras yang mana ia boleh terbiodegradasi sepenuhnya serta turut boleh dikompos. Apa yang lebih menarik adalah, straw tersebut juga boleh dimakan.

Dengan langkah penawaran ini, ia menjadikan straw tersebut lebih mesra alam dan tidak perlu berakhir di tapak pelupusan sampah kerana straw tersebut tidak akan ada sebarang isu kitar semula.

Untuk pengetahuan anda juga, straw berat ini dikatakan mengambil masa selama sekitar 90 hari untuk reput dan boleh dimakan oleh bakteria atau mikroorganisma. Berbanding straw plastik biasa, tempoh penguraiannya boleh mengambil masa sehingga 200 tahun sebelum terurai sepenuhnya.

Sebagai tambahan, straw beras yang dihasilkan ZUS Coffee ini dibuat sepenuhnya di Malaysia selain halal untuk dimakan. Namun, bagi sebarang semakan lanjut, anda boleh layari portal ini : https://www.islam.gov.my/en/12-orang-awam/2308-semakan-status-halal

Sudahkah anda memesan minuman daripada ZUS Coffee dan mencuba straw baharu daripada jenama tersebut?