Bersempena dengan pembukaan kedai flagship terbaru dan terbesar dUCK di Bangsar Village, nampaknya jenama fesyen mewah ini tidak ketinggalan dalam memperkenalkan kafe mereka yang tersendiri iaitu dUCK Cafe.
Menurut perkongsian mereka di laman Instagram, ia memperlihatkan penawaran minuman yang pelbagai termasuk variasi jenis kopi dan teh, minuman coklat, jus buah-buahan dan bermacam-macam lagi.

Dari segi rekaan pula, dUCK Cafe memperlihatkan susunan dalaman yang masih menerapkan ciri-ciri butik dUCK sebelum ini seperti di KLCC, Pavilion, 1 Utama, IOI City Mall dan juga Setia City Mall. Kafe ini dilengkapi dengan warna utama atau warna ikonik dUCK iaitu ungu dan putih selain turut menampilkan juga kemasan emas dan juga kayu rotan untuk kerusi dan beberapa sudut yang lain.

Selain itu, dUCK turut tidak ketinggalan dalam memperkenalkan dUCK Saloon yang boleh anda kunjungi bagi mendapatkan rawatan penjagaan diri seperti manicure, pedicure dan bermacam-macam lagi.
Bagi yang tidak ingin terlepas dalam menikmati menu dan hidangan yang disajikan di dUCK Cafe ini, anda boleh kunjunginya bermula hari ini pada jam 4 petang. Bagi 100 pelanggan pertama, anda berpeluang mendapatkan hadiah percuma selain dUCK turut menawarkan promosi 15% untuk pembelian di kedai fizikal di seluruh negara.