Tompok putih atau bintik putih pada kuku secara teknikal dirujuk sebagai leukonychia punctate yang mana ia merupakan deposit keratin pada plat kuku.

Faktor yang boleh menyebabkan kemunculan bintik putih ini berkemungkinan besar adalah disebabkan oleh kerosakan pada plat kuku akibat daripada kekeringan atau trauma kuku.


Apa yang menyebabkan bintik putih pada kuku?

Kebiasaannya, individu yang kerap mempunyai bintik putih ini seringkali melakukan tabiat penjagaan kuku yang buruk termasuk menggigit kuku ataupun kerap mewarna kuku sehingga merosakkan alas kuku.

Sebelum ini, ramai yang menyatakan pembentukan bintik putih ini adalah disebabkan oleh kekurangan dalam mineral tertentu seperti zink dan kalsium. Namun, ia sebenarnya adalah kurang tepat selain merupakan antara kes yang jarang berlaku.

Menurut kajian, kalsium sememangnya sangat berkait dengan pembesaran dan kekuatan tulang dan kuku. Sekiranya anda mengalami kekurangan nutrien, ia berkemungkinan besar boleh menyebabkan gejala yang menjejaskan kuku terlebih dahulu. Sebagai contoh, kuku boleh menjadi lemah, menjadi rapuh, dan tumbuh lebih perlahan daripada biasa.

Namun, doktor mungkin akan melihat beberapa sudut dan keadaan lain jika anda mempunyai bintik putih yang berterusan pada kuku anda sebelum mempertimbangkan isu yang lebih serius.

Bagi sesetengah kes yang lebih serius, bintik putih boleh disebabkan oleh berlakunya jangkitan kulat atau tindak balas alahan. Kulat kuku boleh berlaku pada bila-bila masa yang mana mereka juga boleh masuk ke dalam kuku sewaktu  memotong kuku menggunakan alat pemotong yang tidak disteril.


Bagaimana anda boleh mengelakkan bintik putih pada kuku?

Untuk memastikan kuku sentiasa bersih dan kuat, anda seharusnya memastikan kehidratan badan berada pada paras yang baik bagi memastikan minyak kutikula berfungsi dengan baik.

Selain itu, elakkan daripada menggigit dan menghias kuku terlalu kerap terutamanya jika ia melibatkan pengikisan, gel dan akrilik. Jika anda mengesyaki bintik-bintik itu adalah akibat alahan, elakkan daripada menggunakan pengilat kuku, gam atau bergantung pada apa yang tidak bersesuaian dengan kuku anda.

Akhir sekali, makan makanan yang kaya dengan vitamin, mineral dan asid lemak penting untuk memberi manfaat kepada kesihatan kuku secara keseluruhan. Antara menu yang baik untuk diamalkan termasuklah salmon, telur, daging tanpa lemak dan sayur-sayuran.