Tidak banyak kajian dan perbandingan yang telah dilakukan ke atas sabun buku dan juga sabun cecair.

Menurut laporan New York Times, penggunaan sabun buku adalah lebih selamat berbanding sabun cecair, walaupun terdapat persepsi bahawa sabun buku lebih cenderung menyebarkan kuman di tandas awam. Namun, berdasarkan eksperimen yang dilakukan, mereka mendapati bahawa bakteria tidak dipindahkan kepada pengguna sabun buku sekiranya ia hanya sekadar penggunaan yang ringan.

Sementara di dalam artikel Inverse pula menyatakan yang mana kedua-dua sabun buku dan cecair mempunyai tahap keberkesanan yang sama dalam mengurangkan bilangan mikrob pada kulit kita.

Hal ini kerana kedua-duanya mempunyai surfaktan yang mana ia tidak menjadikan salah satu lebih baik berbanding yang lain. Dari segi rupa luaran, sememangnya ia menampilkan cara penggunaan yang agak berbeza.


Cuma, apa yang menjadikan orang ramai lebih memilih sabun cecair berbanding sabung basuh pinggan adalah disebabkan oleh peninggalan sisa sabun yang ditinggalkan oleh sabun buku. Ia seterusnya menjadikan sesetengah individu berasa tidak kemas dan tidak menyenangkan apabila melihatnya.

Kekurangan Sabun Cecair Dari Sudut Impak Kepada Persekitaran

Walaupun kedua-duanya menunjukkan paras kebaikan yang sama, namun terdapat satu kekurangan pada sabun cecair iaitu jejak karbon yang lebih tinggi berbanding sabun buku.

Berdasarkan perkongsian di Greenmatters, impak penggunaan sabun buku kepada alam sekitar adalah lebih rendah daripada sabun cecair dalam banyak kategori penting termasuk jejak karbon, nilai toksik, potensi penipisan ozon dan juga eutrofikasi.


Untuk pengetahuan anda, sabun cecair telah dihasilkan secara besar-besaran bermula pada tahun 1980-an. Produk ini mengandungi detergen yang merupakan surfaktan buatan sintetik. Jadi, apabila anda menggunakan sabun cecair, bahan kimia daripada detergen akan mengalir ke bawah tanah, yang akhirnya berakhir di dalam tanah dan juga saluran air.

Jika di dalam sabun tersebut mengandungi logam berat seperti kadmium dan arsenik, maka kemungkinan bahan kimia berbahaya tersebut memasuki alam sekitar.

Bukan itu sahaja, sabun cecair cenderung lebih mahal kerana memerlukan lima kali ganda tenaga untuk menghasilkan dan 20 kali ganda tenaga untuk pembungkusan.


Oleh sebab itu, sabun buku secara amnya dianggap sebagai pilihan sabun yang paling mampan, dengan 10 kali kurang kesan kepada alam selain turut menggunakan 30 peratus kurang air berbanding sabun cecair. Malah, untuk kebanyakan kes, proses pembuatan sabun buku dikatakan lebih hijau kerana pembungkusannya terdiri daripada kadbod atau kertas yang lebih cepat hancur dan terurai daripada bekas sabun cecair plastik.

Akhir sekali, harus diingatkan semasa membeli-belah untuk sabun, cari label untuk penunjuk ketoksikan, seperti SLS dan paraben. Paraben adalah pengganggu hormon berbahaya yang boleh menyebabkan kanser, jadi sebelum membuat sebarang pembelian, semak label untuk mengukur ketoksikan produk mengikut piawaian.