Tahukah anda bahawa pada tahun 2015, sebanyak 1.34 juta Toyota Corolla telah dijual yang mana ia membawakan jualan purata 5,850 unit kereta terjual setiap hari? Dengan kuantiti jualan yang dinyatakan, ia menunjukkan bahawa satu Corolla dijual pada setiap 15 saat di seluruh dunia.

Menarik bukan? Antara sebab mengapa Toyota Corolla merupakan kenderaan pilihan ramai adalah disebabkan oleh penawaran harga dan fungsi lain yang berbaloi.


Mengapa Toyotal Corolla Begitu Popular Pada Suatu Ketika Dahulu?

Kereta keluaran Jepun ini telah menerajui beberapa pasaran global yang mana ia telah menerima sambutan yang hangat selepas sebulan dilancarkan. Antara negera pertama yang menerima kereta Corolla adalah Australia.

Ramai pemandu Australia melihat Toyota Corolla sebagai kereta yang boleh dipercayai, praktikal, berpatutan, jimat minyak dan menyeronokkan untuk memandu.

Untuk pengetahuan anda, Toyota Corolla dijual pada harga bermula sekitar $11,200 bersamaan RM46,608 dan mempunyai kos perkhidmatan yang rendah. Untuk kereta arus perdana yang kecil, Corolla memberikan nilai yang sangat baik untuk harganya.

Malahan, kredibiliti jenama Toyota sendiri adalah sangat baik. Jenama ini dipercayai akan menghasilkan kereta berkualiti tinggi selain mengekalkan prestasi cemerlang dalam tempoh yang lama ditambah lagi dengan kehadiran teknologi yang baru menjadikan Toyotal Corolla penetap penanda aras teknologi keselamatan baharu dalam segmennya.


Bukan itu sahaja, pada tahun 2015 juga, dianggarkan bahawa sebuah Toyota Corolla mempunyai nilai jualan semula yang tinggi disebabkan oleh permintaan ke atasnya yang masih tinggi.

Produksi Toyota Corolla Turut Dilakukan Di Malaysia Dan Australia – Selain Jepun

Secara keseluruhan, bilangan Toyota Corolla yang telah berjaya dijual adalah sebanyak 44 juta unit pada tahun sekitar 1966 sehingga 2016. Sebanyak 26 juta unit dikeluarkan di Jepun sementara 18 juta unit yang lain pula dihasilkan di luar Jepun.

Pengeluaran Corolla di luar Jepun bermula di Malaysia dan Australia pada tahun 1968. Menurut laporan Toyota, pengeluaran tahunan Corolla di negara luar adalah melebihi pengeluaran di Jepun. Dengan ini, ia menunjukkan bahawa Corolla benar-benar model global bukan sahaja dari segi jualan, tetapi juga dari segi pengeluaran.


Pemilihan negara Malaysia sebagai lokasi pengeluaran berkemungkinan besar bagi memudahkan penghantaran kereta melalui darat berbanding merentasi lautan yang juga turut disokong oleh kadar permintaan Toyota Corolla yang tinggi di negara Asia Tenggara.

Kilang pengeluaran Toyota Corolla pertama di Malaysia telah dibuka di Shah Alam iaitu Champion Motor. Model pertama yang dipasang adalah Corolla KE10. Menjelang tahun 1975, Champion Motor telah dinamakan semula kepada Assembly Services Sdn Bhd (ASSB), dan nama itu digunakan sehingga hari ini.

Sumber: Toyota