Jika anda mempunyai alahan pada habuk, anda mungkin ingin mengetahui cara untuk menghilangkan habuk yang kerap terkumpul di rumah anda. Bukan sekadar boleh mencetuskan alahan, bahkan ia juga tidak sedap dipandang dan boleh menjejaskan kualiti udara rumah anda.

Malah, walaupun anda tidak mempunyai alahan habuk, komponen yang terdapat dalam habuk boleh menjejaskan paru-paru dan kesihatan keseluruhan anda.

Asal Usul Debu – Dari Mana Ia Terhasil?

Terdapat kajian yang mengatakan habuk dan debu tersebut berasal dari sel kulit mati. Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian yang pernah dilaksanakan sebelum ini, kebanyakannya debu ini terhasil melalui campuran bulu binatang, karpet, serat pakaian dan kotoran yang berasal daripada barangan di dalam rumah ataupun seseuatu kawasan itu sendiri.

Sebagai contoh, apabila sel kulit mati dibebaskan oleh manusia, ia akan memecah menjadi partikel atau zarah yang lebih kecil. Kemudiannya, ia akan dirembeskan dan berterbangan di udara. Dari masa ke semasa, zarah tersebut akan melekat dan berkumpul dengan zarah yang lain dan akhirnya membentuk habuk dan debu.

Cebisan zarah yang ini boleh didapati di pelbagai tempat dan persekitaran. Hal ini kerana, ia muncul hasil daripada proses degradasi, penuaan, kerosakan yang akan sentiasa berlaku dan membentuk habuk di kawasan sekeliling.


Apa Itu Loes Dan Apa Yang Menyebabkannya Muncul Di Muka Bumi?

Selain debu yang dihasilkan oleh manusia, haiwan dan juga tumbuhan, terdapat juga zarah yang sangat halus yang tercipta akibat glasier yang hancur dan mengisar batu hingga menjadi serbuk halus yang disebut loes.

Loes ialah sedimen atau zarah yang sangat halus yang meliputi hampir sepuluh peratus permukaan Bumi. Berbanding pasir dan tanah, loes hadir dengan penampilan yang lebih hancur dan lembut kerana zarah di dalamnya disusun secara longgar atau bebas.


Untuk pengetahuan anda juga, terdapat daerah di China yang mana penduduknya membina kediaman seperti gua di tebing loess yang tebal. Kebiasaannya, loes mempunyai julat ketebalan dari beberapa sentimeter hingga lebih daripada 91 meter iaitu sekitar 300 kaki.

Tahukah Anda Habuk Memainkan Peranan Penting Dan Memberi Faedah Kepada Bumi?

Memandangkan loes selalunya tidak mempunyai ciri sedimen tertentu yang diperlukan untuk membina semula pemendapannya, ahli geologi mengatakan bahawa loes dimendapkan oleh sungai. Warnanya keihatan seperti kelabu kekuningan dan sangat homogen.

Namun, ada juga ahli geologi lain menjelaskan loess sebagai koluvium iaitu sedimen yang terbentuk oleh luluhawa batuan yang tua. Bagi yang tidak mengetahui, luluhawa adalah proses pemecahan dan penguraian batu menerusi tindakbalas asid organik seperti asid dengan mineral batuan.

Apabila berlakunya lembapan di udara menyebabkan zarah dan habuk mendap di tanah. Seterusnya, rumput dan akar tumbuhan lain akan memerangkap habuk dan menahannya ke tanah. Lebih banyak habuk yang terkumpul, lebih tinggi dan besar loes terbentuk.


Menghasilkan Tanah Untuk Pertanian Yang Subur

Loes sering berkembang menjadi tanah pertanian yang sangat subur. Ia penuh dengan mineral dan mengalirkan air dengan baik. Ia mudah diusahakan, selain turut sesuai digunakan untuk menanam benih. 

Memberikan Nutrien Kepada Tumbuhan

Bukan itu sahaja, loes turut memberikan pada muka bumi menerusi pembekalan pelbagai mineral penting seperti fosforus, kalium, kalsium dan besi yang diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan.

Kelebihan penghasilan nutrien kepada tumbuhan ini dapat dilihat apabila mendapan loes ini ditiup angin, sekitar 20% nutrien akan jatuh di lautan dan kemudiannya akan menyirami hutan hujan Amazon. Ia berfungsi sebagai baja untuk menyuburkan tanaman secara semula jadi.


Mengawal Pembungaan Alga Marin Di Lautan

Selain itu juga, debu loes yang jatuh ke laut turut menjadi faktor penting dalam mengawal pembungaan alga marin. Hal ini kerana, pembungaan alga yang berlaku di tasik atau tempat takungan air akan mengganggu keseimbangan semula jadi dan merendahkan kualiti air.

Sekiranya alga tumbuh dengan cepat dan berlebihan, ia juga akan menyesakkan organisma akuatik yang lain. Oleh itu, loes memainkan peranan penting dalam mengawal pembungaan alga dan seterusnya memastikan produktiviti lautan terjamin.


Loess Baik Untuk Ekosistem Bumi, Namun Buruk Untuk Kesihatan Manusia

Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan yang wujud hasil daripada pengedaran loess di muka bumi.

Sebagai contoh, pada musim panas 2013, debu dari Sahara mengubah langit dan menyebabkan berlakunya jerebu berwarna kuning gelap. Malah, pernah juga berlaku yang mana matahari kelihatan merah di United Kingdom disebabkan oleh loes.

Apabila debu dan loes berada lama di udara, ia akan menyebabkan kesukaran untuk bernafas dan boleh memberi kesan kepada paru-paru. Menurut para saintis, zarah halus boleh menjejaskan produktiviti paru-paru kerana zarah tersebut mengandungi bahan api fosil yang terbakar dan bahan pencemar pertanian yang buruk untuk kesihatan paru-paru. 

Sumber: National Geographic Forbes