Kini sudah memasuki musim yang mana kebanyakan individu sudah mula merancang percutian sebelum tiba tahun baru 2022. Tidak kira sama ada sekadar staycation, ataupun percutian selama seminggu ke destinasi di seluruh negara.
Apabila bercerita mengenai percutian juga, adalah penting untuk anda bersiap sedia dengan segala persediaan keselamatan lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan rumah anda.
Jadinya, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda cara terbaik dan perkara yang harus anda ambil peduli untuk memastikan rumah anda selamat dan memelihara ketenangan fikiran anda sewaktu bercuti.

Pastikan Semua Pintu Dan Tingkap Dikunci Rapi
Kunci pintu dan tingkap bagi mengelakkan potensi pecah rumah dan rompakan berlaku. Lebih-lebih lagi untuk anda yang tinggal di kawasan perumahan yang ramai orang dan juga kawasan berisiko tinggi, jangan lupa untuk memesan ke jiran anda berkenaan percutian anda.
Selain itu, elak daripada membiarkan barang berharga anda ditinggalkan diluar tanpa sebarang kunci dan sebagainya.
Minta Jiran Mengambil Surat Dan Bungkusan
Di zaman perbelanjaan secara atas-talian ini, pastinya akan kerap bungkusan dihantar di hadapan rumah anda. Jikalau terdapat kes yang mana anda memesan barang dan tidak sempat untuk mengambilnya, anda boleh meminta bantuan jiran untuk menyimpannya terlebih dahulu sehingga anda kembali.
Sekiranya anda tidak mempunyai jiran di kawasan anda, adalah disyorkan untuk anda meminta bantuan rakan atau keluarga terdekat untuk mengambilnya terlebih dahulu.

Tinggalkan Rumah Seperti Kelihatan Ada Orang
Kebanyakan pencuri tidak mungkin memecah masuk ke dalam rumah yang diduduki.
Tetapkan pemasa untuk menghidupkan dan mematikan lampu anda sepanjang siang dan malam. Anda juga boleh biarkan satu atau dua lampu menonjol menyala apabila anda pergi dan biarkan kereta diletakkan di jalan masuk untuk menjadikannya seolah-olah seseorang berada di dalam.
Tindakan mudah ini boleh membantu menghalang kecurian selain memastikan keselamatan rumah. Untuk lebih mudah, anda boleh melabur kepada kelengkapan pintar seperti suis pintar yang mana ia dilihat boleh menjadikan kehidupan lebih mudah dan selamat.
Periksa Suis Elektrik Dan Soket Yang Terpasang
Untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, pastikan anda periksa segala suis di rumah anda dan juga soket yang terpasang. Matikannya dan biarkan ia dalam keadaan selamat.
Apa yang paling penting adalah pastikan semua barang-barang yang mengeluarkan haba seperti cerek, ketuhar, seterika dan lain-lain dimatikan dengan kemas dan rapi.

Pastikan Tiada Lauk Atau Sampah Yang Busuk
Selain keselematan melibatakan kecurian dan kebakaran, adalah penting untuk anda membuang segala sampah yang ada di dalam rumah. Ia dikhuatiri berlakunya kes yang tidak diingini seperti ulat-ulat sampah muncul, menjadi kawasan berkumpulnya lipas dan tikus dan sebagainya.
Malah, dengan membuang sampah dan membersihkan rumah, ia menjadikan percutian anda lebih tenang. Lebih-lebih lagi ketika pulang kerana anda pastinya akan penat dan memerlukan rehat yang secukupnya selepas berjalan jauh.