Lina Rosli Diterbitkan 5 November 2021

Tips Memilih Seterika Wap – Cara Untuk Mula Menggunakannya

Bagi sesetengah baju atau pakaian yang anda beli, ia pastinya memerlukan teknik menguruskannya dengan rapi agar tidak rosak selain menjadikan jangka hayat fabrik lebih tahan lama.

Oleh itu, ramai dalam kalangan individu yang akan mencari dan memilih untuk menggunakan seterika jenis wap kerana ia adalah alat yang cepat dan berkesan untuk menghilangkan kedutan pada pakaian lebih-lebih lagi melibatkan fabrik linen dan juga kapas. 

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa hal yang perlu anda ketahui sebelum mula membelinya. Hal ini bagi membantu anda membuat keputusan pemilihan produk yang betul selain memberikan hasil yang memuaskan.


Apa Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Mula Membeli Seterika Wap?

Seperti yang dikatakan oleh kebanyakan pembersih profesional, wap adalah cara yang lembut dan berkesan untuk menghilangkan kedutan, menghilangkan bau dan menyegarkan fabrik. Malah, dengan teknik wap juga, ia tidak akan menghanguskan atau merosakkan kebanyakan fabrik. 

Jadinya untuk mengetahui jenis seterika yang bersesuaian dengan anda, terdapat beberapa faktor penting yang perlu anda ketahui:

Jenis Seterika Wap

Di manakah ruang bilik yang anda akan menggunakan seterika jenis wap paling kerap?

Jika anda banyak menggunakannya di rumah, maka seterika wap berdiri adalah bersesuaian dengan anda. Ia kerana seterika jenis ini membantu anda menggosok baju dengan lebih mudah dan efisien.

Namun, jika anda kerap keluar melancong, disarankan untuk anda mencari seterika wap jenis mini kerana saiznya cukup kecil untuk perjalanan di samping tidak berat untuk dibawa ke mana sahaja.


Bajet Yang Telah Ditetapkan

Seterika wap juga datang dalam pelbagai harga. Tentukan bajet anda kerana anda mungkin perlu membuat pertukaran apabila membandingkan ciri dan harga yang bertepatan dengan bajet yang anda ingin keluarkan.

Kebiasaannya, seterika wap berdiri ditawarkan pada harga yang lebih tinggi selain menawarkan ciri dan fungsi yang lebih kompleks.

Penggunaan Tenaga

Periksa terlebih dahulu kapasiti tenaga yang akan digunakan. Sesetengah model seterika wap yang lebih banyak fungsi biasanya memerlukan kuasa yang besar untuk menjalankannya.

Oleh itu, jika anda kerap menggunakan seterika untuk menghilangkan kedutan baju, adalah lebih baik anda mencari jenis seterika yang cekap tenaga kerana semakin kerap anda gunakan, semakin tinggi kadar tenaga yang akan diperlukan.

Tips Untuk Menggunakan Seterika Wap

Sebelum mula menggosok dan menghilangkan kedutan fabrik, anda perlu biarkan seterika anda dipanaskan sepenuhnya. Ini akan mengelakkan percikan air yang boleh meninggalkan kesan sebelum wap muncul.

Anda juga boleh menguji tahap kepanasan pada tuala dapur untuk memastikan bahawa anda dapat menggunakan wap dengan lancar.

Sentiasa meletakkan fabrik dalam kedudukan menegak. Kebiasaannya anda perlu menggantung pakaian pada cangkuk yang tersedia sewaktu menyeterika.

Untuk pengetahuan anda, menggosok dan menekan pakaian terlalu kuat tidak akan membantu menghilangkan kedutan. Ia sebaliknya akan mengakibatkan pemeluwapan dalam hos dan menyebabkan air wap mengalir keluar terkena pada pakaian.


Ketika menggunakan seterika wap juga, halakan kepala stim pada fabrik dengan ringan bagi memastikan kedutan dapat dihilangkan serta-merta dengan lebih mudah. Hal ini kerana, ia membolehkan wap menembusi dan mengendurkan gentian bahan sekaligus dapat menghilangkan kedutan.

Jangan sekali-kali memegang tangan anda secara langsung ketika seterika wap sedang dihidupkan dan digunakan. Sekiranya anda melakukan sedemikian, ia boleh mengakibatkan tangan melecur akibat daripada suhu terlalu panas.