Tidak kira sama ada dipengaruhi oleh hormon atau faktor luaran, kebanyakan individu pastinya pernah mengalami perasaan seakan tidak produktif dan bertenaga untuk melakukan aktiviti senaman harian yang seterusnya boleh mengakibatkan pengabaian perlaksanaannya.

Namun, sebenanrnya tahukan anda bahawa anda boleh memperbaiki atau memanfaatkan perasaan anda pada ketika itu menerusi senaman yang tertentu? Kuncinya ialah anda memilih rutin kecergasan sama ada jenis tinju hingga ke yoga berdasarkan kelebihan fizikal dan mental anda.


Manfaat Senaman Kepada Individu

Secara umumnya, senaman berfungsi baik dalam menjamin kesihatan mental kerana ia mengurangkan kebimbangan, kemurungan dan mengeluarkan suasana hati yang negatif.

Tidak sekadar itu, senaman dikatakan juga turut membantu meningkatkan keyakinan dalam diri anda sekaligus menjadikan hari lebih luar biasa walaupun selepas hanya bersenam pada tempoh yang singkat.

Menurut laporan daripada NCBI menerusi jurnal Exercise for Mental Health, 30 minit senaman intensiti sederhana dianggarkan menawarkan manfaat kepada kesihatan sama seperti berjalan pantas selama 3 hari seminggu. Malah, tempoh 30 minit ini juga tidak perlu dilakukan secara berterusan yang mana anda boleh membahagikannya kepada:

  • 10 minit berjalan kaki
  • 10 minit lompat tali
  • 10 minit berbasikal

Dengan ini, individu tidaklah berasa terbeban dengan aktiviti yang perlu dilaksanakan di samping masih mengekalkan hasil dan memberikan impak yang diperlukan sama seperti aktiviti asal yang dirancang.


Bagaimana Anda Boleh Menyesuaikan Jenis Senaman Berdasarkan Suasana Hati Yang Dialami?

Berikut adalah beberapa jenis senaman yang boleh anda lakukan bergantung kepada emosi anda pada satu-satu masa:

Senaman Yang Boleh Dilakukan Ketika Anda Berasa Tertekan

Sekiranya anda berasa tertekan, aktiviti senaman yang boleh anda lakukan adalah pergerakan yang menggabungkan kawalan nafas dan juga relaksasi otot seperti yoga, Tai Chi, Pilates atau regangan.

Melaluinya, anda boleh merasakan sistem saraf anda berasa lebih tenang dan lancar. Perkara ini sering terjadi akibat daripada posisi kerja yang tidak betul selain bekerja secara berlebihan yang boleh menyebabkan tekanan luaran dan perasaan tertekan.

Untuk memerangi emosi yang tidak selesa ini, berehat dari senaman kardio yang lasak dan sebaliknya berlatih mengawal pernafasan. Hal ini kerana, jika anda berasa tertekan, anda akan mendapati bahawa kadar denyutan jantung akan meningkat dan boleh menyebabkan serangan panik bagi sesetengah individu.

Senaman yang melibatakan kawalan nafas dan relaksasi otot ini boleh dilakukan sama ada secara:

  • Duduk atau berdiri dengan postur yang betul. Tarik nafas melalui hidung anda selama sekurang-kurangnya 3 saat sambil mengisi perut dengan udara.
  • Tahan nafas anda selama tiga saat, kemudian hembus perlahan-lahan dari mulut anda.
  • Ulangi latihan pernafasan ini sehingga anda berasa tenang dan bersedia untuk meneruskan hari anda.

Senaman Yang Sesuai Sewaktu Anda Berasa Sedih

Memproses emosi negatif anda adalah penting. Oleh itu, untuk melakukannya, anda boleh melakukan sesuatu yang aktif yang mana ia membantu membawa kegembiraan pada hati.

Sebagai contoh, sekitanya anda merasakan bermain bola keranjang atau badminton adalah sesuatu yang menggembirakan dan memberi ketenangan kepada fikiran, lakukan aktiviti ini sekurang-kurangnya sejam sehari.

Sebaliknya jika anda bukan penggemar aktiviti sukan, anda disyorkan untuk berjalan laju, berbasikal atau mendaki selama sekurang-kurangnya 30 minit. Sekali lagi harus diingatkan, lakukan apa sahaja yang akan membuatkan anda berasa lebih selesa.

Senaman Yang Boleh Meningkatkan Keyakinan Dan Semangat

Untuk meningkatkan keyakinan diri, anda mungkin boleh bereksperimen dengan jenis rutin atau aktiviti kecergasan yang berbeza dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Ini mungkin berjaya membawa anda pergi ke peringkat yang seterusnya. Ataupun jika anda sebeblum ini kerap bermain di posisi GK ketika bermain bole jaring, anda mungkin boleh mencabar diri anda menjadi GA atau GS di dalam pasukan yang mana akan menambah lagi kemahiran dalam acara tersebut.


Senaman Yang Baik Jika Anda Yang Ingin Bersantai

Akhir sekali, sekiranya anda mengantuk atau hanya ingin melakukan sesuatu perkara yang lebih santai, anda mungkin boleh melakukan aktiviti Pilates.

Anda bukan sahaja boleh berbaring semasa melakukannya, tetapi ia juga antara jenis senaman yang tidak memerlukan tumpuan yang kuat dan menggunakan nafas untuk menyasarkan otot penstabil.