Carian
ATLAS Vending Memperkenalkan Mesin Layan Diri Braille Pertama Di Malaysia – Diiktiraf Malaysia Book of Records
November 1, 2021 Lina Rosli

Pengendali mesin layan diri makanan dan minuman terbesar iaitu ATLAS Vending, dengan kerjasama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) telah hadir dengan program rintis yang menempatkan kiosk atau mesin layan diri yang menampilkan ciri Braille bagi membantu memberikan akses kepada pelanggan kelainan upaya penglihatan.

Bahkan, program ini turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai mesin layan diri Braille pertama di Malaysia. Usaha ini selaras dengan sasaran ATLAS Vending untuk mengurangkan halangan yang dialami oleh komuniti kelainan upaya penglihatan, seperti akses yang terhad kepada mesin layan diri yang menjual minuman di tempat-tempat awam.


Menerusi program rintis ini juga, sebanyak 11 mesin layan diri telah diletakkan di sekitar stesen LRT termasuk di sekitar Brickfields. Pemilihan lokasi tersebut dilakukan melalui rundingan dengan MAB yang telah mengenal pasti lokasi yang sering dilalui oleh komuniti kelainan upaya penglihatan ketika mereka berulang-alik ke MAB bagi tujuan kerja atau menghadiri aktiviti sosial.

Bagi memudahkan akses, mesin layan diri tersebut telah dilengkapi dengan plat Braille, petunjuk bercahaya dan alat pengimbas gerakan yang akan mengaktifkan arahan audio secara automatik.



Ciri-ciri bantuan tambahan pada mesin layan diri berkenaan telah direka bentuk selain turut telah diuji oleh pakar dari MAB. Pelbagai penilaian telah dilaksanakan bagi memenuhi keperluan golongan kelainan upaya penglihatan.

Hal ini adalah penting bagi memastikan ciri-ciri istimewanya benar-benar dapat digunakan sepenuhnya dengan berkesan. Apa yang menarik juga, mesin ini turut tetap mengekalkan ciri-ciri biasa untuk kegunaan pelanggan-pelanggan lain.



Bukan itu sahaja, mesin layan diri Braille ini juga akan menawarkan beberapa pilihan minuman botol dan tin kegemaran rakyat Malaysia dan menampilkan arahan audio sebagai panduan untuk membeli minuman serta meyediakan pilihan pembayaran secara tunai dan tanpa tunai yang turut diletakkan juga tulisan Braille bagi memudahkan pembayaran dilakukan.

Setakat ini, mesin layan diri Braille ini hanya ditawarkan kepada pelanggan kelainan upaya penglihatan di Malaysia di sekitar Lembah Klang dan dijangka akan diperluaskan ke tempat-tempat yang ada permintaan atau wujud keperluan daripada komuniti berkenaan.

Bagi anda yang telah menemui mesin layan diri Braille yang menarik dari Atlas Vending, jangan luopa untuk kongsikan bersama @malaysianassoc.fortheblind @atlas_vending dan gunakan tagar #FirstBrailleVendingMachine !

Komen