Carian
Fenty Beauty Kini Mengurus Penampilan Solekan Watak Animasi Riot Games – Menerusi Siri Arcane Di Netflix
November 15, 2021 Lina Rosli

Fenty Beauty merupakan jenama kosmetik global yang telah dilancarkan sejak September 2017 oleh selebriti popular Rihanna. Untuk pengetahuan anda, Fenty Beauty berdiri di bawah payung inkubator kecantikan LVMH yang mana turut membawakan beberapa jenama kecantikan mewah seperti Benefit Cosmetics, Marc Jacobs Beauty dan banyak lagi.

Kredibiliti Fenty Beauty telah dilihat sejak awal pelancaran produk pertamanya iaitu bedak asas ni Pro Filt’R yang mana ia merupakan jenama kecantikan yang terawal memperkenalkan variasi tona warna untuk bedak asasnya. Ia bermula daripada 40 warna dan kemudiannya dikembangkan kepada 50 warna yang telah disesuaikan mengikut keperluan individu daripada seluruh dunia.


Selepas 4 tahun bertapak dalam arena kecantikan, nampaknya Fenty Beauty semakin aktif dalam memperluaskan penawarannya dan kini mula memasuki arena permainan.

Kolaborasi Fenty Beauty Bersama Riot Games

Sebelum ini, Fenty Beauty telah mendedahkan kerjasama global pertama mereka bersama Riot Games melalui penampilan sulung siri animasi Riot, iaitu Arcane di Netflix.


Dengan perkongsian rasmi ini, Fenty Beauty akan mengatur dan mengurus penampilan kecantikan di dalam siri animasi Arcane. Melaluinya, jenama kecantikan global ini akan menawarkan variasi jenis keindahan dan kecantikan bagi setiap watak yang terlibat.

Jika anda menonton video promosi Arcane, ia memperlihatkan beberapa watak memakai solekan seperti celak dan pembayang mata yang disesuaikan mengikut jenis imej yang ingin mereka tampilkan.

Menurut perkongsian Riot Games juga, Fenty Beauty dikatakan bertanggungjawab dalam menyerlahkan landskap kecantikan bagi kandungan dibawahnya. Hal ini kerana, bagi kebanyakan watak, solekan sering memainkan peranan penting dalam membawa rupa avatar permainan video ke peringkat seterusnya.

Oleh itu, dengan adanya kolaborasi seperti ini, ia dijangka akan memeriahkan lagi arena permainan dan kecantikan pada masa hadapan. Bagi anda yang ingin melihat perubahan yang dibawa oleh Fenty Beauty, anda boleh menonton siri animasi Arcane di Netflix bermula hari ini!

Komen