Tahukah anda, Hari Diabetes Sedunia adalah sebuah kempen kesedaran global yang dimulakan pada tahun 1991 oleh Federasi Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai respons kepada kebimbangan yang semakin meningkat akibat prevalen diabetes yang semakin serius?
Selepas 100 tahun kejayaan dalam penemuan insulin, masih terdapat berjuta-juta penghidap diabetes di seluruh dunia tidak dapat mengakses penjagaan yang mereka perlukan. Oleh sebab itu, dengan aktifnya kempen kesedaran ini, ia sekaligus dapat membina komuniti diabetes global dan membawa perubahan yang bermakna.

Dalam sebuah forum yang dianjurkan Novo Nordisk yang merupakan sebuah syarikat penjagaan kesihatan global bersama Unit Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dari Jabatan Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat laporan yang menyatakan bahawa terdapat peningkatan dalam prevalens diabetes, yang kini menjejaskan 1 daripada 5 orang dewasa di Malaysia.

Oleh sebab itu, amatlah penting untuk pihak yang terlibat mengambil pendekatan yang holistik dalam pencegahan dan pengurusan penyakit untuk membanteras diabetes.
Di dalam Rancangan Malaysia ke-12, pelbagai strategi telah dirangka dalam menggiatkan usaha memerangi pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit jantung, dan kanser, dengan membangunkan program kesedaran dan saringan, serta pelbagai inisiatif dan dasar makro.
Selain daripada usaha dan inisiatif oleh KKM, pengurusan diabetes yang sistematik juga perlu dipertingkatkan yang merangkumi tempoh penerimaan rawatan, penjagaan di rumah, pengurusan psikososial serta program berkaitan diabetes.
Bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya golongan yang berisiko, penglibatan ramai pihak perlu diperkuatkan dengan cara membangunkan dan menerapkan kesihatan digital sebagai pemangkin perubahan tingkahlaku untuk mengurangkan pendedahan populasi berisiko kepada faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit.