Selain kopi, minuman berasaskan teh juga mengandungi kafein di dalamnya. Bagi setiap jenis teh, ia dilengkapi dengan kuantiti kafein yang berbeza yang mungkin menarik minat pengguna teh atau sebaliknya.
Untuk pengetahuan anda juga, sama seperti kopi, kafein di dalam teh merupakan keluarga xanthine yang mana ia tidak berbau dan tidak berwarna tetapi mempunyai rasa yang agak pahit apabila direndam dalam air panas. Kafein berlaku secara semula jadi dalam teh seperti teh hitam organik, teh hijau dan campuran teh lain.
Jumlah kafein dalam teh yang berbeza-beza menjadikan pengambilan jumlah teh yang banyak perlu dipertimbangkan. Hal ini kerana, bagi sesetengah individu, kehadiran kafein akan mempertingkatkan suasana hati atau mungkin juga turut merangsang kepekaan dan metabolisma.
Oleh itu, bagi sesiapa yang mungkin terdedah kepada kesan ini, adalah lebih baik untuk mengetahui berapa banyak kafein dalam minuman yang mereka pilih.
Cara Bancuhan Teh Beri Kesan Kepada Tahap Kafein
Secara tradisinya, ramai orang menganggap tahap kafein teh dikaitkan dengan jenis teh seperti teh hitam, teh hijau dan teh putih. Namun sebenarnya, ujian saintifik telah menunjukkan bahawa variasi dalam tahap kafein pelbagai jenis teh lebih berkaitan dengan cara ia dibancuh berbanding cara ia diproses menjadi teh.
Sebagai contoh, jika anda membancuh teh biasa pada suhu yang rendah, ia akan menjadikan masa infusi teh ke air lebih singkat. Hasilnya, ia akan menawarkan paras yang jauh lebih rendah dalam kafein berbanding jika anda membancuhnya seperti teh hitam.
Malah, sekiranya membancuh teh biasa seperti anda membancuh teh hitam dengan menggunakan air mendidih selama empat hingga lima minit, ia berkemungkinan besar boleh menghasilkan secawan teh putih yang lebih tinggi kafein jika dibandingkan dengan teh hitam.
Sementara jumlah kafein dalam teh hijau juga berbeza dari jenis ke jenis, dengan purata lebih rendah daripada teh hitam dan hanya lebih tinggi sedikit daripada purata untuk teh putih biasa. Walau bagaimanapun, julat untuk semua jenis teh adalah sangat besar dengan pertindihan yang agak besar.
Ketahui Gred Teh
Gred teh ialah kategori yang diberikan kepada teh berdasarkan keseluruhan jenis teh dan cara patah daunnya. Secara umumnya, daun yang patah akan memberikan lebih banyak kafein ke dalam minuman berbanding daun yang sempurna.
Oleh sebab itu, teh di dalam uncang akan mengandungi tahap kafein yang tinggi kerana ia biasanya dihasilkan menggunakan daun teh yang hancur dan sedikit rosak.
Kehadiran Tunas Dan Batang Teh
Tunas teh atau daun teh muda diketahui mempunyai kandungan antioksidan dan nutrien yang lebih tinggi daripada daun teh yang lebih tua. Malah, daun teh muda juga lebih tinggi dalam kafein daripada daun teh yang lebih tua.
Sebaliknya, batang teh mengandungi sedikit kafein. Teh seperti Hojicha dan Kukicha diperbuat daripada ranting atau batang, maka ia dikatakan mempunyai kandungan kafein yang rendah.
Jika anda sensitif terhadap kesan kafein, pertimbangkan untuk mengekalkan teh yang lebih rendah kandungan kafeinnya seperti teh putih atau herba. Anda juga boleh membancuh teh berkafein tinggi untuk masa yang lebih singkat, seperti 1 minit dan bukannya 3 minit.