Carian
Mengapa Kucing Sangat Peka Dengan Waktu Makan Mereka? Ini 3 Baka Yang Mempunyai Tahap Kepintaran Tinggi
October 29, 2021 Lina Rosli

Tidak dinafikan, kucing adalah haiwan peliharaan yang sangat pintar jika dibandingkan dengan beberapa haiwan lain. Malah, kepintaran ini boleh dilatih dan diasah menerusi cara seseorang individu berinteraksi dengan mereka dan tabiat yang diterapkan sepanjang tempoh penjagaan.

Jika anda perasan, kucing sangat peka akan waktu makan mereka yang mana kebiasaannya anda akan mendapati kucing peliharaan anda akan duduk di hadapan pinggan makan mereka tepat pada waktunya.

Bukan itu sahaja, kucing juga dapat menjangka setiap langkah kita dan tahu apa yang kita fikirkan. Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kucing mempunyai struktur otak yang serupa dengan manusia. Dan apa yang mengejutkan adalah, persamaan struktur otak kucing dan manusia adalah kira-kira 90 peratus serupa.

Apa Yang Menjadikan Kucing Antara Haiwan Yang Pintar?

Menurut Psychology Today, korteks serebrum kucing yang merupakan tempat untuk memproses keputusan dan masalah yang kompleks mempunyai kira-kira 300 juta neuron.

Ia turut melibatkan tafsiran keseluruhan bahasa dan perancangan tindakan yang harus dilakukan kucing ke atas sesuatu perkara. Malah, di otak kucing juga, ia akan menyimpan kedua-dua ingatan jangka pendek dan panjang yang mana menjadikan kucing lebih cenderung belajar dengan lebih pantas berbanding haiwan lain.


3 Baka Kucing Yang Mempunyai Tahap Kepintaran Yang Tinggi

Persamaan di kalangan kucing pintar ialah mereka biasanya mempunyai banyak tenaga dan sangat aktif pada kebanyakan waktu. Hal ini kerana, apabila mereka aktif, ia menjadikan mereka lebih berminat untyuk mengetahui lebih banyak perkara.

Kebanyakan kucing pintar juga sangat menikmati cabaran selain kerap mempelajari banyak helah ketika bermain. Maka, tidak hairanlah mengapa kucing ini boleh memahami rutin harian di rumah anda termasuk mengetahui waktu anda pulang ke rumah, waktu makan dan sebagainya.

Kucing Baka Abyssinian

Kucing Abyssinian adalah antara baka kucing yang sangat aktif tangkas namun turut mempunyai sifat penyayang terhadap manusia.

Kebiasaannya, baka ini suka berada di tempat yang tinggi dan juga duduk di dalam bilik yang ramai orang bagi mengawasi segala-galanya. Berbanding semua jenis kucing yang lain, kucing Abyssinian ini mempelajari helah dengan cepat.


Secara amnya, mereka bukan jenis kucing yang hanya suka dibelai, tetapi kucing ini lebih meminati aktiviti yang penuh cabaran seperti sukan dan lain-lain aktiviti keluarga yang mempunyai pergerakan yang kerap.

Kucing Baka Bali

Tidak seperti kucing Abyssinian, kucing Bali adalah versi kucing versi bulu panjang dari baka kucing Siam.

Mereka antara kucing aktif yang gemar melihat perkara di sekitar mereka lebih-lebih lagi yang melibatkan manusia. Namun, kucing Bali agak cerewet dan sering menyuarakan pendapat mereka.

Antara kebolehan kucing baka Bali termasuk boleh belajar mengambil, berjalan di atas tali dan memikirkan helah dengan cepat.


Kucing Baka Bengal

Sering digemari oleh kebanyakan individu di negara Barat, Kucing Baka Bengal adalah yang paling terkenal disebabkan oleh bulu eksotiknya yang menyerupai jaguar atau harimau bintang.

Baka ini berasal dari campuran baka kucing domestik dengan kucing harimau Asia. Kucing Bengal adalah sangat pintar, atletik, namun agak liar. Mereka suka berlari, melompat, memanjat dan bermain.


Oleh itu, mereka memerlukan ruang yang cukup untuk bergerak jika diletakkan di dalam rumah anda. Jika dapat dilatih dengan baik, kucing Bengal juga boleh menghidupkan dan mematikan suis lampu, mengeluarkan barang-barang kecil dari laci dan juga membantu anda membeli-belah di pasaraya.

Sumber: Purina Hello Giggles

Komen