Budaya makan makanan pedas dilihat sudah menjadi satu kebiasaan bagi sesetengah negara termasuk Malaysia. Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa ramai individu begitu menggemari makanan pedas?
Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Kalsec, pada tahun 2017, sekitar 90% pengguna Amerika Syarikat berkata mereka suka makan makanan panas dan pedas. Di Malaysia, budaya makanan pedas dilihat semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang mana penawaran sajian pedas boleh didapati dalam beberapa bentuk makanan seperti snek, hidangan berat, ayam goreng, makanan segera dan bermacam-macam lagi.

Untuk pengetahuan anda, terdapat beberapa sebab mengapa hidangan pedas ini setiasa popular di kebanyakan negara selain menjadikan penggemarnya begitu obses terhadap rasa sensasi hangat yang ditampilkan. Antaranya, makan pedas boleh menyebabkan badan anda termasuk kelenjar pituitari dan hipotalamus khususnya mengeluarkan endorfin.
Hormon endorfin dikenali sebagai bahan kimia yang mencetuskan rasa keseronokan dan gembira serta-merta dari hujung rambut hingga hujung kaki. Orang ramai yang mengidamkan kepedasan makanan sama seperti mereka mengidam sesuatu yang manis atau masin.

Namun, amalan makanan pedas ini sudah tentu bukan sesuatu yang baik untuk tubuh. Lebih-lebih lagi jika anda mendapatkannya terlalu kerap dan melebihi daripada apa yang tubuh anda boleh terima.
Jadi, hari ini Tajria ingin membincangkan mengenai tanda-tanda yang menunjukkan bahawa anda perlu mengurangkan atau menghentikan pengambilan makanan pedas.
Kesan Buruk Pengambilan Makanan Pedas Ke Atas Diri Individu
Tahukah anda terdapat satu kes yang pernah berlaku di luar negara yang mana 34 tahun itu mengalami sakit kepala sehingga nyaris maut gara-gara memakan cili jenis Carolina Reaper dalam di dalam satu pertandingan?
Lebih banyak buruk daripada baik, pengambilan makanan pedas yang terlalu kerap boleh menyebabkan pelbagai komplikasi negatif termasuk:
- Kontraksi pada arteri di bahagian otak yang boleh menyebabkan sindrom cerebral vasoconstriction (RCVS)
- Mengganggu kelancaran usus dan mengakibatkan ulser perut
- Cirit-birit sehingga boleh mengakibatkan dehidrasi
- Capsaicin boleh bertindak balas secara berlebihan seperti menghantar isyarat yang salah kepada otak

Tanda-Tanda Anda Perlu Berhenti Makan Hidangan Pedas
Berikut adalah tanda-tanda awal yang memerlukan anda mengurangkan pengambilan makanan pedas di dalam sajian harian:
Mengalami Pedih Ulu Hati
Jangan abaikan perasaan membara di dada yang mana anda mungkin merasakan ia terasa seperti panas dan terbakar.
Pedih ulu hati berlaku apabila asid perut mengalir semula ke dalam paip makanan anda dan menyebabkan rasa terbakar di dada anda. Antara penyebab pedih ulu hati adalah disebabkan pengambilan lada dan cili dan makanan pedas lain yang boleh mencetuskan refluks jus gastrik perut ke dalam esofagus dan seterusnya menyebabkan pedih ulu hati.
Selain itu, banyak makanan pedas mengandungi sebatian yang dipanggil capsaicin yang melambatkan kadar pencernaan anda. Oleh itu, jika makanan pedas kekal di dalam perut anda terlalu lama, ia akan meningkatkan risiko pedih ulu hati.
Cirit-Birit Dan Kerap Ke Tandas
Cirit-birit boleh disebabkan oleh makanan yang mengandungi minyak, perangsang, bahan tiruan dan rempah ratus. Malah, perasa pedas adalah salah satu sumber yang paling biasa yang boleh mengakibatkan cirit-birit berlaku.
Capsaicin dalam sesetengah makanan pedas boleh merengsakan lapisan perut atau usus, yang mungkin mempunyai kesan julap pada sesetengah orang apabila makanan itu melalui sistem pencernaan mereka.

Mengalami Insomnia
Elakkan makan makanan pedas pada lewat malam kerana ia boleh mencetuskan pedih ulu hati. Apabila keadaan menjadi lebih teruk, ia sememangnya akan mengganggu tidur anda.
Di tambah lagi jika anda berbaring, ia memudahkan asid dalam perut anda mengalir semula ke atas dan membakar lapisan esofagus anda. Oleh itu, ketidakselesaan akibat pedih ulu hati boleh menyebabkan sukar untuk tidur.
Menunjukkan Simptom Gastrik Akut
Gastritis berlaku apabila lapisan perut anda meradang dan boleh disebabkan oleh makan makanan pedas. Usah risau, individu yang mengalami gastritis akut, biasanya akan berasa tidak selesa dan keperitannya akan datang secara tiba-tiba dan bersifat sementara.
Simptom anda mengalami gastrik akut adalah termasuk loya, muntah, dan rasa kenyang di bahagian atas perut anda selepas makan. Untuk mengelakkan mencederakan perut anda, cuba kurangkan jumlah makanan pedas yang anda makan.
Suara Menjadi Serak Dan Tekak Berasa Panas
Makan makanan pedas boleh menyebabkan pita suara anda menjadi panas dan nafas terasa seperti hangat sehingga boleh menyebabkan anda menjadi serak.
Selain menjadi perengsa kepada tekak anda, makanan pedas boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan pada usus dan juga sistem pencernaan kerana refluks asid yang dikeluarkan boleh menyebabkan organ menjadi panas dan berkemungkinan meletus sekiranya lebih teruk.
Sumber: Hello Doktor Kosmo