Selain daripada mengamalkan pengambilan makanan yang sihat, penyediaan air yang bersih dan telah dimasak juga adalah penting untuk memastikan kesejahteraan tubuh serta kesihatan diri.
Kebanyakan kita tidak fikir tentang air yang kita minum. Bagi segelintir masyarakat di sesetengah kawasan, penyediaan keperluan air masih lagi di tahap yang kurang memuaskan yang mana lama kelamaan ia sebenarnya akan memberikan impak yang buruk kepada diri.

Berapa Banyak Air Yang Anda Perlukan?
Sebelum mengulas lanjut mengenai air yang bersih, Tajria ingin berkongsi serba sedikit tentang kepentingan air untuk badan.
Untuk pengetahuan anda, berat badan manusia mengandungi lebih dari 50% air. Oleh itu, jikalau anda kekurangan air, anda tidak dapat mengekalkan suhu badan yang normal selain turut akan memberi kesan kepada pergerakan sendi.
Malahan, sekiranya kekurangan air juga, ia akan menyukarkan penyingkiran bahan buangan sama ada melalui kencing, peluh dan pergerakan usus.
Kesan Tidak Mendapatkan Air Yang Mencukupi
Secara amnya, tidak mendapat air yang mencukupi boleh menyebabkan dehidrasi yang mana ia boleh menyebabkan otot tidak dapat berfungsi dengan baik seperti anda akan mudah berasa kejang dan lemah otot.
Bukan itu sahaja, ia turut akan menyebabkan peningkatan risiko kelesuan dan strok haba. Oleh sebab itu, berbanding ketiadaan makanan, kekurangan bekalan air boleh mencetuskan pelbagai isu yang sangat penting selain individu juga hanya boleh bertahan tidak lebih daripada tiga hari tanpanya.

Jadi berapa banyak air yang anda perlukan? Cukup untuk menggantikan apa yang anda hilang setiap hari melalui kencing, berpeluh, malah menghembus nafas.
Selain itu, keperluan anda untuk air meningkat sekiranya:
- Dalam keadaan cuaca panas atau suhu yang tinggi
- Ketika melakukan aktiviti fizikal yang berintensiti tinggi seperti bersenam atau berlari
- Mengalami masalah kesihatan yang melibatkan serangan penyakit, terutamanya jika anda demam, muntah, cirit-birit atau batuk
Menurut Lembaga Makanan dan Pemakanan Institut Perubatan mengesyorkan supaya wanita minum lebih daripada 11 gelas air setiap hari, sementara lelaki pula mendapatkan air sekurang-kurangnya lebih daripada 15 gelas air sehari.
Mengapa Lebih Selamat Minum Air Yang Telah Dimasak?
Keperluan mendapatkan air yang telah dimasak adalah penting lebih-lebih lagi sekiranya berlaku pencemaran biologi.
Jadinya dengan memanaskan dan memasak air, ia dilihat merupakan kaedah paling berkesan untuk membunuh organisma penyebab penyakit seperti virus, bakteria dan parasit.
Sebelum sampai ke loji rawatan, air dari sungai atau takungan biasanya mengandungi pelbagai organisma seperti bakteria dan virus. Oleh itu jangan terpedaya dengan kejernihan air kerana walaupun air itu kelihatan bersih, kemungkinan besar ia adalah rumah kepada mikroorganisma yang tidak selamat.

Sesetengah jenis bakteria berbahaya untuk dimakan dan boleh menyebabkan masalah pencernaan bersama-sama dengan gejala kekejangan dan cirit-birit. Oleh itu, air yang dididihkan adalah kaedah penulenan yang paling berkesan apabila seseorang tidak mempunyai akses kepada air terawat yang selamat.
Bagi kebanyakan organisma, mereka tidak boleh hidup apabila air mencapai takat didih 100 darjah Celsius. Malah, jika suhu air melebihi 70 darjah Celsius sekalipun, sesetengah organisma di dalam air tidak akan bertahan lebih lama daripada 30 minit.
Apakah Kesan Buruk Terhadap Kesihatan Sekiranya Minum Air Yang Tidak Dimasak Dan Tercemar?
Air yang tidak dimasak dan tercemar sememangnya akan memberi kesan yang buruk kepada kesihatan. Namun, ia masih bergantung pada jenis bahan cemar seperti:
- Cryptosporidium adalah patogen yang kadang-kadang masuk ke dalam bekalan air. Ia boleh menyebabkan penyakit gastrousus yang boleh membawa maut.
- Nitrat pula boleh menimbulkan ancaman berbahaya kepada bayi. Jika ia masuk ke dalam usus, nitrat akan ditukar kepada nitrit, yang menghalang darah daripada mengangkut oksigen. Berbanding orang dewasa, badan biasanya akan menghasilkan enzim yang boleh memulihkan keupayaan darah untuk membawa oksigen.
- Plumbum boleh menyebabkan masalah perkembangan fizikal dan mental pada bayi dan kanak-kanak. Sementa orang dewasa yang meminum air yang dicemari plumbum selama beberapa tahun boleh mengalami masalah buah pinggang dan tekanan darah tinggi.

Adakah Air tercemar Yang Dimasak Menjadikannya Lebih Selamat Untuk Diminum?
Ia bergantung kepada bahan cemar. Air yang dimasak dan dipanaskan boleh membunuh kuman tetapi bahan cemar seperti plumbum, nitrat dan racun perosak tidak terjejas. Malah, sekiranya dididihkan juga, ia akan mengurangkan isipadu air sekaligus meningkatkan kepekatan bahan cemar tersebut.
Sumber: UPMC