Perkataan barbeku berasal daripada bahasa suku kaum India Caribbean yang dipanggil Taino. Ia merujuk kepada aktiviti memanggang di atas parut kayu yang dikenali sebagai barbacoa.
Secara umumnya, kaedah memasak barbeku ini biasanya melibatkan daging seperti kambing atau lembu yang dibakar perlahan selama beberapa jam. Sementara kaedah panggangan biasa, ia biasanya dimasak dengan cara menutup daging dan memasaknya dengan api terus di bahagian bawah.
Oleh sebab cara memasak barbeku yang panjang dan lama, makanya ia menghasilkan rasa daging yang manis dan seakan berasap.

Idea Tercetusnya Hidangan Barbeku
Apabila penjajah dari Sepanyol pertama tiba di dunia baru, mereka mendapati orang asli Caribbean memelihara daging di bawah sinar matahari. Ia dijadikan sebagai satu cara penting dalam membantu memanjangkan jangka hayat daging.
Teknik ini dikatakan berupaya mengawal daging dari didatangi pepijat sekaligus menjadikan ia rosak. Oleh itu, untuk menghalau pepijat itu, tukang masak mereka akan membina api kecil yang berasap dan meletakkan daging di atas rak di atas api.

Dengan kehadiran asap, ia berhasil menghalang serangga dan membantu dalam pengawetan daging. Proses ini mula berkembang dengan penghijrahan orang Eropah. Mereka mula mengimport daging dari Afrika dan dibawa ke wilayah Selatan Amerika Syarikat.
Bilakah Teknik Barbeku Mula Digunakan Secara Global?
Menurut catatan yang dikongsikan di Live Science, teknik memasak barbeku telah bermula sejak 1.8 juta tahun dahulu yang mana, ia diperkenalkan sejak zaman awal kehidupan manusia.
Ia kemudiannya diperkenalkan dan dipopularkan semula di Caribbean yang mana daging panggang tersebut ditambah baik dengan kehadiran sos basting dan rempah ratus yang menambah rasa kepada hidangan daging.

Sejak itu, populariti barbeku telah menjadi popular dan sekaligus dijadikan sebagai salah satu teknik mengawet daging supaya tahan lebih lama. Sehingga kini, kaedah barbeku telah banyak berevolusi mengikut gaya hidup dan juga budaya di sesetengah tempat.
Sebagai contoh, di Texas, hidangan barbeku merujuk kepada daging lembu yang dimasak pada tempoh yang panjang sehingga menjadi brisket dan dimakan sama ada bersama roti dan sebagainya. Manakala, di beberapa negara lain pula menyatakan bahawa barbeku adalah teknik seakan salai yang memberi rasa unik kepada daging.