Ada yang memanggilnya biskut, namun ada juga yang memanggilnya bar coklat. Jadi, apakah kategori bar Kit Kat? 

Untuk pengetahuan anda, Kit Kat sebenarnya merupakan gabungan yang seimbang antara bar coklat dan juga wafer. Ia pertama kali dilancarkan di United Kingdom pada tahun 1935 sebagai ‘Chocolate Crisp’.

Sebelum ia diperkenalkan di bawah jenama Nestle, Kit Kat diasaskan oleh pembuat manisan British yang bernama Rowntree. Beliau hadir dengan jenama dan logo KitKat menjelang tahun 1937 dan telahpun menjadi jenama ikonik yang di lebih 80 negara.


Apa Yang Membuatkan Kit Kat Berbeza Dengan Wafer Yang Lain?

Selain diperbuat daripada coklat yang merupakan antara bahan yang sangat popular dalam kalangan penggemar snek, Kit Kat juga mempunyai bentuk klasik dan sangat unik.

Menurut tinjauan GlobalData  pada tahun 2016, pembeli makanan di United Kingdom secara kasarnya akan mempertimbangkan keunikan sesuatu produk. Di tambah lagi dengan penampilan slogan yang cukup trendy, ‘Have a break, Have a Kit Kat’, ia menjadikan jenama ini antara pilihan yang paling menarik perhatian pelanggan ketika membeli-belah.

Selain itu, Kit Kat bukan sahaja mempunyai kelebihan sebagai jenama yang boleh dikenali, tetapi juga merupakan pemain utama dalam mencipta perisa yang inovatif dan bertepatan dengan citarasa rakyat tempatan bagi sesebuah negara. Ia sekaligus menjadi titik jualan unik (USP) yang boleh dibina untuk mendapatkan kelebihan yang berbeza berbanding pesaing.


Di Jepun sahaja dilaporkan terdapat lebih 300 variasi rasa Kit Kat yang telah dilancarkan dan rasa yang digemari penduduk Jepun adalah teh hijau. Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan, Kit Kat berjaya memasuki pasaran Jepun kerana mereka telah dapat memenuhi permintaan pengguna Jepun dari segi kualiti dan pembungkusan produk.

Malah, nama yang digunakan Kit Kat juga mungkin memainkan peranan dalam kejayaan produk. Ia kerana nama KitKat menyerupai frasa “Kitto Katsu” yang bermaksud “pasti menang” yang dikatakan adalah istilah nasib baik di Jepun.

Tahukah Anda Wafer Kit Kat Diperbuat Daripada Kit Kat Yang Rosak?

Beberapa tahun yang lalu, rahsia di sebalik pembikinan wafer Kit Kat telah didedahkan yang mana wafer tersebut merupakan hasil daripada Kit Kat yang telah rosak.

Menurut Kit Kat, bagi mana-mana bar yang diproses dan dikeluarkan kilang tampil dalam bentuk yang tidak sempurna, ia akan dikembalikan ke kilang dan akan digunakan untuk melapik wafer di dalam bar.


Ini bermakna sebarang ketidaksempurnaan dari sudut tekstur, rasa dan kemasan yang kelihatan pada bar Kit Kat, ia tidak akan dijual di pasaran. Ia sebagai jaminan kualiti selain dianggap tidak memenuhi standard kecemerlangan Kit Kat.

Maka, tidak hairanlah mengapa jenama Kit Kat ini digemari ramai kerana ia mementingkan kualiti sebelum mula ditawarkan kepada pelanggan.

Sumber: Nestle FP Technology